Thursday, May 28, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 5: Ingatkan Motosikal, Rupanya...

Sekali sekala saya memandu kereta pergi dan balik pejabat yang jaraknya kira-kira 320 kilometer. Walaupun masa perjalanan lebih singkat berbanding menggunakan kenderaan awam, ia meletih dan membosankan. Maklumlah perjalanan terlalu jauh dan apabila pulang terpaksa memandu sendirian dalam kegelapan malam.

Sesetengah orang gemar memandu pada malam hari bagi perjalanan jauh. Menurut mereka ketika itu suasana nyaman manakala lalu lintas agak lengang.

Bagaimanapun pada saya, memandu pada malam hari adakalanya menyeksakan. Selain terpaksa menahan rasa mengantuk, sikap pemandu lain, benar-benar menguji kesabaran.

Pelbagai perkara tidak diduga juga boleh berlaku ketika kita berada di lebuh raya pada malam hari.

Kenderaan besar 'lebih bebas' pada malam hari. Ia bagaikan 'raja lebuh raya'. Bas ekspres 'bertarung' sesama sendiri seolah-olah ada piala yang diburu manakala lori dipandu bagaikan 'pelesit'.

Selain itu, ada 'pemandu gila' yang 'gatal tangan' memainkan lampu 'high beam' jika kenderaan anda berada di depan mereka. Sekalipun tahu anda sedang memotong kenderaan lain, pemandu 'spesies' ini sengaja memainkan lampu itu, memaksa anda ke tepi dengan segera.

Bagaimanapun pada pandangan saya, cabaran terbesar ketika berada dalam kegelapan malam di lebuh raya adalah menghadapi kenderaan besar (terutama lori) yang lampu belakangnya tidak berfungsi atau 'dipasang cincai' saja.

Dari jauh kita melihat samar-samar cahaya satu lampu merah. Kita mengandaikan kenderaan di depan itu sebuah motosikal kerana setahu kita motosikal saja kenderaan berenjin yang ada satu lampu di bahagian belakangnya.

Semakin lama, lampu merah itu semakin dekat. Kita tidak bimbang kerana motosikal biasanya bergerak di di tepi lorong paling kiri dan tiada masalah memotongnya.

Dengan mata bagai ditarik-tarik, mati-matian kita ingat kenderaan di depan ialah motosikal.

Bagaimanapun, apabila sudah dekat betul, barulah kita sedar kenderaan dengan 'lampu merah tunggal' itu bukan motosikal tetapi...alamak, lori!

Bagi yang sempat mengelak atau menekan brek, bersyukurlah, tetapi bagi yang gagal bertindak pantas kerana terkejut, berangan-angan atau memandu laju, hanya Tuhan saja yang tahu nasibnya.

Sebagai pengguna tetap lebuh raya, saya amati bahagian belakang kenderaan berat terutama lori susah dicamkan dari jauh pada malam hari. Selain ada lori dengan satu lampu belakangnya menyala, lebih teruk lagi ada lori dengan kedua-dua lampu belakangnya tidak berfungsi.

Ada yang lampunya menyala tetapi keadaannya teruk. Cahaya lampu pudar, terutama bagi lori yang mengangkut tanah dan batu. Sudahlah lampunya bersaiz kecil (lampu belakang kereta pun lebih besar dan terang), ia diselaputi debu dan tanah pula.

Ada lori pula 'diselubungkan' dengan kanvas hitam, terutama pada hari hujan. Jadi pemandu dalam jarak beberapa ratus meter di belakang tidak tahu ada lori depannya.

Tiba-tiba saja ia sudah ada di depan mata. Ada pula lori yang rosak, dibiarkan saja di tepi jalan raya, tanpa sebarang tanda amaran.

Saya hairan mengapa tidak diwajibkan lori dipasang dengan lampu besar dan terang di bahagian belakangnya. Disebabkan sudah beberapa kali menghadapi situasi begini, saya geram sungguh dan berpendapat kalau boleh, pasang saja 'lampu kalimantang' di belakang lori. Barulah pemandu lain nampak dari jauh dan mengambil langkah berhati-hati.

Saya berpendapar pemasangan lampu bahagian belakang lori dengan ciri keselamatan lebih baik (terang, besar dan bukan hanya dua lampu kecil di bahagian bawah kenderaan itu), dapat membantu ramai pengguna jalan dan lebuh raya.

Perkara ini saya rasa tidaklah susah dilaksana atau dikuatkuasakan, tidak macam pemasangan kotak hitam yang diheboh-hebohkan ataupun kewajipan untuk penunggang motosikal memasang lampu dalam panas terik dan cahaya terang-benderang sepanjang lebuh raya.

Kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di Malaysia bukan saja diperkatakan dalam negara, tetapi juga oleh pihak luar. Misalnya, ketika sambutan perayaan berkembar (Tahun Baru Cina dan Aidilfitri) baru-baru ini (1997), agensi berita Reuters melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah buntu dalam menangani kemalangan jalan raya yang terus meningkat.

Agensi berita itu berkata di sebalik tindakan kerajaan melancarkan gerakan peringkat kebangsaan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya pada 31 Januari 1997, kemalangan semakin kerap.

Katanya, purata 600 nahas jalan raya sehari dicatatkan antara 31 Januari hingga 7 Februari 1997. Bagi tahun 1996 saja, lebih 6,000 orang mati dalam nahas jalan raya.
Seperti Malaysia, sebuah lagi negara membangun yang dilaporkan mempunyai kadar kemalangan yang tinggi ialah Maghribi (Morocco) di Afrika.

Menurut perangkaan, sepanjang 1995, Maghribi mencatatkan 41,552 kemalangan sekalipun hanya ada 1.66 juta kereta di negara dengan 27 juta penduduk itu. Jumlah kemalangan di Maghribi dikatakan sembilan kali lebih banyak daripada Perancis dan 10 kali ganda berbanding Norway.

Sepanjang enam bulan pertama tahun 1996, 1,196 orang terbunuh manakala 26,599 cedera dalam 18,033 kemalangan jalan raya di Maghribi. Sepanjang tempoh yang sama pada 1995, 1,618 orang mati manakalalebih 30,000 orang cedera dalam nahas jalan raya.

Kadar kemalangan di Maghribi juga tinggi berbanding jirannya, Algeria yang mencatatkan 24,842 kemalangan dalam enam bulan pertama tahun 1996 sekalipun jumlah kereta di negara itu lebih banyak iaitu 2.1 juta buah.

Menurut 'New Guinness Book of Records 1996', Latvia (sebuah negara Komanwel Negara Berdaulat -CIS - bekas republik Soviet Union), mencatatkan kadar kematian nahas jalan raya tertinggi di dunia iaitu 34.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk manakala Malta yang terendah dengan 1.6 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Sementara itu kemalangan jalan raya yang mengorbankan paling banyak orang adalah letupan sebuah lori tangki minyak dalam Terowong Salang di Afghanistan pada 3 November 1982. Sebanyak 176 orang disahkan terkorban dalam nahas itu.


***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.

No comments: