Thursday, December 31, 2009

Rintihan peniaga Hentian Puduraya

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan dan Uda Holdings Sdn Bhd sudah melakukan pelbagai pembaharuan ke atas Hentian Puduraya. Antaranya mengadakan lebih banyak tempat duduk menunggu dan membina persiar kaki selesa menghubungan hentian itu dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Kebanyakan peningkatan taraf adalah untuk keselesaan orang ramai. Beberapa peniaga di Hentian Puduraya memberitahu penulis mengapa masalah pengguna saja diutarakan sedangkan golongan mereka terus merana sekalipun hab pengangkutan awam itu dinaik taraf.

Seorang peniaga kedai buku yang lotnya agak tersorok daripada laluan orang ramai berkata, peniagaannya semakin hari semakin merosot, keuntungan yang diperolehi kerap tidak dapat menampung bayaran sewaan bulanan.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, bayaran sewa adalah RM1,000 sebulan sedangkan purata jualan hariannya tidak sampai RM100 sehari. Hanya kadang-kadang beliau mampu mencatatkan jualan sehingga RM300 sehari. Disebabkan beliau hanya menerima 30 peratus daripada hasil jualan buku, perolehannya mungkin ratusan ringgit saja sebulan, tidak cukup untuk beliau membereskan bayaran sewa lot kedai itu.

Beliau berkata nasib baik isterinya ada menjalankan perniagaan di tempat lain yang mendapatkan sedikit keutungan, jika tidak sukar baginya meneruskan perniagaan di Hentian Puduraya itu.

“Saya sudah lama bercadang menutup saja perniagaan di Puduraya ini,” katanya. “Tetapi disebabkan minat mendalam untuk menyebarkan ilmu melalui penjualan buku dan kitab-kitab agama, saya tekad terus berniaga.”

Beliau berharap pengurusan Hentian Puduraya dapat melakukan sesuatu bagi mengerakkan peniagaan di kawasan lot terpencil hentian itu.

“Misalnya mereka boleh membuat promosi atau mengadakan acara tertentu di bahagian yang tidak menjadi laluan utama orang ramai,” katanya.

Seorang lagi peniaga berharap kadar sewa dapat dikurangkan kerana perniagaannya semakin hari semakin merosot kerana orang ramai jarang benar menjenguk gerai-gerai di bahagian belakang.

Peniaga pakaian itu mencadangkan pihak Uda Holdings memikirkan cara untuk membolehkan pengunjung berkunjung ke bahagian berkenaan.

“Mungkin mereka boleh membuka sebahagian daripada kaunter tiket bas di bahagian belakang. Dengan cara ini, pengguna tidak mempunyai pilihan, mereka terpaksa ke bahagian belakang dan ini secara tidak langsung akan menarik pelanggan ke kedai kami,” katanya.

Seorang lagi pekedai di bahagian belakang mengakui bahawa perniagaannya melalui masa yang sukar. Beliau terpaksa mempelbagaikan jualan sedangkan dulunya dia memberi tumpuan kepada perniagaan buku dan majalah.

“Itu pun sukar bagi saya mendapatkan duit untuk membayar sewa apatah lagi mendapat keuntungan,” dakwanya.

Beliau memohon usaha menaikkan taraf hentian itu sewajarnya bukan saja memberi manfaat kepada pengguna tetapi juga peniaga sepertinya.

“Jika pengguna dapat diberikan keselesaan, kami berharap keadaan tempat kami ditambah ceria bagi menarik kunjungan orang ramai. Apabila ramai orang ke bahagian belakang ini, bertambahlah pembeli kami,” katanya.

Tinjauan ke lot-lot bahagian belakang itu kira-kira jam 9.00 pada suatu malam membuktikan dakwaan peniaga-peniaga terbabit. Laluan di kawasan berkenaan sunyi, hanya beberapa orang saja yang menjenguk kedai-kedai di situ.

Kebanyakan kedai membabitkan penjualan buku tetapi ada kedai gambar, telekomunikasi, pakaian dan gerai menyimpan beg. Pada kunjungan itu, ada kedai yang sudah ditutup menandakan perniagaan di situ tidak menggalakan.

Sehubungan itu adalah benar dakwaan peniaga, Uda Holdings mesti membuat sesuatu bagi menyemarakkan perniagaan di lot-lot belakang dan terpencil di Hentian Puduraya!

*** Komen
Laluan bas ekspres untuk memasuki platform Hentian Pududaya sudah dikemaskini. Satu benteng panjang 500 meter sudah dibina, tidak memungkinkan bas diparkir sesuka hati di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, bas hanya boleh memasuki platform satu demi satu. Ini menyebabkan deretan bas yang pada masa sesak mungkin sepanjang satu kilometer. Penumpang terpaksa turun dan berjalan ke hentian.

Sebelum ini seorang perunding bandar raya, C W Liew mencadangkan agar sebahagian kecil lereng tepi Jalan Pudu dipotong bagi membolehkan dua atau tiga laluan dibina. Apabila ini dapat dilakukan, bas akan lebih mudah memasuki platform. Masa dan tenaga dapat dijimatkan. Tetapi nampaknya pandangan C W Liew tidak dipakai, jadi terpaksalah penumpang dan pemandu bas menanggung sengsara. Bersabarlah, kerana bersabar itu sebahagian daripada iman dan besar ganjarannya dunia dan akhirat. Amin.

No comments: