Monday, April 27, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam/Bab 3: Kerja Sebagai Ibadat

Sekalipun sibuk menjalani kehidupan sebagai wartawan, sebahagian besar daripada kami begitu taat mengerjakan suruhan agama.

Ini terbukti jika dilihat kehadiran jemaah di surau The New Straits Times Press (NSTP). Surau di bangunan lama Balai Berita (sebelum 1990) agak kecil yang boleh menempatkan kira-kira 40 jemaah. Selalunya ketika solat fardu, surau ini penuh, malah ada yang terpaksa sembahyang di koridor surau.

Bagaimanapun, bukan semua jemaah adalah wartawan. Sebagai sebuah organisasi yang besar, jemaah surau terdiri daripada pelbagai lapisan pekerja. Ada yang bertugas di unit agama seperti ustaz dan imam, ada yang bekerja di bahagian pengeluaran (production), ada bekerja di bahagian pentadbiran dan sebagainya.

Selepas berpindah di bangunan baru, jemaah NSTP dapat menunaikan ibadat di surau lebih besar dan selesa. Surau yang boleh menempatkan beratus-ratus jemaah ini, terletak di tingkat satu.

Betapa pentingnya soal beribadat ditekankan di kalangan kakitangan Islam NSTP boleh dilihat daripada kesediaan pihak majikan menempatkan pegawai agama dan imam untuk membimbing pekerja. Selain mengadakan pelbagai kelas pengajian agama, majikan juga membuat tawaran kepada kakitangan untuk menunaikan haji pada setiap tahun.

Pada pertengahan tahun 1990-an juga diperkenalkan kursus penghayatan Islam di mana setiap pekerja Islam - wartawan dan bukan wartawan - dimestikan mengikutinya. Melalui kursus seperti inilah ditekankan konsep bekerja sebagai ibadah.

Tetapi melalui kursus inilah timbul persoalan yang menjadi tanda-tanya berpanjangan. Pada kebanyakan sesi, penceramah menekankan betapa seseorang pekerja itu perlu amanah dalam tugasnya kerana daripada hasil titik peluh mereka (gaji) akan diberi makan kepada anak isteri.

Amanah termasuklah bekerja sepenuh tumpuan, datang dan balik pada masa ditetapkan, tidak mencuri tulang dan tidak menyalahgunakan wang dan harta syarikat. Penceramah juga memetik maksud hadis bahawa daging yang tumbuh akibat daripada makan harta haram, akan dibakar oleh api neraka jahanam.

Penceramah juga menasihati pekerja tidak mengabaikan solat dan ibadat lain bagi membolehkan kerja mereka dapat dinilaikan sebagai ibadat. Bekerja bagi memberi nafkah kepada anak isteri serta tanggungan adalah ibarat jihad dan jika mati ketika bekerja adalah mati syahid.

Seperti pekerjaan lain, kerjaya wartawan juga boleh dinilai sebagai ibadat. Wartawan juga mempunyai peranan dan saham yang besar bagi membangunkan ummah dan negara. Meneliti sejarah negara, wartawanlah antara golongan yang bersama-sama bermati-matian menyemarakkan semangat bagi membolehkan negara mencapai kemerdekaan. Tokoh-tokoh seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), A. Samad Ismail dan ramai lagi turut bersama-sama memerdekakan negara.

Bagaimanapun dalam dunia kewartawanan negara yang begitu cepat berkembang sekarang, wujud pula unsur yang boleh menidakkan kerjaya wartawan itu sebagai ibadat. Persoalan seperti inilah gagal dijawab oleh penceramah kursus penghayatan Islam berkenaan.

Sebagai contoh, ambillah sebuah akhbar harian sebagai satu pakej untuk menjadi bahan perbincangan. Kandungan akhbar pelbagai - daripada berita dan iklan di muka satu, di bahagian tengah kebanyakan akhbar disiarkan rencana manakala berita sukan diletakkan di muka belakang.

Kebanyakan berita akhbar diakui sebagai sah dan tidak menjadi masalah. Cuma kadang-kadang ia boleh dipertikaian dari segi keutamaan, kesilapan fakta, sumber dan kecenderungan kepada pihak tertentu. Selepas berita, kita akan ketemui pelbagai rencana termasuk yang menekankan soal moral (ini termasuklah rencana agama yang memberi pelbagai nasihat untuk membaca seperti kewajipan menutup aurat, tidak terbabit dalam kegiatan minum arak, tidak menikam ekor (berjudi) dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun nasihat itu menjadi sia-sia saja apabila kita menyingkap halaman seterusnya kita akan temui iklan arak (akhbar Melayu tidak lagi menyiarkannya), iklan empat nombor ekor, fitnah dan gosip artis, gambar artis separuh bogel dalam ruangan hiburan dan pelbagai lagi bahan (terutama dalam bahagian iklan) yang tidak sejajar dengan apa yang 'dikhutbahkan' dalam rencana, ruangan agama dan sebagainya.

Jika kita menjadi pengarang, wartawan, jurugambar atau penyunting ruangan hiburan sesebuah akhbar atau sidang redaksi majalah hiburan, 'tangan-tangan' kitalah yang menulis, merekabentuk seterusnya menyiarkan gambar-gambar artis-artis yang tidak senonoh berkenaan.

Jika wartawan berkenaan terbabit secara langsung dalam pembikinan ruangan atau majalah tidak senonoh, apakah boleh pekerjaan kita itu boleh ditakrifkan sebagai ibadat dan 'hasil titik peluh' (gaji) yang diperolehi itu halal untuk diberi makan kepada anak isteri kita di rumah? Tidakkah kerja kita itu ibarat 'memberi makan api neraka kepada anak isteri?

Jika seorang wartawan itu tidak terlibat sama sekali pun dalam pembikinan ruangan tidak senonoh sesebuah akhbar, dia masih dikira bersubahat kerana bersama-sama bekerja menerbitkan akhbar berkenaan. Bersubahat dikira sama-sama terbabit. Rasulullah s.a.w. bukan saja mencela orang minum arak, tetapi juga orang yang terbabit dalam penyediaan arak seperti pembuat, penghidang dan penjualnya.

Jika demikian halnya, apakah kerjaya sebagai seorang wartawan itu dapat dikatakan ibadat? Demikianlah persoalan yang gagal dijawab melalui kursus penghayatan Islam yang menyebabkan saya menyifatkan diri saya menghadapi satu dilema paling hebat - DILEMA SEORANG WARTAWAN.

****** Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: