Friday, May 22, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 2: Antara Visi Abdul Ghafur Dan Albright

Surat khabar menjadi penyebab saya mengenali Abdul Ghafur, seorang penjual akhbar di seberang jalan berhadapan Kompleks Kota Raya.

Berdasarkan susuk tubuhnya, saya mengagak Abdul Ghafur berusia dalam lingkungan 60-an.

Abdul Ghafur mudah dikenali. Seperti kebanyakan peniaga India Muslim daripada generasi lama, dia sentiasa berkain putih. Malah setiap kali saya ketemuinya, Abdul Ghafur mengenakan baju putih dan berkopiah putih. Dia duduk tekun di depan akhbar yang dijualnya - jarang saya melihatnya di tempat lain.

Pengenalan saya dengan Abdul Ghafur berdasarkan minat dan mungkin juga 'kerjaya dalam industri yang sama'.

Saya seorang wartawan yang akan resah jika tidak menatap sekurang-kurangnya sebuah akhbar nasional setiap hari manakala Abdul Ghafur seorang peniaga yang membanting tulang bagi memastikan akhbarnya habis dijual.

Biasanya sebelum memulakan perjalanan jauh ke tempat kerja, saya membeli akhbar untuk mengisi masa dan yang paling penting mengetahui hal ehwal semasa sebagai persediaan sebelum memulakan tugas. Kadang-kadang saya membaca sehingga empat akhbar.

Ramai orang berpendapat membaca dalam bas ekspres menyeksakan. Sebenarnya, itu cerita lama. Kini, dengan adanya rangkaian bas ekspres selesa (berhawa dingin dan pelbagai ciri lain), membaca begitu menyeronokan.

Penumpang boleh membaca dalam kedudukan yang mereka rasakan paling selesa. Ini kerana bas ekspres jarang penuh (kadang-kadang ada beberapa penumpang saja), kecuali pada hari perayaan. Oleh itu, penumpang boleh bersandar atau berbaring 'macam raja' ketika membaca.

Akhbar 'diburu' untuk dibaca. Selepas dibaca, ia tidak dipedulikan lagi. Jika di rumah, pejabat atau perpustakaan, akhbar itu boleh dikongsi tetapi bagi saya, ia tidak berguna selepas tiba di ibu kota.

Dulu, saya tinggalkan saja akhbar itu dalam bas. Tetapi jika hampir setiap hari dibuat begitu, saya rasa rugi pula. Kemudian saya terfikir untuk menjualnya dengan separuh harga.

Kebanyakan peniaga yang saya temui, menolak mentah-mentah usaha saya itu, sehinggalah saya bertemu Abdul Ghafur.

Demikianlah, surat khabar menjadi penyebab saya mengenali Abdul Ghafur. Hari demi hari, ikatan berdasarkan kepentingan bersama (penjual dan pembeli) itu kian mantap.

Saya tidak perlu banyak membuka mulut apabila bertemu Abdul Ghafur, hanya beri salam, letakkan akhbar itu dan dia akan menyerahkan duit yang disorokkan di bawah timbunan akhbar kepada saya. Lepas itu saya pergi sambil mengucapkan terima kasih.

Suatu hari menjelang Ramadan, ketika saya lakukan perkara yang sama - letakkan akhbar, ambil duit dan bergegas pergi - Abdul Ghafur menjerit memanggil saya.

Berderau darah saya kerana menyangka saya telah membuat kesalahan yang menyebabkan peniaga tua itu naik darah.

"Encikkk," katanya. "Minggu depan, saya balik India. Saya sudah beritahu rakan-rakan saya mengenai Encik (maksudnya saya boleh terus menjual akhbar di gerai itu)."

"Yakah? Berapa lama? Mana tempat?" tanya saya.

"Enam bulan," katanya. "India Selatan."

"Siapa ada sana?" tanya saya.

"Bini ada. Anak ada. Cucu ada."

Segera terbayang di kepala saya, Abdul Ghafur disambut penuh tangisan tetapi 'bagaikan wira' oleh keluarga dan sanak-saudaranya.

Bayangkanlah, selepas bertahun-tahun merantau dan bekerja keras, Abdul Ghafur akhirnya pulang 'bercuti' selama enam bulan untuk bersama-sama keluarganya pada bulan Ramadan, Syawal dan musim haji.

Hati saya tersentuh. Terasa sedih kerana peniaga baik hati itu (tidak menolak rezeki walaupun kecil) tidak akan saya temui untuk suatu jangka waktu yang panjang.

Apabila terbayangkan cucu-cucu Abdul Ghafur mengejar datuk mereka apabila dia pulang nanti, saya menjadi lebih terharu. Saya pun menyeluk saku dan mengeluarkan jam tangan secara berkata: "Beri kepada cucu."

Saya tidak tahu status kerakyatan Abdul Ghafur. Tetapi saya mengagak, dia adalah antara jutaan pendatang di seluruh dunia yang berusaha membaiki penghidupan di rantau orang, termasuk negara kita.

Di Malaysia dianggarkan ada 2.1 juta pekerja asing (statistik pertengahan 1990-an), 1.5 juta daripada mereka berada di Semenanjung Malaysia. Dianggarkan 300,000 hingga 500,000 rakyat Filipina menetap di Sabah. Menurut perangkaan, sehingga 1 Januari 1997, ada 960,164 pekerja yang sah dari segi undang-undang di negara ini.

Negara Asia Selatan menjadi penyumbang tenaga buruh yang besar ke negara Asia yang pesat membangun. Dianggarkan 440,000 pekerja India berhijrah ke negara lain setiap tahun, dari Pakistan seramai 120,000 orang, dari Bangladesh seramai 190,000 orang dan dari Sri Lanka seramai 130,000 orang.

Negara penyumbang tenaga buruh lain di Asia ialah Indonesia dengan 130,000 pekerjanya ke seberang laut setiap tahun dan Filipina dengan 720,000 orang.
Rantau Asia yang paling banyak menerima pekerja asing ialah Asia Barat yang mencatatkan lima juta orang, diikuti Malaysia (2.1 juta), Jepun (1 juta), Korea Selatan (1 juta) dan 300,000 orang masing-masing di Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Di Hong Kong dilaporkan ada 14,200 rakyat Malaysia yang berusaha mencari penghidupan yang baik di bekas tanah jajahan British itu.

Selain itu ada 20,500 rakyat Australia, 20,900 rakyat India, 21,500 rakyat Jepun, 25,500 rakyat Thailand, 25,900 rakyat Indonesia, 26,700 rakyat Britain, 28,200 rakyat Kanada, 32,600 rakyat Amerika Syarikat dan 128,000 rakyat Filipina di kepulauan itu (perangkaan 1997).

Berdasarkan perkembangan semasa, saya percaya jika seseorang itu mahu mengubah penghidupannya, adalah lebih baik dia berhijrah - keluar dari kampung halamannya bagi mencuba penghidupan baru.

Di peringkat antarabangsa, kisah Madeleine Albright adalah contoh terbaik. Daripada seorang budak miskin di Czechoslovakia (kini terbahagi kepada dua negara - Republik Czech dan Slovakia), Albright yang dilahirkan pada 1937, berpindah ke 'Dunia Baru' pada 1948 dan berjaya meningkatkan diri sehingga menjawat tugas yang menurut sesetengah penganalisis sebagai yang paling sibuk di dunia iaitu Setiausaha Negara (kini bekas Setiausaha Negara) Amerika Syarikat!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

No comments: