Wednesday, December 23, 2009

Penyamun tarbus dekat Gua Hira'

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai mereka yang telah beriman! Takutlah akan Allah dan bersertalah orang-orang yang benar lagi taat!" (S.9 A.119)
***

TANGGAL 24 Syaaban-6 Ramadan 1427 (bersamaan 17-28 September 2006) sentiasa terpahat di hati saya kerana buat pertama kalinya saya dapat ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

Saya menjejakkan kaki di bumi Jeddah ketika maghrib. Tetapi keadaannya sudah gelap, macam jam 10 malam di Malaysia.

Selepas selesai membuat pemeriksaan dengan pihak imigresen, saya dan anggota rombongan lain pun menaiki bas menuju ke Madinah Al-Munawwarah yang menurut jurupandu mengambil masa lebih kurang 5-6 jam.

Saya sungguh letih dan kerap tertidur dalam perjalanan Jeddah-Madinah, kerana sebelum itu, sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur hingga Jeddah mata saya tidak boleh lelap. Saya asyik melihat pemandangan walaupun tidak kelihatan apa-apa kerana dilindungi dek awan tebal.

Di ruangan ini izinkan saya menceritakan satu peristiwa sewaktu kami berekspedisi ke Gua Hira'. Rombongan kami yang diketuai oleh Ustaz Badrul Amin bertolak lebih kurang pukul 11.00 malam iaitu selepas solat tarawih.

Sebelum memulakan ekspedisi lasak itu, jemaah dihidangkan sup unta. Ini adalah pertama kali dalam sejarah saya dapat 'pekena' sup unta. Harap-harap selepas 'pekena' sup ini, kami akan lebih bertenaga untuk mendaki bukit untuk ke Gua Hira'.

Kami menuju ke sana dengan menaiki sebuah van yang dapat memuatkan 16 orang. Saya duduk di depan, maklumlah saya lebih muda daripada yang lain.

Ketika berada di pertengahan dakian, ketika saya bertakbir, tiba-tiba saya terkejut apabila terdengar ada suara dan saya ingatkan pantulan suara saya.

Maklumlah dalam keadaan gelap, saya perbanyakkan lagi takbir dan tambah terkejut apabila ada bayangan orang.

Apabila menghampiri bayangan itu, tahulah saya rupa-rupanya ada penghuni di sana. Mereka mendakwa berasal dari Kashmir.

Alhamdulillah lega rasanya kerana mulanya saya dok terbayang juga perkara-perkara kurafat tetapi saya kuatkan semangat dan ingatkan kembali sejarah Nabi bahawa laluan kami itu adalah tempat pendakian Rasulullah s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu.

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman ekpedisi ke Gua Hira' itu. Sebenarnya saya hampir tidak terdaya mendaki akan tetapi saya berdoa antara lain bermaksud: "Ya Allah Kau berikanlah semangat Rasulullah s.a.w. dalam diriku ini yang mendaki dalam keadaan lebih teruk lagi." Alhamdulillah saya berjaya sampai jua.

Kisah sebenar ingin saya ceritakan ialah sewaktu berada di atas puncak Gua Hira'. Salah seorang anggota jemaah menyatakan beliau terkejut kerana ada barangnya dilarikan orang ketika mendaki tadi. Beliau menuduh orang Kashmir yang kami jumpa tadi sebagai 'penyamun tarbus'. Saya katakan tidak baik untuk beliau membuat tuduhan itu.

Di puncak bukit itu, kami buatlah apa yang patut seperti solat sunat dan bergambar. Sedang kami asyik dok leka bergambar tiba-tiba jemaah tadi menjerit: "Oi, Oi, beg aku!"

Kami turut terkejut tetapi sempat melihat beg sandangnya dibawa lari oleh sekumpulan monyet. Jemaah itu memberitahu begnya yang dilarikan itu berisi telefon bimbit dan air mineral.

Rupa-rupanya barang jemaah yang hilang tadi bukan dilarikan oleh 'penyamun tarbus' orang Kashmir seperti yang dituduhnya tetapi oleh sekumpulan monyet yang juga mendiami kawasan berbukit di situ.

Kesimpulannya janganlah kita 'bermulut tak tentu hala' lebih-lebih lagi di situ adalah tempat penerimaan wahyu yang pertama oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sesetengah daripada kami mula bergurau dengan jemaah tadi, bertanya sama ada dia ada terima 'mesej' atau 'call' daripada seseorang (monyet) dari cerun bukit sana. Kami semua ketawa dan sampai sekarang apabila berjumpa beliau, kami masih mengusiknya.

Jikalau tuan puan ingin mengerjakan umrah, saya syorkan ikutilah rombongan di bawah pimpinan Ustaz Badrul Amin kerana selain menunaikan umrah, beliau menawarkan ekpedisi ke Gua Hira' yang saya rasa tidak ditawarkan oleh agensi lain.

Tidakkah teringin kita menziarah tempat wahyu pertama yang turun kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu'alam. - Nukilan SHUKRI

No comments: