Thursday, September 30, 2021

Safar 23, 1443: Batu bergolek tak kumpul lumut...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


NAMA masjid kampung saya Al-Abrar. Masjid orang baik-baik. Tidak lama dahulu kuliah subuhnya menampilkan Ustaz Zul Ramli, seorang pendakwah terkenal yang sering muncul di Radio IKIM dan program Tanyalah Ustaz TV9.


Antara pesanan sang ustaz ini yang 'cukup melekat' di hati saya adalah sebagai insan tidak cukup untuk kita menjadi orang baik-baik. Alhamdulillah jika kita orang baik-baik, teruslah berusaha sepenuh tenaga, jiwa dan hati serta berdoalah semaksimum mungkin untuk kita mengakhiri hidup kita sebagai orang baik-baik. Mati dalam husnul khatimah. Mengakhiri hidup sebagai orang baik-baik itulah yang didambakan sebelum kita menemui Tuhan kita.


Apa itu husnul khatimah? Seorang ulama menukilkan: Husnul khatimah merupakan suatu kondisi yang mana seorang hamba diberi taufik oleh Allah Ta'ala sebelum datangnya kematian untuk meninggalkan segala macam perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Ta'ala, dan dia diberi taufik oleh Allah Ta'ala untuk bertaubat daripada segala dosa dan maksiat dan bersegera melakukan ketaatan dan perbuatan baik, kemudian dia menutup usianya di atas kebaikan.


Anas bin Malik r.a., berkata: Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempekerjakannya. Para sahabat bertanya: Bagaimana Allah akan mempekerjakannya? Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan memberikan taufik kepadanya untuk beramal salih sebelum dia meninggal dunia.” (HR. Ahmad (12036) dan Thirmidzi (2142) dan disahihkan oleh Al-Hakim, Dhiya' Al-Maqdisi, Al-Arna'ut dan Al-Albani)


Ustaz Zul Ramli mengingatkan pengakhiran yang baik adalah kemuncak daripada perjuangan kita  dalam menjadi orang baik-baik. Pengakhiran itulah penentunya - misalnya apa erti jika kita memasuki perlumbaan lumba lari seperti 400 meter; kita bermula dengan pantas dan mengekalkannya pada sepanjang  larian tetapi pada 10 meter terakhir kita tidak dapat menamatkannya?


Lantas beliau mengingatkan hadirin sebuah hadis yang secara ringkasnya bermaksud ada orang berbuat baik (ketaatan) sepanjang hayatnya tetapi apabila tinggal sedepa lagi untuk dia memasuki syurga dia terjebak dalam amalan jahat menyebabkan dia dicampakkan ke dalam nereka manakala ada orang yang hampir seumur hidupnya berbuat kejahatan tetapi pada 'last minute' (minit terakhir) dia berbuat kebajikan lantas dia dimasukkan ke dalam syurga.


Orang salih (baik-baik) amat takut dengan ancaman ini. Mereka berterusan berdoa kepada Allah SWT agar dimatikan sebagai orang baik-baik. Selain pasrah kepada Allah SWT, mereka juga memerhatikan amalan mereka. Salah satu jalan adalah 'mengistiqamahkan' diri di jalan Allah.


Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Istiqamah  bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah cukup teguh.  


Jadi kepada diri saya dan semua, beristiqamahlah dalam kehidupan (perjuangan)...jangan lari. Alhamdulillah, di negara kita, orang Melayu yang amat rapat dengan Islam dapat menterjemah 'istiqamah' ini dalam mereka melayari kehidupan. Mungkin peribahasa-peribahasa Melayu ini dapat memberi serba sedikit kefahaman kepada kita. 


Misalnya, orang tua-tua menjelaskan bahawa batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kita disyorkan bahawa 'alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan' atau genggam bara biar sampai jadi arang. Mandi biar basah, makan biar kencang; ya mungkin tidak ada gunanya atau tidak membawa hasil yang bagus jika kita sekalipun bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan tetapi tidak dapat melakukan 'finishing'-nya (penamat yang sempurna). Misalnya, kita mengecat rumah, tetapi apabila tinggal berbaki 10 peratus lagi, kita 'give up' (berputus asa misalnya kerana penat) jadi apakah bentuk hasil yang kita dapati?


Realitinya dalam kehidupan, ramai yang tidak istiqamah...ramai yang melarikan diri daripada terus berada di atas rel kebenaran, ya kita tak tahan pancaroba serta ujian kehidupan.  Jadi akuilah bahawa sebenarnya kita perlu istiqamah dalam kehidupan ini. Ingatlah pesanan bijak pandai Melayu itu - batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kalau kita melompat ke sana ke sini, tidak banyak manfaat dapat kita kumpulkan dalam hidup kita.


Mungkin ada orang berkata, jika di sesuatu tempat itu tidak lagi kondusif untuk kita, maka langkah terbaik adalah berhijrah. Ya, berhijrahlah (tetapi jangan lari kerana ada perbezaan besar antara kedua-duanya), tiada siapa yang menghalangnya; tetapi kita mesti ingat ada pepatah Melayu berbunyi - tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. 


Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik - baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah selepas 13 tahun berdakwah di Makkah tanpa hasil memberangsangkan tetapi selepas 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w. kembali semula ke tanah airnya yang tercinta, Makkah...lokasi dakwah berbeza tetapi perjuangan baginda tetap sama...iaitu meletakkan seluruh manusia tunduk hanya kepada Yang Maha Kuasa! Baginda Nabi s.a.w. istiqamah dalam perjuangan...bagaimana diri kita? 

No comments: