Thursday, May 7, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 9: Russia Yang Kukenali

Di Hotel Metropole, Moscow, barulah saya berjumpa dengan dua wartawan Malaysia yang ditugaskan membuat liputan kunjungan Menteri Luar itu. Mereka ialah Suhaimi Mokhtar dari Utusan Malaysia dan Juhaidi Yean Abdullah dari New Straits Times.

Pada waktu itu (Mei 1992), 'angin demokrasi' sedang hebat melanda negara bekas komunis itu. Penganalisis Barat mengaitkannya dengan rancangan pembaharuan (perestroika dan glasnost) yang diperkenalkan oleh Presiden Soviet Union yang terakhir, Mikhail Gorbachev.

Pembaharuan inilah yang akhirnya menyebabkan Gorbachev sendiri tersingkir sebagai presiden dan membuka laluan kepada kewujudan 15 negara baru termasuk Russia yang dipimpin Presiden Boris Yeltsin.

Republik yang mengisytiharkan kemerdekaan ialah Lithuania, Latvia, Estonia, Belarus, Ukraine, Georgia, Armenia, Moldova, Azerbaijan, Turkmenistan, Kazakhstan, Tajikistan, Krygystan dan Uzbekistan.

Pada awal perubahan ini, Russia membuka seluas-luasnya 'pintu'nya kepada dunia Barat. Itulah antara sebabnya menteri dan wartawan dari Malaysia juga dibenarkan untuk masuk seterusnya menyaksikan sendiri pembaharuan yang berlaku di negara itu.

Hampir saban hari, kami menyaksikan tunjuk perasaan antikomunis dan pro-komunis di Medan Medan (Red Square) yang terletak berhampiran Kremlin.

Ketika itu, di satu bahagian Red Square diletakkan obor api yang berterusan menyala sebagai simbol semangat perjuangan rakyat yang mahukan pembaharuan di Russia.

Menurut penduduk, obor api itu juga sebagai menandakan penghormatan kepada beberapa penduduk awam yang terbunuh ketika Russia melalui perubahan kuasa daripada komunis membawa kepada pemerintahan Boris Yeltsin. Dalam susana kacar-bilau di Kremlin, Yeltsin menggunakan kesempatan untuk menonjolkan diri sebagai 'pejuang rakyat'.

Beliau berdiri megah di atas sebuah kereta kebal, menyeru rakyat menghentikan keganasan sebalik membina masa depan baru bagi Russia.

Rakyat menyambut baik angin pembaharuan yang melanda Russia, tetapi mereka terpaksa menyesesuaikan diri dengan suasana penghidupan baru. Bayangkanlah bagaimana mereka mahu hidup dalam 'kepompong' baru sedangkan dulunya mereka berada dalam 'kepompong kuku besi'.

Rakyat Russia, khususnya penduduk Moscow kelihatan canggung dengan perubahan itu. Secara tiba-tiba penghidupan 'ala-Amerika' menjadi model mereka. Hampir seluruh penghidupan daripada ekonomi kepada sosial berubah kepada sistem Amerika.

Ekonomi pasaran bebas diperkenalkan manakala hiburan ala-Amerika mendapat tempat di hati rakyat - terutama di kalangan orang kaya dan berkemampuan.

Dolar Amerika bagaikan raja dan menjadi buruan - daripada pengemis sehinggalah ahli perniagaan.

Ekonomi pasaran bebas menyebabkan rakyat mahu memperdagangkan apa saja barangan yang mereka miliki. Di tepi-tepi jalan Red Square ada rakyat yang menjaja satu-satunya botol madu yang dimilikinya, ada yang mempamerkan beberapa kotak rokok jenama Amerika, ada yang menjual satu-dua patung troika dan tidak kurang yang menunjukkan sehelai-dua baju atau sekuntum-dua bunga.

Mereka menunjukkan barangan kepada pengunjung 'berwajah asing' dan mendesak dibayar dalam dolar Amerika. Di luar Red Square, pengemis berkeliaran, menadah tangan, merayu dan terus merayu sehingga anda menghulurkan sesuatu. Sebaik saja melihat kebaikan anda, entah dari mana, ramai lagi pengemis akan mengerumuni anda, meminta dicampakkan sesuatu.

Pada waktu malam pula, di luar hotel, gadis Russia tanpa berselindung menawarkan diri untuk ditiduri pengunjung asing. Tak mahal, kata mereka, hanya AS$100 untuk perkhidmatan sepanjang malam.

Rancangan televisyen dipenuhi program dari Amerika. Filem-filem Amerika mendapat sambutan hangat. Dunia Hollywood menjadi pujaan. Ada slogan berbunyi: "Dibawakan khas untuk anda, dari Hollywood terus ke Moscow."

Pertunjukan di kelab malam dan hotel juga dipenuhi dengan hiburan ala-Amerika manakala pengunjung tidak lekang dengan botol arak. Artisnya menyanyikan lagu-lagu Amerika, seolah-olah Amerikalah pusat dunia, membuatkan seseorang pengunjung itu kadang-kadang terlupa dia kini berada di 'ibu kota dunia komunis'.

Lagu seperti 'Welcome to the Hotel California' nyanyian kumpulan Eagles dari Amerika menjadi kegilaan. Lagu ini dinyanyikan berulang-ulang menyebabkan ada pengunjung menjadi bosan.

Salah satu perkara yang dikatakan mesti dilakukan pengunjung ke kota Moscow ialah menyaksikan sendiri mayat Vladimir Lenin, pengasas Soviet Union. Untuk tujuan itu, tiket perlu dibeli dan kemudian beratur dalam barisan panjang untuk memasuki bangunan berkenaan yang terletak di Red Square.

Barisan itu mungkin sepanjang satu kilometer pada hari minggu. Pengunjung tidak boleh bercakap-cakap sebaliknya bergerak perlahan-lahan dengan diawasi askar yang berdiri tegak tanpa menunjukkan sebarang emosi. Semakin dekat bangunan itu, semakin banyak askar mengawal suasana.

Di dalam bangunan yang menempatkan Lenin, pengunjung melepasi kotak kaca yang menempatkan pemimpin itu. Hanya wajahnya kelihatan. Kolar bajunya lengkap dengan tali leher. Ada pengunjung yang memberi tabik hormat manakala kebanyakannya melepasinya saja.

Bagi saya, terasa kelegaan sebaik saja keluar dari bangunan itu. Terasa hembusan angin segar musim bunga Moscow sedangkan ketika di dalamnya terasa seperti dalam kurungan atau penjara! Lenin kini terpenjara dalam kotak kacanya - nasib diktator ini lebih buruk daripada jutaan rakyat yang dipenjarakannya dalam sebuah negara bernama Soviet Union!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: