Thursday, September 23, 2021

Safar 16, 1443: Kg Abdullah Hukum; di manakan kucari ganti...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


TIDAK lama dahulu saya membawa seorang anak gadis saya ke tempat interbiu kerja di Bangsar South. Saya yang memandu kereta dari Melaka teragak-agak mencari tempatnya sekalipun 20-30 tahun lalu saya bermastautin di sini kerana bekerja di NSTP.


Tapak Bangsar South ini dulunya adalah Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Teringat saya semasa mula-mula belajar memandu kereta semasa bujang dulu, sebuah kedai 'lesen L' di Kampung Abdullah Hukum menjadi tempat kunjungan. Teringat saya dalam satu sesi belajar memandu, pakcik pengajar mengajak saya 'cepat-cepat cabut' selepas saya terlanggar 'bontot' sebuah kereta yang di pakir.


Sekalipun kereta berkenaan tiada kesan calar, pakcik berkenaan suruh saya 'cabut' kerana kononnya 'dia tak mahu cari pasal'. Hari ini bukan saja kedai berkenaan tiada, Kampung Abdullah Hukum pun tiada lagi dalam peta. Semuanya sudah memberi laluan kepada apa yang dinamakan pemodenan dan kemajuan - yang tersergam menongkah langit adalah menara dan bangunan Bangsar South.


Kalau Kampung Abdullah Hukum sendiri sudah tiada, agak-agak tahu tak generasi sekarang siapakah dia Abdullah Hukum. Orang segenerasi saya pun tidak tahu apatah lagi generasi baru. 


Alhamdulillah, tidak lama dulu, saya ada membaca buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum (antara tokoh peneroka Kuala Lumpur) yang antara lain menyatakan: 


"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850. 


"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.


"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabok Batu Tiga (ini kampung saya - penulis). Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.


"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."


Selepas Melaka, Abdullah Hukum dikatakan telah berhijrah ke Kuala Lumpur, menjadi salah seorang peneroka awal di sana. Beliau telah membuka Kampung Abdullah Hukum di Bangsar, tetapi sayang seribu kali sayang, kampung ini tidak wujud lagi.


Lenyapnya Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi digantikan Bangsar South sewajarnya menyedarkan bahawa sebenarnya kita kehilangan khazanah bangsa yang sangat berharga. Sebahagian sejarah bangsa telah terpadam meninggalkan emosi menyayukan hati sesetengah daripada kita yang masih bernostalgia mengenai zaman itu.


Kedua-dua kampung di KL yang sudah lenyap ini, tidak mungkin berganti tetapi ibu kota kita masih 'menyimpan' saki baki khazanah bangsa (kampung Melayu) di dada kota seperti Kampung Baru yang sudah acap kali mahu dilenyapkan tetapi alhamdulillah masih berdiri sasa.


Berbanding Kampung Abdullah Hukum dan Kerinchi, Kampung Baru adalah lebih dekat di hati saya. Saya pernah tinggal di sini, ingatan akan tempat makan minum di banyak gerai di sini tidak akan terpadam daripada minda...ya jika Kampung Baru lenyap ia adalah mimpi buruk bagi diri ini dan mungkin juga sebahagian besar anak perantau ke KL, tidak kira mereka dari dekat atau dari jauh seperti Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak malah Pattani dan Indonesia.


Didoakan pihak berkuasa dapat beriltizam untuk memulihara khazanah bangsa yang mungkin tidak dapat dicari ganti seperti Kampung Baru. Biarkan Kampung Baru menongkah arus...biarkan ia terus hidup dengan nama dan identiti asalnya (Kampung Baru) dan bukan nama komersial baru seperti KL New Village!

No comments: