Sunday, December 20, 2009

Gara-gara acu senapang sebelum ke Tanah Suci

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati." - Maksud Ayat 15 Surah Al-Mukminum 15
***

SEBELUM seseorang itu menunaikan haji, dinasihatkan agar dia mengikut kelas pengajian dan mendapatkan nasihat daripada tuan guru dan alim ulama.

Pelbagai persiapan zahir dan batin perlu dilakukan supaya hajat nan suci berjaya dan tepat mencapai matlamatnya, dan diredai Allah Rabbul`Izzati.

Bakal haji dinasihatkan memohon maaf di atas segala ketelanjuran sama ada daripada ibu bapa, sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan dan sekerja.

Nukilanku ini memaparkan sekelumit kisah yang benar-benar terjadi di sebuah desa di selatan tanah air. Hasil daripada kerja bertungkus-lumus di kebun getah dengan bantuan empat orang anaknya, dapatlah seorang penghuni desa itu mengumpul wang RM18,000 untuk pergi ke Tanah Suci suami isteri.

Semua persiapan zahir telah dilakukannya untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. Tetapi menurut penduduk desa, masih banyak tuntutan agama yang belum dilunaskannya seperti meningkatkan kehalusan budi, memohon halal dan ampun maaf daripada adik beradik dan sanak saudara di desa.

Lantaran kejahilan dan keangkuhannya, semua itu tidak dipedulikannya. Dengan sifat panas barannya, ia mudah termakan hasut fitnah dan buruk sangka. Dalam satu perselisihan faham, ia mendapat laporan bahawa seorang anak saudaranya telah bergaduh dengan ibunya.

Tanpa soal selidik, dia telah menyerang rumah sewa anak saudaranya itu, dengan membawa sepucuk senapang. Seolah-olah anak saudaranya itu seorang belia tidak berguna, yang patut segera dihapuskan daripada dunia ini.

Dengan segala maki hamun, kata nista yang keras dan mengugut, dia mengacukan senjata untuk menembak anak saudaranya itu.

Lantaran terlalu takut, anak saudaranya itu telah lari ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam. Dia telah berdoa selepas solat hajat dan bertahajjud kepada Ilahi mengadukan nasibnya.

Selama enam hari enam malam, dia senantiasa takut dan tidak tenteram (trauma) di atas kejadian luar biasa itu. Karena suasana menjadi begitu buruk, anak saudaranya mengambil keputusan segera berhijrah ke negeri lain.

Lelaki bakal haji itu tidak menyedari, pemuda yang diugut itulah yang telah menghabiskan kebanyakan hidupnya memperjuangkan Islam. Dia berdakwah dalam gerakan Islam, bersama barisan sarjana-sarjana Islam dan ulama Islahiyyah di dalam dan di luar negara manakala isterinya pula adalah seorang guru agama sekolah kerajaan.

Pada hari Jumaat, dalam masjid Allah, tangan anak saudaranya inilah yang mula-mula menghulurkan salam kasih, simbol pengirat silaturahim dan ukhuwwah Islamiyah.

Pemuda inilah yang melaungkan seruan azan, menghidupkan solat berjemaah, mempergiatkan penulisan Islam, menjayakan program-program dakwah. Dia terbabit membersihkan masjid dari usia remaja hingga kini.

Lantaran buta agama dan keangkuhan, tergamak dia melakukan jenayah yang demikian kejam, zalimnya dan dahsyatnya kepada anak saudaranya tanpa usul periksa.

Selain itu bakal haji ini melakukan kekerasan, maki hamun dan pelbagai kezaliman ke atas adik-adik perempuannya. Dia bagaikan maharaja, memerintahkan mereka melakukan itu dan ini. Inikah tanda dan cara persiapannya untuk bermusafir ke Tanah Suci bagi mendapatkan haji mabrur?

Akhirnya, dengan pesawat MAS yang disewa Tabung Haji, bakal haji ini bersama isteri dan seorang adik perempuannya selamat sampai ke Makkah - beberapa hari sebelum hari wukuf dan hari raya haji.

Mereka selamat menunaikan umrah, tetapi dengan takdir Allah, pada hari berikutnya, mengikut cerita adik perempuannya itu, dia tiada selera makan dan minum, badannya lemah lesu dan telah jatuh sakit dengan teruknya.

Dia terlantar di atas katil tidak berdaya lagi untuk membuka matanya selama enam hari enam malam. Para doktor dan jururawat Hospital Tabung Haji telah merawatnya tetapi dia tidak sembuh-sembuh.

Apabila tiba hari wukuf, ia terpaksa diusung, dan terlantar dalam khemah kanopi Arafah khusus bagi orang sakit. Mana-mana ibadah wajib, diupahkan orang mengerjakannya.

Dengan takdir Allah, pada hari ketujuh barulah dia disembuhkan oleh Allah. Barulah dia insaf Tuhan Yang Maha Adil dan Maharaja segala Sultan, telah memberikan hukuman kiffarat secara 'tunai' kepadanya.

Benarlah tunjuk ajar dan nasihat tuan guru, alim ulama, dan ustaz Tabung Haji sebagai syarat dan tata tertib sebelum menunaikan ibadah haji, bakal haji hendaklah membersihkan hati mereka sebelum ke Tanah Suci.

Mereka yang hendak ke Tanah Suci juga perlu membersihkan diri daripada berlaku zalim bukan saja kepada sesama manusia tetapi juga pada binatang.

Bagi yang memelihara binatang kesayangan seperti burung terkukur, merpati atau ayam serama, lepaskanlah binatang itu.

Sesungguhnya Allah amat murka kepada orang zalim dan bagi mereka azab yang amat pedih di dunia dan akhirat. Sebuah hadis sohih menyebut, 'takutlah olehmu sekalian akan doa orang terkena zalim, kerana doa mereka itu tiada hijabnya di sisi Allah'. - Nukilan MUHIBBUN AL-HARAMAINI

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

1 comment:

Sheikh AL Zarafee said...

Benar sekali . belajarlah sebelum pergi haji . ikuti kursus atau berguru dgn guru yg sahih kelayakan mereka . Pengalaman saya semasa menjadi tetamu Allah Tahun 2014 menjadi contoh.

Saya diberitahu ada seorang Hajjah telah menunaikan Umrah sebanyak 16 kali sebelum Wuquf .

Berita ini benar benar membuat saya "tercabar" seketika ...maklum lah diusia yg masih Muda dan Gagah saya cuma mampu membuat 4-5 kali Umrah sahaja .selebihnya Tawaf Sunat setiap selepas solat fardhu.

Ketika ditanya ...Mak Aji selalunya berMiqat di mana ?... Taneem ke ..? dia kelihatan agak Blurrr...

Emmm .. Miqat ??? .. Miqat apa tu ..?

Ya la .. kita kalau nak buat Umrah kan kena keluar drp tanah Haram dan biasa nya ketempat terdekat seperti Taneem...

Sekali lagi dia tergezut !!!...

Eh ,...tak ada lah ... Mak Ji dan Pak Ji lepas habis solat waktu .. balik Bilik tukar Pakaian Ihram dan terus buat Umrah...

Kami cuma mampu mengurut dada ... sambil menasihatkan beliau mendapat bimbingan dari Ustaz/ Ustazah di Maktab...

Insyallah beliau mendapat Tawaf Sunat untuk semua kerja "Umrah" nya itu..

So to all bakal bakal Haji - Pls belajar ..belajar ...belajar ...