Friday, December 11, 2009

Terdengar bunyi kuat dari langit

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai daripada (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam." (Maksud Ayat 22 Surah Qaf)
***

PERJALANAN ke Tanah Suci pada Mei beberapa tahun lalu untuk menunaikan umrah memberi banyak pengalaman kepada saya. Perasaan gembira tidak dapat digambarkan lagi maklumlah buat pertama kalinya saya ke Tanah Suci. Isteri dan kakak iparku turut menyahut panggilan untuk menjadi tetamu Allah.

Oleh kerana kebetulan pula dengan cuti sekolah, penerbangan terus ke Jeddah semuanya penuh. Rombongan kami terpaksalah mengambil penerbangan transit ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Dari Abu Dhabi terus ke Bahrain dan kemudian ke Lapangan Terbang Al-Malik Abdul Aziz, Jeddah.

Walaupun penat kerana terpaksa menaiki beberapa kapal terbang sebelum sampai ke Jeddah, kami amat gembira kerana cita-cita selama ini untuk ke Tanah Suci tercapai jua.

Perasaan gembira dan berdebar-debar apabila menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Rombongan kami terus dibawa ke Madinah Al-Munawarah dengan bas berhawa dingin.

Sebaik saja sampai di Madinah, kami terus dibawa ke hotel. Selepas itu rombongan kami dibawa ke Masjid Nabawi untuk menziarahi makam Rasulullah s.a.w., sahabat baginda Sayidina Abu Bakar r.a., Sayidina Umar r.a. dan seterusnya ke Perkuburan Baqi.

Saya amat terpegun melihat keunikan Masjid Nabawi yang tersergam indah. Rombongan kami turut dibawa menziarahi sekitar Kota Madinah seperti Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Lima dan seterusnya membeli-belah di pasar kurma.

Apabila sampai masa hendak bertolak ke Makkah Al-Mukarramah perasaan sedih mula terasa kerana begitu sayang hendak meninggalkan Masjid Nabawi dengan makam Rasulullah s.a.w. dan Raudhah yang amat cantik yang berada di dalam Masjid Nabawi.

Rombongan kami menaiki bas yang disediakan dan menuju ke Masjid Bir Ali untuk berniat umrah wajib. Sampai di Makkah Al-Mukarramah, rombongan kami seterusnya dibawa mutawif untuk menyelesaikan umrah.

Rasa selesa dan jiwa tenang dengan perasaan cukup gembira apabila mula-mula menjejaki kaki di Masjidilharam.

Hati mula terasa sayu bercampur gembira apabila mula terpandang ke arah Kaabah sambil membaca doa apabila melihat Baitullah. Terasa bagai tidak percaya yang diriku kini akhirnya berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah.

Hari-hari yang berikutnya, saya dan rombongan lain sibuk mengerjakan umrah sunat dan memperbanyakkan amal ibadat dalam Masjidilharam. Sampailah suatu ketika selepas solat asar dan tawaf sunat, saya mengambil peluang untuk mengaji al-Quran berhampiran Maqam Nabi Ibrahim.

Tiba-tiba kedengaran suatu bunyi yang amat pelik dan kuat bunyinya datang dari langit.

Saya terus memandang ke arah langit tetapi tiada apa-apa yang kelihatan. Saya memandang ke arah jemaah yang lain yang sedang mengerjakan tawaf. Tiada apa-apa yang berlaku.

Hati saya tertanya-tanya. "Adakah saya seorang sahaja yang mendengar bunyi yang pelik itu."

Saya terus menyambung membaca surah Ibrahim hingga tamat. Selepas itu saya pun pulang ke hotel dan bertanya mutawif tentang apa yang saya dengar dan alami berhampiran dengan Maqkam Ibrahim tadi.

Menurut ustaz kejadian itu mungkin merupakan pertukaran malaikat yang turun dari langit yang ditugaskan untuk menjaga Baitullah. Walaupun tidak dapat melihatnya, bunyi yang pelik itu menggerunkan diri saya.

Hari-hari lain kami bebas untuk memperbanyakkan umrah sunat. Tanpa saya sedari masa begitu cepat berlalu. Belum puas lagi rasanya berada di Makkah Al-Mukkaramah untuk beribadat kepada-Nya, rombongan kami telah dibawa untuk mengerjakan tawaf wida' iaitu tawaf selamat tinggal.

Tanpa saya sedari, air mata mengalir di pipi kerana terasa sayu dengan perasaan hiba sekali untuk meninggalkan Baitullah. Tiba-tiba sebelum meninggalkan Kaabah terpampang bayangan wajah orang yang cintai dan kasihi selama ini di Kaabah.

Saya terpegun melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Saya termenung sendirian memikirkan apakah hikmah di sebalik kejadian pelik yang telah saya alami semasa berada di Tanah Suci. Saya hanya insan biasa tetapi mungkinkah ada iktibar dan hikmah di sebalik kejadian itu.

Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata melainkan mengucap kesyukuran dan terima kasih kepada Allah SWT kerana nikmat-Nya. Akhirnya saya dan isteri serta kakak ipar selamat kembali ke tanah air.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat menunaikan ibadat umrah dengan sempurna serta tubuh badan yang sihat semasa berada di Tanah Suci.

Hingga kini terasa baru semalam kejadian itu berlaku. Sebenarnya kerinduan inilah yang menguatkan saya untuk menulis untuk diabadikan rinduku pada Kaabah yang tercinta.

Insya-Allah jika diberi rezeki yang lebih oleh Allah SWT, akan saya kunjungi lagi Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji pula bersama-sama dengan orang yang tersayang. Tiada tempat yang kurindukan untuk dilawati kecuali ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah. - Nukilan RUSHAIDI HAJI RAMLI

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: