Monday, September 13, 2021

Safar 6, 1443: Usah nilai buku berdasarkan kulitnya

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Firman Allah Taala: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu apabila disebutkan Allah nescaya gementarlah hati mereka ketakutan (laksana hati jadi jilah bersih dan hidup)." (al-Anfhal, ayat 2)


MOTOSIKAL saya rosak lagi. Maka kepada Heng (pemilik bengkel motosikal dikampung saya), saya serahkan kenderaan itu untuk diperbaiki. Si Heng ini peramah, dan disebabkan saya sudah terlalu biasa dengannya, saya berborak dengan pemuda Cina ini tanpa ditapis-tapis butir perbualannya.


Sebagai satu-satunya pemilik bengkel motosikal di kampung, Heng berkongsi pelbagai pengalaman dan karenah penduduk. Dia tahu siapa pelanggan yang boleh dipercayai dan mereka yang tidak jujur. Dia mendakwa ada pelanggan yang sudah diperbaiki motosikalnya enggan menjelaskan bayaran. Ada yang bayar tetapi tidak cukup jumlahnya, kemudian mereka buat-buat lupa.


Kata Heng, dia cuba memahami dan menolong pelanggan. Misalnya ada yang datang ke kedainya, meminta diganti tiub bocor tetapi tiada duit dalam poket. Atau wang mereka tidak cukup. Dia bersedia menolong, membenarkan mereka membuat bayaran kemudian, malangnya ada terus lesap atau buat-buat lupa.


Ada pelanggan yang berhutang apabila membeli motosikal terpakai, tetapi tidak menjelaskannya. Mereka berjanji akan membuat bayaran bulanan, tetapi apabila masanya sampai, batang hidung mereka pun tidak nampak. Heng berkata dia bukan jenis orang yang suka berkunjung ke rumah orang menagih pembayaran hutang.


Sekalipun saya berkopiah, dalam pertemuan terbaru dengan Heng itu, dia tidak teragak-agak membelasah sesetengah orang yang penampilannya bagaikan ustaz, pak lebai, pak imam dan “pak-pak haji.”


Heng berkata kebanyakan “pak haji” amanah orangnya, menepati janji dan jujur dalam membuat bayaran, malangnya ada segelintir ‘pak haji’ sikap mereka tidak berpadanan dengan penampilan. Mereka bagaikan penyamun tarbus. Pandai berhutang, tetapi liat membayar, buat-buat lupa atau terus ghaib.


'Pak-pak haji’ inilah memalukan Islam. Mereka menjatuhkan maruah agama, tidak

menunjukkan teladan baik kepada orang bukan Islam seperti Heng. Saya memuji Heng

kerana dia tidak menghentam semua ‘pak haji’ atau membuat kesimpulan sendiri

bahawa semua orang berimej begitu tidak boleh dipercayai.


Katanya, dia begitu baik dengan seorang imam. Dia mendakwa iman itu pernah

mengajaknya ke negara China, melihat-lihat sejarah kebesaran orang Muslim China.

Imam itu berjanji membiayai tambang dan memberi duit belanja, tetapi Heng belum

bersedia.


“Imam itu memang ‘best.’ Dia balik dari Makkah (umrah), dia hadiahkan saya itu

korma (kurma) hijau-merah (kurma muda),” kata Heng. “Dulu seorang lagi imam pun

banyak baik, macam-macam hadiah dia beri kat saya, tetapi dia sudah mati,” katanya.


Dalam berbual-bual itu, sempat Heng “berkhutbah” kepada saya. Katanya, hati mahu bersih, tidak kotor. “Jangan buat jahat pada orang, jangan bikin kacau orang, itu Tuhan Alla(h) atas sana tahu,” katanya.


Selepas dia bercakap begitu, saya dengan pantas berkata, “Hei Heng, awak masuk Islamlah, apa yang awak cakap itu selari dengan Islam!” Heng tidak terperanjat dengan ajakan saya itu sebab itu bukanlah kali pertama saya berkata begitu kepadanya.


“Masuk Islam susah sikit. Saya makan itu babi. Saya banyak dosa oiii. Dulu perempuan saya suka, minum lagi, sikalang (sekarang) tidak lagi. Saya taubat,” kata Heng.


“Lu sudah taubat, itu banyak bagus. Kalau lu masuk Islam, semua lu punya kisah

lalu sudah ‘close.’ Lu akan dapat buku baru. Lu akan mulakan ‘chapter’ baru,” kata saya.


Heng tetap tidak mahu masuk Islam. Dia belum mendapat hidayah. Bagaimanapun dia

tetap segan kepada “pak-pak haji” yang berulang-alik di depan kedainya untuk ke masjid

pada setiap kali azan berkumandang. Tetapi seperti katanya, ada “pak haji” baik, ada “pak

haji” tidak baik. Oleh itu amat sesuailah peribahasa Inggeris, “Don’t judge a book by its

cover” (Jangan nilai sesebuah buku berdasarkan kulit depannya).


Bercakap mengenai peribahasa ini, saya teringat banyak perkara menepati maksudnya. Tidak lama dulu dilaporkan sejenis belacan yang cantik pada luarannya (warnanya agak cerah) dilaporkan mengandungi sejenis bahan pewarna pakaian. Belacan yang kelihatan menarik itu sebenarnya disaluti racun yang amat memudaratkan pengguna.


Demikian juga sesetengah ikan yang kelihatan segar, terutama yang dijual di pasar raya besar. Pengawet mayat digunakan bagi membolehkan ikan-ikan itu tahan lama. Oleh itu jangan tertipu dengan keadaan luaran sesuatu benda itu, boleh jadi isinya tidak sehebat gambaran luaran.


Seorang pakar pemakanan tidak lama dulu memberitahu, jika mahukan beras yang selamat, pilihlah yang ada sedikit kutu dalamnya. Katanya, kehadiran kutu menunjukkan beras itu selamat dimakan sedangkan beras berkilau cantik tanpa walau seekor kutu dalamnya menunjukkan ia mungkin disembur terlalu banyak bahan pengawet (racun).


Demikian juga kaedah memilih sayur-sayuran, yang kelihatan cantik dan segar bugar itu kemungkinan besar diracun berlebihan. Sebaliknya sayur yang ada kesan ulat memakannya, itulah yang lebih selamat, demikian beritahu pakar pemakanan itu.


Dakwaan beliau ada kebenarannya kerana satu kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan kebanyakan sayur yang dijual di pasar borong dan pasar raya besar, dicemari racun makhluk perosak penyebab kanser.


Berdasarkan perkembangan ini, jelaslah bahawa sesuatu itu tidak boleh dinilai berdasarkan sifat dan fizikal luarannya. Sama seperti sebuah buku tidak boleh dinilai berdasarkan kulitnya, demikian juga bahan makanan seperti sayur-sayuran, beras dan ikan.


Bagaimanapun, yang teramat penting, seseorang manusia itu tidak boleh dinilai berdasarkan fizikal luarannya. Itulah sebabnya dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. meminta seseorang lelaki yang mahu berkahwin memilih wanita beragama, bukan kerana kecantikan, keturunan dan kekayaannya.



No comments: