Friday, May 8, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 10: Perjalanan Kerohanian

Apabila kapal terbang Aeroflot yang kami sewa berlepas dari Moscow menuju ibu kota Kazakhstan, Alma Ata, saya fikir sudah hilanglah sebahagian 'pantang-larang' ketika di Russia - seperti soal makanan.

Di Moscow, saya langsung tidak menjamah makanan daging yang dihidangkan sama ada di hotel atau di luar kecuali di Kedutaan Malaysia. Saya yakin makanan demikian tidak halal dan terpaksalah makan roti dan sayur-sayuran saja. Tetapi saya perhatikan sebahagian besar rombongan Malaysia tidak mempedulikan hal itu. Mereka 'membelasah' saja apa yang dihidangkan.

Bercerita mengenai soal makanan ini, saya teringatkan gelagat seorang wartawan kanan Malaysia ketika berada di Bangkok. Ketika menikmati makanan, beliau memberitahu saya dan beberapa wartawan lain yang membuat liputan sebuah sidang kemuncak di ibu kota Thai itu bahawa "kita berada dalam keadaan darurat, oleh itu usahlah bersusah payah memikirkan masalah itu."

Beliau kemudian memesan 'mi siam sup berdaging lembu' dan apabila makanan itu datang, beliau berkata: "Aku sembelih lembu ini." Tangannya menggayakan sudu dan garpu, seolah-olah bagai pisau penyembelih.

Dengan lafaz, Bismillah...beliau kemudian menikmati hidangan itu!

Di Alma Ata, saya fikir bolehlah saya menikmati makanan berdaging halal kerana saya difahamkan separuh daripada penduduknya beragama Islam. Tetapi apabila saja 'menjadi penghuni' Hotel Kazakhstan, fikiran apabila berubah apabila berdepan dengan petugas hotel yang mengaku beragama Islam tetapi tidak tahu bahawa daging babi haram untuk dimakan. Petugas berkenaan menunjukkan daging babi dalam tin yang juga menjadi makanan mereka. Pekerja itu juga tidak tahu arah kiblat apabila saya bertanya apabila mahu solat.

Berdasarkan tinjauan, saya membuat andaian mereka hanya Islam dari segi nama tetapi tidak dari segi amalan. Ada seorang lelaki memberitahu tidak perlu solat kerana ia mengganggu tugas harian dan tidak selaras dengan masyarakat moden.

Bagi menguji andaian itu, saya dan rakan-rakan berkunjung sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya Alma Ata. Khabarnya masjid itu dibuka semula sebaik saja Kazakhstan mengisytiharkan kemerdekaannya tetapi masih dipimpin oleh seorang presiden bekas komunis, Nursultan Nazarbayev.

Sejumlah pengemis menyambut kami di depan masjid. Mereka merayu-rayu dan terus-menerus mengejar kami sehingga ke tangga masjid. Ketika kunjungan itu, waktu solat paling hampir (zohor) belum masuk. Di beranda masjid, kelihatan ramai warga tua duduk-duduk sambil bersembang.

Tidak kelihatan orang sedang solat, berzikir atau membaca al-Quran. Saya fikir inilah wajah sebenar penduduk Islam Kazakhstan. Golongan tua ini mungkin kembali ke masjid - mengenangkan waktu-waktu lampau - ketika mereka beribadat dalam masjid itu.

Tetapi kezaliman pemerintah yang tidak membenarkan mereka melakukan ibadat secara terbuka, mungkin menyebabkan mereka terlupa amalan tersebut. Mereka hanya mampu berkumpul beramai-ramai tetapi tidak tahu beribadat.

Apabila mengetahui kami beragama Islam, golongan tua ini menyambut kami dengan ramah sekali. Kami berjabat dengan begitu erat sekali tetapi disebabkan halangan bahasa, tidaklah dapat kami mencungkil rahsia mengapa mereka berkumpul beramai-ramai di masjid itu.

Berdasarkan keterangan pegawai Kazakhstan yang tahu bahasa Inggeris kemudiannya, kami difahamkan umat Islam Kazakhstan sebenarnya hauskan ilmu Islam dan berharap mubaligh Islam dari bahagian dunia lain dapat membantu mereka.

Selepas beberapa hari berada di Kazakhstan, kami berangkat pula ke Bishkek, ibu kota Republik Krygyzstan. Keadaan di Bishkek adalah sama seperti di Alma Ata. Penduduk Islamnya seolah-olah baru sedar daripada tidur yang cukup lama dan kini kebingungan mengenai masa depan mereka. Pemimpin mereka mendepangkan tangan menyambut kedatangan kami. Apabila mengetahui kami beragama Islam, semakin hebat sambutan diberikan.

Seorang pemimpinnya bercerita mengenai Anwar Ibrahim yang katanya dikenali di kalangan pemimpin pemuda Islam antarabangsa.

Dari Bishkek, kami meneruskan perjalanan dengan pesawat Aeroflot ke Tashkent, ibu kota Republik Uzbekistan. Tashket sebuah kota besar, malah bandar raya yang terbesar di Asia Tengah. Di sinilah terletaknya pusat ketamadunan Asia Tengah era Soviet Union.

Kota ini bagaikan sebuah replika Moscow dalam bentuk lebih kecil. Sama seperti di Moscow, penduduknya tidak ada masa untuk orang asing. Mereka terkejar-kejar, seolah-olah memburu sesuatu dan 'amat kedekut' dengan senyuman.

Selepas, Tashkent, kami mengunjungi pula kota Bukhara dan Samarkand. Di sinilah 'perjalanan kerohanian' saya bermula.

Ketika menziarahi makam Khussam ibn Abbas di Samarkand, terbayanglah di kotak fikiran saya mengenai pengorbanan sepupu Rasulullah s.a.w. ini. Dari Tanah Arab, Khussam menggembara beribu-ribu kilometer meninggalkan tanah air untuk menyampaikan seruan Islam di Khurasan (kini Uzbekistan).

Beliau bukan menaiki kapal terbang seperti kebiasaan kita hari ini, tetapi menggunakan kudrat binatang seperti kuda dan unta. Jika kita yang menaiki pesawat pun kadang-kadang tidak tahan dengan cabaran menggembara, bayangkanlah dugaan yang dihadapi oleh Khussam. Sepupu Rasulullah s.a.w. akhirnya syahid dan dimakamkan di bumi Khurasan.

Bukhara dan Samarkand adalah gambaran kebesaran Islam zaman Islam. Nama-nama masyhur dalam dunia Islam seperti Ibnu Sina, Abu Nawas, Imam Bukhari dan Muslim adalah sinonim dengan rantau ini. Penakluk agung seperti Timurlane yang mempunyai empayar yang terbentang luas dari pinggir Eropah ke China juga memusatkan pemerintahannya di Samarkand.

Menyelami pengorbanan Khussam dan Saad ibn Waqqas (seorang sahabat Rasulullah) yang pergi lebih jauh lagi (negara China) untuk menyampaikan seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., membuatkan saya insaf. Bagaimana Khussam dan Saad melakukannya?

Di sini saya lihat buminya berpadang pasir manakala gunung-ganangnya diselimuti salji. Apabila angin bertiup, ia begitu kencang menyebabkan tubuh dicengkam kesejukan sehingga tulang. Bagaimana mereka merentasi halangan ini?

Saya mula melihat diri sendiri. Memeriksa apa yang sudah dilakukan sepanjang hidup saya. Jasa tiada. Ilmu dan amal pun kurang. Kalau ilmu kurang macam mana mahu tolong orang lain. Untuk diri sendiri pun, tidak lepas, macam mana mahu bantu orang lain?

Segala macam persoalan timbul di benak. Ringkasnya, saya benar-benar insaf selepas muhasabah diri.

Akhirnya, ketika mengunjungi makam Khussam dan Imam Bukhari, perasaan sedih begitu mencengkam diri. Siapakah diri ini jika mahu dibandingkan dengan tuan yang mulia, wahai Bukhari, wahai Khussam, demikian rintih hati saya.

Saya benar-benar terharu, apatah lagi ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci di Makam Imam Bukhari. Oh, alangkah malangnya nasib aku yang buta huruf al-Quran sedangkan hamba-hamba Allah di bumi Soviet Union ini masih ada yang baik bacaan mereka sedangkan selama beratus-ratus tahun ditekan penjajah, termasuk selama 70 tahun oleh komunis. Ya, Allah, Kau lapangkan dadaku untuk mempelajari kitab-Mu!

***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: