Thursday, April 30, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Bab 6: Kecondongan Akhbar

Salah seorang personaliti yang menarik perhatian saya ketika berada di Balai Berita ialah A. Kadir Jasin. Ketika saya baru menyertai Berita Harian (pertengahan tahun 1980-an), beliau adalah Pengarang Kumpulannya. A. Kadir Jasin atau kadang-kadang dikenali sebagai AKJ, kemudian menjadi Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) dan seterusnya sebagai Ketua Pengarang The New Straits Times Press (NSTP).

Sebagai orang baru, saya memang 'segan' dengan Kadir. Yang menarik perhatian saya ialah cara dia 'menangani' pemberita. Saya suka memerhatikan bagaimana Kadir dengan tangan bersilang di belakang atau dalam poket, berjalan sepanjang bilik berita, kemudian berhenti di belakang pemberita yang sedang menaip di komputer.

Dia melakukannya secara senyap-senyap membuatkan pemberita tidak menyedari kehadirannya.

Dia akan berhenti lama, memerhatikan huruf-huruf di layar komputer. Saya terfikir jika yang ditaip oleh pemberita itu adalah tugasannya tidaklah menjadi masalah, tetapi apa akan terjadi jika melakukan sesuatu di luar bidang tugasnya - seperti menaip surat kepada kekasih, menaip kerja-kerja peribadi dan seumpamanya.

Saya perhatikan Kadir akan berhenti agak lama jika yang sedang menaip di komputer itu seorang pemberita wanita. Saya tidak tahu kenapa tetapi jika beliau 'mengendap' di belakang pemberita lelaki, tempohnya tidaklah lama.

Cara Kadir ini mengajar pemberita agar tidak membuat kerja-kerja sampingan di pejabat. Tumpuan harus diberikan 100 peratus kepada kerja-kerja yang diamanahkan.

Satu lagi pendekatan Kadir yang tidak boleh saya lupakan ialah menggunakan sistem suara dalaman (intercom) untuk memanggil wartawan ke biliknya. Secara tiba-tiba, peti suara akan bergema dengan bunyi:...SILA MASUK BILIK. ENCIK KADIR MAHU JUMPA!

Apabila nama seseorang itu disebut, semua mata dalam pejabat memandang ke arahnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa bangun dan dengan langkah longlai dan kepala tunduk, menuju bilik A. Kadir Jasin.

Saya juga pernah dipanggil ke biliknya. Sebelum masuk, saya ketuk pintu. Di biliknya, saya dapati Kadir sedang leka menaip di komputernya. Tekun benar beliau dengan kerjanya. Saya menunggu dengan hati berdebar-debar. Seminit berlalu, dia masih membuat kerjanya, seolah-olah tidak ada orang di biliknya.

Dua minit dia masih begitu, tidak mempedulikan saya. Kemudian secara tiba-tiba dia memusingkan tubuhnya (kerusinya jenis yang boleh berpusing), dan menghadap saya. Bunyi keriutan kerusi itu sudah cukup mengetarkan perasaan wartawan baru seperti saya.

Mata bertentang mata, dan akhirnya saya tunduk, memandang lantai. Selepas membelek-belek kertas (salinan berita yang saya buat) di mejanya, dia bertanya saya.

"Awak sekolah mana?"

Dengan teragak-agak, saya pun sebutkan nama bekas sekolah saya.

"Oh, sekolah orang putih, ya?" sindirnya.

Saya hanya mengangguk. Selepas itu itu membelasah (mengutuk) saya cukup-cukup. Katanya, macam mana saya boleh buat laporan seperti itu. Tatabahasa dan ejaan banyak yang salah.

"Aku dulu sekolah Tamil, tau!" tengkingnya. Memanglah perkara ini tidak betul. Beliau hanya mahu mencabar saya supaya menghasilkan tulisan yang lebih baik selepas itu.

Akhirnya selepas puas membebel, dia pun suruh saya keluar.

Petang itu saya rasakan 'langit bagaikan sudah runtuh di atas kepala saya'. Kalau diikutkan hati mahu saja saya berhenti kerja. Tetapi saya sabarkan diri dan memujuk hati dengan berkata sendiri: "Inilah dunia wartawan. Seorang wartawan akan tabah menghadapi cabaran demi cabaran. Kalau saya berhenti, akan rugilah segala ilmu kewartawanan yang saya pelajari selama tiga tahun."

Ketika berkhidmat di bawah AKJ, pelbagai perkara saya pelajari mengenai kewartawanan. Salah satu perkara yang tidak saya lupakan ialah pandangan AKJ mengapa berita dan rencana yang disiarkan kelihatan berpihak kepada kerajaan.

Katanya, kita berkhidmat untuk menyokong 'government of the day' (kerajaan masa kini). Maksud beliau wartawan perlulah membantu kerajaan yang memerintah dalam menjelaskan dasarnya kepada rakyat dan menjalankan tanggungjawab memajukan masyarakat.

Akhbar memang condong kepada kerajaan bagi memastikan ia dapat menunaikan tanggungjawabnya sosialnya (social responsiblility). Jika ditakdirkan kerajaan bertukar, sokongan akhbar akan beralih kepada kerajaan baru itu, demikianlah pemahaman saya mengenai apa yang diperkatakan oleh AKJ.

Selepas beliau dilantik Pengarang Kumpulan NST, jarang benar saya menemuinya. Apabila terserempak dengannya, saya menegurnya. Entah mengapa selalunya pertemuan tidak dijangka itu berlaku dalam tandas. Selalunya AKJ sedang mengambil wuduk. Saya tidak boleh lupakan cara dia mengangkat kaki untuk dibasuh dalam sinki (sink).

Berdasarkan itu, saya membuat andaian sendiri, AKJ ini tetap mementingkan ibadat sekalipun sekali-sekala saja dia kelihatan di surau, iaitu ketika diadakan majlis tertentu seperti penyerahan pakaian ihram kepada bakal jemaah haji NSTP.

Yalah, mana beliau ada banyak masa untuk kerap ke surau - bukankah dia sentiasa sibuk menjalankan tugasnya sebagai pengarang syarikat akhbar yang terbesar di negara ini!

*****Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: