Tuesday, April 21, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam/Pendahuluan

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis akan secara beransur-ansur menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar, Semabok, 75050 Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Buku ini juga kedapatan di beberapa buah perpustakaan termasuk Perpustakaan Negara. Sila taip 'Dilema Seorang Wartawan Islam - Lanh' pada enjin pencarian. Sekian, wassalam.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

Pujian dan syukur kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT saya dapat menghasilkan buku mengenai pengalaman dalam dunia kewartawanan ini. Sejak kecil lagi, saya bercita-cita menjadi wartawan. Ia menjadi kenyataan apabila saya diterima menjalani latihan kewartawanan di akhbar Berita Harian pada tahun 1985.

Setahun kemudian saya memulakan kerjaya di akhbar yang sama. Selama lebih 12 tahun (sehingga Januari 1998) saya menyumbangkan tenaga - daripada wartawan kadet, wartawan meja berita, jenayah, penyunting seterusnya penyunting berita luar negara dan akhir sekali sebagai pengarang luar negara.

Pada peringkat awal, saya tidak berapa pedulikan corak pemberitaan dan pendekatan yang dibuat oleh akhbar. Yang diutamakan adalah membereskan tugasan yang diberi oleh pihak atasan.

Seperti kebanyakan wartawan muda lain, yang dipentingkan adalah ganjaran yang diterima setiap hujung bulan. Dengan gaji yang diterima itu, dapatlah dilanjutkan kelangsungan hidup, terutama di ibu kota yang segala-galanya memerlukan wang.

Tahun demi tahun, saya mula rasai kekosongan dalam menjalani penghidupan sebagai wartawan. Tugas sebagai wartawan memerlukan komitmen tinggi sehingga ramai yang mengabaikan 'keperluan diri sendiri'.

Sebagai seorang Islam, saya mula memikirkan apakah 'saham' yang dapat disediakan untuk bekalan di akhirat. Perjalanan alam akhirat tersangat jauh, tetapi dalam 'kesibukan' dunianya, seseorang wartawan itu mungkin terlupa perkara tersebut.

Dunia kewartawanan masa kini penuh dengan unsur-unsur yang berlawanan daripada sifat fitrah seseorang insan itu.

Misalnya, dalam 'kehebatan' akhbar menceritakan keburukan judi dan minuman keras, pihak yang sama juga memperuntukkan ruangan iklan minuman keras dan ruang khas keputusan empat nombor ekor.

Dalam ruangan agama dan rencana misalnya, dijelaskan kewajipan orang Islam menutup aurat tetapi dalam akhbar yang sama juga disiarkan gambar yang tidak bermoral.

Kadang-kadang pula disiarkan laporan yang bercanggah dengan akidah dan berita berunsur fitnah. Semua ini sudah tentu tidak sesuai dengan jiwa seorang Muslim yang merdeka kerana dia yakin semua perbuatannya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman saya. Saya rasa amat rugi jika pengalaman seumpama itu tidak didedahkan untuk pengetahuan umum, terutama untuk tatapan bakal wartawan (termasuk pelajar bidang Komunikasi Massa) dan wartawan.

Buku-buku mengenai bidang kewartawanan memang banyak di pasaran tetapi buku mengenai pengalaman seseorang wartawan itu sukar ditemui. Sehubungan itu adalah diharapkan buku ini dapat menambah khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.

Diharapkan sumbangan kecil ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan saya sendiri sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Orang yang mati itu yang mengikutinya tiga. Yang balik dua dan yang tinggal bersamanya satu. Yang balik keluarga dan hartanya. Yang tinggal bersama adalah amalannya." - Riwayat Bukhari.

Berhubung dengan bidang Kewartawanan dari sudut pandangan Islam (dalam bahasa Melayu), saya mengesyorkan pembaca meneliti buku H.M.Tuah Iskandar dengan tajuk 'Kewartawanan Islam, Dicabar, Tercabar, Mencabar', terbitan Karya Media Publisher.

Saya sedar banyak kelemahan yang terdapat dalam buku ini, oleh itu saya terbuka kepada kritikan. Kesilapan adalah daripada saya sendiri, oleh itu saya memohon maaf kepada pembaca dan juga kepada individu tertentu yang namanya disebutkan dalam bukunya.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memungkinkan saya menulis buku ini, terutama kepada kedua-dua ibu bapa dan mentua saya, saudara kandung, isteri dan anak-anak, guru-guru dan rakan-rakan yang terbabit dalam dunia kewartawanan. Akhir kata, terima kasih kepada semua.

No comments: