Wednesday, September 29, 2021

Safar 22, 1443: Apakah kita mahu gembira saja (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan


"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


APAKAH usaha kita untuk mendekati Yang Maha Kuasa?


Sebagai makhluk-Nya yang lemah, ada kehendak dan impian kita tercapai dan ada yang tidak. Ya, betapa banyak azam kita tidak tercapai-capai jua. Kita merancang, yang menentukannya Allah SWT.


Tidak lama dulu, ketika tertonton 'highlight' (babak menarik) sebuah drama Cina di televisyen, tersentak hati saya sebentar ketika mendengar perbualan dua gadis. Seorang daripadanya merungut-rungut kerana banyak kehendaknya tidak tercapai. Jawapan si temannya mengejut dan menyentak jiwa saya. Antara lain katanya, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu dipenuhi kamu jadilah tuhan!"


Ya, Allah-lah Yang Berkuasa, kita tidak ada (punya) apa-apa. Tidak semena-mena saya menjadi insaf...sekalipun kata-kata ini diucapkan oleh seorang gadis Cina tanpa tauhid, terasa terpukul diri ini bahawa kita ini hanya HAMBANYA; Namun kita 'berlagak', berperasan kita boleh buat itu dan ini, berperasan kita berjaya kerana usaha kita.


Kita terlupa Allah SWT-lah penentu segala-galanya. Dia boleh memberi kita berjaya atau tidak, Dia juga penentu sama ada kita boleh mendapatkan sesuatu atau tidak. Semuanya terletak pada-Nya...namun kita selalu terlupa. Kita nakkan berjaya saja, tak dapat terima gagal atau segala perkara yang dianggap negatif lain seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan hilang pangkat dan jawatan.


Adakah dalam hidup ini kita mahu terima yang 'best' (baik-baik saja)? Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya dilalui secara pergiliran - ada kehendak kita dipenuhi ada yang tidak; ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang. 


Pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat. 


Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk). 


Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari


Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja. 


Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka! 


Kita perlu sedar dunia dan segala isinya sentiasa berubah. Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..." 


Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu). 


Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa!  

No comments: