DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62)
OGOS adalah bulan kemerdekaan. Selain Malaysia yang menyambut hari kebangsaan pada bulan ini, beberapa negara lain turut meraikan kemerdekaan masing-masing.
Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 9 Ogos, Indonesia pada 17 Ogos, Pakistan pada 14 Ogos manakala India pada 15 Ogos.
Sambutan kemerdekaan Pakistan dan India begitu bererti bagi rakyat kedua-dua negara yang bersaing hebat bagi membuktikan mereka adalah jaguh Asia Selatan.
Kedua-dua negara sudah terbabit dalam tiga peperangan, dua daripadanya membabitkan isu Kashmir.
Selain itu, Islamabad dan New Delhi juga didakwa bersaing memajukan senjata nuklear. Perkembangan ini kurang disenangi oleh Amerika Syarikat yang sudah pun bertindak ke atas Pakistan.
India juga diancam dikenakan tindakan selepas ia menguji peluru berpandu Prithvi.
India dikatakan lebih berjaya berbanding Pakistan dalam tempoh lima dekad sejak benua kecil itu merdeka. Ini berdasarkan satu tinjauan yang dibuat oleh majalah 'Far Eastern Economic Review' membabitkan 300 eksekutif.
Sembilan puluh lima peratus responden berkata India mempunyai kerajaan lebih demokratik berbanding Pakistan. India juga dilihat lebih stabil dari segi politik, lebih ke depan dalam pengurusan ekonomi dan lebih baik bagi membuat pelaburan.
Sekalipun isu Kashmir sering dikatakan sebagai punca ketegangan India-Pakistan, kedua-dua negara sebenarnya menghadapi pelbagai masalah dalaman yang boleh menjejaskan masa depan benua kecil itu.
Pakistan menghadapi pelbagai krisis puak, misalnya antara militan Syiah dan Sunnah yang menjejaskan keharmonian di wilayah Punjab dan Sindh. Sekalipun 97 peratus daripada 125 juta penduduk negara ini beragama Islam, perbezaan mazhab mencetuskan krisis yang mengamcam negara.
India pula menghadapi masalah berpunca daripada perbezaan agama penduduknya. Daripada lebih satu bilion penduduk India, 83 peratus beragama Hindu, 11 peratus beragama Islam, tiga peratus Kristian dan dua peratus Sikh.
Kemuncak perbalahan antara penduduk Hindu dan Islam ialah tindakan militan Hindu membakar Masjid Babri (didirikan oleh Maharaja Moghul, Babur, pada abad ke-16) pada 1992 dulu.
Rusuhan yang berlaku selepas peristiwa itu dan pergaduhan di Bombay menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh.
Berbanding rakyat India dan Pakistan, penduduk negara kita lebih beruntung. Di negara kita tidak berlaku rusuhan, sebaliknya penduduk pelbagai kaum dan agama dapat hidup dalam suasana harmoni walaupun sekali-sekala berlaku pergeseran yang biasanya dapat dipadamkan dengan segera.
Setiap tahun, suasana meriah bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan terasa apabila bendera Malaysia dan negeri mula dipasang dan dikibarkan di merata tempat.
Selain bangunan kedai dan pejabat, bendera dipasang di kenderaan dan rumah kediaman.
Suasana ini mungkin menggambarkan peningkatan semangat patriotik rakyat tetapi pengisian kemerdekaan bukan setakat mengibarkan bendera yang jika dihalusi menguntungkan pihak tertentu. Ia lebih daripada itu.
Kemerdekaan bukan hanya membabitkan negara tetapi juga masyarakat dan individu. Bagi saya, tidak bererti negara sudah merdeka tetapi anak bangsa masih dibelenggu dan terpenjara dalam pemasalahan masyarakat yang sukar diatasi.
Demikian perasaan yang membuak di dada ketika saya duduk sebentar di bangku panjang stesen bas ekspres Melaka pada suatu malam tidak lama dahulu sebaik saja tiba dari Kuala Lumpur ketika embun jantan mulai menitik.
Kerana keletihan, saya tertidur sepanjang perjalanan dan duduk sebentar di bangku itu bagi menghilangkan rasa kebingungan. Rupa-rupanya sebahagian bangku di situ berpenghuni.
Sebahagian daripadanya adalah pengembara terkandas manakala yang lain 'penghuni setia'nya. Mereka terdiri daripada golongan tidak siuman, pengemis, kutu rayau dan penagih.
Tong sampah di tempat itu sudah penuh menyebabkan sampah-sarap bertaburan, berbau dan menjijikkan.
Bosan dengan pemandangan itu, saya meneruskan perjalanan. Saya terserempak dengan dua wanita berpakaian seksi keluar dari sebuah pusat hiburan. Mereka berbual dalam bahasa Melayu sambil ketawa nyaring dan kemudian menghilang entah ke mana.
Kemudian saya melewati sebuah pusat permainan video. Pengunjungnya masih ramai sekalipun waktu sudah awal pagi.
Mereka terus hanyut dalam keseronokan yang dicipta sendiri tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Berhampiran sebuah pawagam, saya lihat seorang wanita (mungkin pondan) berdiri, seperti menunggu seseorang. Saya amati hampir setiap malam dia menanti (pelanggan?) dengan setia di situ. Di belakang deretan kedai dekat stesen bas tempatan juga terdapat beberapa pondan berkumpul.
Sekumpulan anak muda bermotosikal memecah keheningan malam. Mereka sengaja membunyikan enjin motosikal kuat-kuat, memecut dan berlumba sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau.
Di kaki lima jalan, seorang lelaki tidur (mabuk?) dengan lengannya dijadikan bantal.
Fikiran saya kacau menyaksikan senario tengah malam itu. Terfikir saya apakah ertinya kemerdekaan bagi insan ini jika jiwa dan raga belum lagi merdeka?
No comments:
Post a Comment