Monday, May 4, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 7: Melahirkan Harian Metro

Pada bulan Ogos 1990, tentera Iraq secara tiba-tiba menceroboh Kuwait dan menakluk negara itu. Selepas peristiwa ini, berlaku pergolakan paling hebat di Timur Tengah, malah dunia, yang dinamakan 'Krisis dan Perang Teluk'.

Perang ini membuka dimensi baru dunia kewartawanan kerana buat pertama kalinya, penduduk dunia berpeluang menyaksikan perang ini secara langsung di kaca TV masing-masing. Wartawan Cable News Network (CNN), Peter Arnett menjadi terkenal kerana membuatkan laporan langsung dari medan perang iaitu di Baghdad.

Keghairahan membuat laporan terkini juga menjangkiti wartawan Berita Harian. Bagi pembaca bahasa Inggeris, mereka berpeluang mengikuti laporan terkini pada sebelah petang melalui akhbar 'The Malay Mail' tetapi bagi pembaca Melayu, pada masa itu belum ada akhbar harian yang dikeluarkan pada waktu petang.

Pengurusan Berita Harian dengan segera menggunakan kesempatan yang terbuka luas itu untuk menerbitkan keluaran khas sebelah petang yang membuatkan laporan terkini mengenai Perang Teluk. Keluaran khas itu diedarkan serentak dengan akhbar 'The Malay Mail'.

Dengan wujudnya keluaran khas itu, bermakna buat pertama kalinya, wartawan akhbar berbahasa Melayu 'berpeluang' untuk bekerja pada waktu tengah malam hingga subuh yang biasanya digunakan untuk 'berdengkur' kerana akhbar petang itu perlu disiapkan awal pagi.

Disebabkan keluaran khas itu membabitkan berita mengenai Perang Teluk, kumpulan wartawan pertama yang terpaksa bersengkang mata adalah pengarang, penyunting dan penterjemah. Saya termasuk dalam kumpulan penterjemah, jadi terpaksalah saya memulakan tugas jam 4.00 pagi.

Untuk bangun pada jam 3.00 pagi sebagai persiapan ke pejabat bukanlah mudah. Ketika dalam perjalanan ke pejabat, pelbagai peristiwa dialami seperti berselisih dengan pemandu mabuk di samping suasana sunyi-sepi di sesetengah jalan raya.

Selepas berakhirnya Perang Teluk, penerbitan keluaran khas itu dihentikan. Tetapi pengalaman berharga dan keghairahan untuk mengisi 'kekosongan' bahan bacaan petang dalam bahasa Melayu tidak dapat disekat lagi.

Selepas menghadapi pelbagai rintangan, akhirnya, terbitlah akhbar petang Melayu pertama iaitu Harian Metro pada bulan Mac 1991. Akhbar ini bukan lahir begitu saja tetapi membabitkan pengorbanan besar daripada kumpulan pertama pekerjanya, terutama pengarang, pemberita dan penyunting.

Saya adalah salah seorang penyunting yang terbabit dalam penyediaan dan reka bentuk muka surat untuk berita luar negaranya. Untuk bermula daripada kosong (tiada apa-apa), petugas perlu mengorbankan banyak masa untuk melakukan pelbagai percubaan, termasuk dari segi pemberitaan, persembahan, reka letak (page-making) dan sebagainya. Masalah utama, sebahagian petugas adalah kakitangan baru yang tidak mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja penerbitan akhbar.

Dengan berbekalan beberapa kerat petugas yang mempunyai pengalaman di Berita Harian, terpaksalah kami bersengkang mata untuk menerbitkan Harian Metro. Sebagai akhbar petang, kebiasaan dalam mengendalikan Berita Harian perlu diketepikan.

Misalnya, bagi pemberita, mereka perlu membuat laporan yang berbeza daripada Berita Harian, menulisnya pada sebelah malam malah ada yang terpaksa membuat liputan kejadian yang berlaku selepas tengah malam sehingga subuh.

Bagi kumpulan penyunting pula, mereka diperlukan memulakan kerja pada jam 5.00 pagi. Sebagai penyunting berita luar negara, saya memulakan kerja mulai jam 4.00 pagi. Ini kerana saya terpaksa memilih, menterjemah dan kemudian menyelesaikan kerja-kerja reka letak secara sendirian dan semua kerja-kerja ini perlu dibereskan sebelum pukul 8.00 pagi.

Urusan menyiapkan reka letak muka surat di Harian Metro dibahagikan kepada dua bahagian, satu yang bersifat semasa (current) manakala satu lagi membabitkan laporan dan rencana yang reka letak muka suratnya boleh disiapkan lebih awal (advance pages). Disebabkan keadaan ini, tugas seseorang penyunting itu tidak tamat sekalipun akhbar terbitan untuk hari berkenaan sudah dicetak, biasanya mulai jam 9.00 pagi.

Penyunting juga diperlukan untuk menyiapkan 'advance pages', yang biasanya berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Tetapi disebabkan ketika itu, sistem 'manual' masih digunakan (bromide perlu ditampal), seseorang penyunting itu terpaksa menunggu jurureka letak menyiapkan kerja-kerja itu, kadang-kala sehingga jam 5.00 atau 6.00 petang.

Ini menyebabkan seseorang penyunting itu terpaksa pulang lewat petang atau pada waktu malam sedangkan sebelum subuh esoknya, dia diperlukan untuk berada di pejabat semula.

Pada peringkat awal, ini adalah antara 'kerja-kerja gila' yang terpaksa dilakukan oleh penyunting. Pengorbanan mereka amat besar, apa tidaknya, keluar rumah untuk bekerja jam 3.00 atau 4.00 pagi dan balik lewat petang atau malam. Kata orang, keluar rumah 'tidak nampak matahari dan balik rumah pun tidak nampak matahari'.

'Kerja-kerja gila' ini dilakukan enam hari seminggu (Harian Metro pada peringkat awalnya terbit enam kali seminggu tanpa edisi hari Ahad).

Dalam melakukan 'kerja-kerja gila' ini tentulah penghidupan rumah tangga seseorang itu terjejas dengan teruknya.

Saya bernasib baik kerana isteri saya juga adalah bekas pelajar kewartawanan dan pernah bekerja dalam industri persuratkhabaran. Jadi dia memahami apa yang terpaksa saya lalui, tetapi pada masa yang sama dia menyindir saya dengan berkata: "Kahwinlah saja dengan surat khabar itu dan buatlah rumah tangga di sana!"

Begitulah sedikit sebanyak pengorbanan kami dalam penerbitan Harian Metro itu boleh dilihat berdasarkan slip gaji yang kami terima. Ada antara kami yang menerima bayaran kerja lebih masa lebih 30 hari - ada sebanyak 33 hari dan ada 35 hari - sedangkan dalam sebulan seseorang wartawan diperlukan bekerja kira-kira 20 hari saja (5 hari seminggu)!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3 Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

3 comments:

idasan said...

saya nak beli buku nie..Boleh sy dapatkan email tuan untuk saya forwardkan pembayaran nanti. TQ

Lanh Sr. said...

terima kasih idasan, e-melnya lanh14@harakah.net.my

Unknown said...

Assalamualaikum... Saya nak tanya, di mana saya boleh perolehi buku atau rujukan berkenaan etika serta manual gerak kerja wartawan ya?