Saturday, September 4, 2021

Muharam 26, 1443: Semua berperanan melahirkan negara barakah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Al-Isra', 17:1.


PADA bulan Kemerdekaan negara ke-64 tahun sekarang ini, saya tak terkecuali mahu menunjukkan semangat patriotik, kononnya.


Saya turut mengibar bendera tetapi saya bertindak 'terlebih patriotik' dengan menjadikan puncak sebatang pokok mangga tinggi yang kedudukannya strategik (dapat dilihat dari semua penjuru termasuk jalan raya utama) bagi memasang bendera itu.


Pada sambutan tahun lalu saya melakukannya dengan 'cemerlang' dan mahu mengulanginya. Sebelum memanjat pokok, saya sudah siapkan bendera itu dengan mengikatnya ke buluh dan memasang tali yang akan saya ikatkan ke dahan pokok.


Dengan lafaz Bismillah dan doa saya pun mula memanjat. Tahun lalu, pekerjaan saya mudah...tetapi kali ini di pertengahan pokok, saya diserang ratusan kerengga. Subhanallah, kelihatan semua kerengga di pokok itu menuju ke arah saya.


Sekalipun digigit dan 'dikencingi' termasuk banyak kerengga yang menyelinap masuk ke baju dan seluar saya, saya meneruskan 'perjuangan' dan akhirnya apabila sampai ke puncak, saya mengikat galah itu dan selepas itu secara tergopah gapah turun.


Apabila menjejak tanah, saya berlari ke bilik air di luar rumah, membuka baju dan seluar dan mencurahkan air ke tubuh saya. Puluhan kerengga masih melekat di tubuh saya.


Sakit gigitan kerengga dan luka-luka kecil terkena dahan kayu tak tertahan tetapi yang lebih parah, seekor kerengga masuk ke dalam telinga kanan saya. Saya berusaha mengeluarkannya dengan menghala pancutan air hos getah ke dalam telinga, alhamdulillah, 'kerengga jahat' itu dapat dikeluarkan...


Hari ini, setiap kali ketika berada di luar rumah, saya dapat melihat bendera yang menjulang tinggi itu, berkibar megah, begitu juga agaknya orang lain yang lalu-lalang namun mereka tak tahu 'pengorbanan' (kalau boleh dikatakan begitu) dilakukan si pemasang bendera...ketika menulis celoteh ini, parut kesan gigitan kerengga masih kelihatan bertompok-tompok di tangan, leher, bahu dan dada saya dan badan pun masih sakit-sakit...


Ya, 'begitu susah' saya memasang bendera...tetapi apakah benar dengan hanya memasang atau mengibar bendera itu seseorang itu sudah patriotik?


Pada sambutan peristiwa penting, Hari Kemerdekaan negara yang ke-64 tahun ini, izinkan kita mengingatkan bahawa semua rakyat ada peranan dan saham dalam membentuk masa depan negara. Menjadi tanggungjawab seluruh rakyat daripada mereka yang berada pada setinggi-tinggi jawatan dan kedudukan seperti Perdana Menteri dan jemaah Kabinetnya hinggalah serendah-rendah kedudukan seperti penyapu sampah mengangkat martabat negara penuh barakah dengan menjunjung tinggi prinsip, nilai, akhlak, etika dan moral di semua peringkat. Inilah prinsip 'Negara Barakah' yang menjadi idaman semua.


Semoga aspirasi 'Negara Barakah' yang diimpikan ini dapat menjadikan Malaysia 'baldatun toiyibatun warabbun ghafur', yang bermaksud; 'negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah'.


Dalam menjalankan peranan sebagai rakyat demi agama, negara, bangsa dan keluarga, setiap orang walau apa jua jawatan mereka, perlulah jujur, telus dan ikhlas dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing.


Seorang guru harus jujur menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Tetapi jika kerap ponteng, tidak menjalankan amanah, menyemai benih kebencian di sekolah, dia bukan saja tidak patriotik, tetapi dia seorang pengkhianat.


Seorang tukang sapu sampah bersikap patriotik jika dia tekun dalam pekerjaannya. Dia tahu tugasnya membersihkan kota dan bandar, besar manfaatnya bukan saja dari segi keduniaan tetapi juga akhirat. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda antara cabang iman ialah membuang duri di jalanan malah memberi penghargaan tertinggi kepada seorang pembersih Masjid Nabawi selepas baginda diberitahu dia sudah meninggal dunia?


Jadi seorang tukang cuci adalah seorang yang patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Namun seorang pembersih adalah pengkhianat kepada agama dan bangsa jika dia gemar mencuri tulang, tidak amanah dan berkelakuan buruk lain.


Seorang ayah atau ibu bersikap patriotik jika menghabiskan usia mendidik anak-anaknya agar jadi insan berguna yang patuh kepada Allah SWT. Seorang ibu tidak pula dikelaskan sebagai patriotik jika dia mencampakkan anaknya ke dalam tong sampah atau membiarkan anak yang baru dilahirkan di tangga masjid.


Seorang pemimpin bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah. Pemimpin adil yang takut balasan Allah SWT yang disegerakan di dunia dan akhirat adalah mereka yang patriotik. Namun pemimpin perasuah, kaki kroni, kaki temberang, kaki maksiat dan pelbagai kaki lagi, tidak juga bersikap patriotik sekali pun mereka dengan 'muka munafik' mengibarkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan atau terpekik terlolong, menjerit 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!' Dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa, munafik agama dan kemungkinan besar syaitan bertopengkan manusia.


Seorang ustaz bersikap patriotik jika dia mengamalkan apa yang diajarkannya. Dia mengajar bukan untuk mengejar ringgit tetapi keredaan Allah SWT. Dia takut terjatuh dalam kategori golongan munafik apabila berceramah dan bercakap tidak sama perbuatan.


Kesimpulannya, semua orang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan agamanya. Dia tidak patriotik jika lupakan Penciptanya - Allah SWT. Hanya orang yang taat perintah Tuhannya adalah orang patriotik kerana dia tahu Allah SWT sentiasa mengawasinya.


Apabila seseorang itu 'dikawal' oleh hukum-hakam yang ditetapkan Allah, tidak menjadi masalah baginya, sama ada seorang sultan, raja, perdana menteri, menteri, pegawai, ustaz, wartawan, tukang sapu, penggiat budaya atau anak wayang untuk taat dan cinta pada negara, bangsa, keluarga dan dirinya sendiri.


Hakikatnya semua orang hidup sia-sia kecuali mereka yang berpegang kepada firman Allah SWT melalui Surah Asr yang bermaksud - demi masa, sesungguhnya semua manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.


Ingatlah, dunia adalah tempat untuk kita menanam benih, di akhirat nanti kita menuai hasilnya.


Nun di akhirat menjadi taruhan,

tempat kita merdeka selamanya,

budi dan emas hanyalah ujian,

tanda keadilan Yang Maha Kaya.


Selamat menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-64. Semoga negara dan kita semua diberkati Illahi, Amin.

No comments: