Wednesday, January 10, 2018

Titipan Seorang Pesara (13): Semasa remaja dikawal loceng, sewaktu tua dikawal...?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

APABILA penggal persekolahan bermula Januari ini, terkenang saya zaman di sekolah menengah berasrama penuh pada tahun 1970-an dulu. Salah satu aspek disiplin yang sangat ditekankan di sekolah ini adalah masa.

Hampir semua 'pergerakan' (aktiviti) terutama yang dilakukan secara 'berjemaah' (berkumpulan) 'ditandai' dengan deringan loceng yang sangat kuat di seluruh kawasan sekolah. Saya tak pasti sama ada satu loceng besar atau ada beberapa loceng dipasang di tempat-tempat tertentu.

Seawal jam 5.30 pagi deringan loceng yang kuat dan memanjang sudah 'memaksa' pelajar bangun. Jam 6.00 pagi sekali lagi bunyi loceng bergema, 'mengajak' seluruh pelajar ke surau untuk solat subuh. Namun ada yang 'cendekil' (mengelat), maka 'perburuan' pengawas akan memastikan mereka tetap ke surau

Jam 7.00 pagi loceng bergema lagi, untuk sarapan. Kemudian 7.30 pagi, berbunyi lagi untuk ke sekolah. Semasa mengikuti pembelajaran, setiap 40 minit jam berbunyi menandakan satu waktu pengajian tamat. Jam 10.15 pagi berbunyi lagi untuk 'snack' (minuman ringan), jam 1.30 petang berbunyi sebagai tanda berakhir waktu sekolah......demikianlah loceng itu sentiasa berbunyi sehingga yang terakhir pada hari itu pada jam 10.30 malam yang 'memaksa' semua pelajar masuk ke dalam kelambu (tidurlah)!

Ada sejumlah pelajar degil, tidak masuk kelambu. Kata mereka 'malam masih muda'. Namun mereka terpaksa masuk juga sebab warden bertugas diiringi beberapa pengawas akan berjalan dari satu katil ke satu katil di setiap dormitori menyuluh pelajar dengan api suluh. Sesetengah pelajar berlakon 'mematikan diri' - selepas warden dan pengawas sudah jauh pergi, mereka 'bangkit kembali'!

Pelajar nampaknya macam robot - pergerakan mereka 'ditentukan' oleh deringan loceng. Namun, lama kelamaan disebabkan 'sudah lali' (terbiasa), kebanyakan mereka dapat melakukan kegiatan seperti biasa sekalipun loceng tidak berbunyi seperti ketika 'black out' (terputus bekalan elektrik). Ya, kata orang alah bisa tegal biasa!

Adatnya, setiap yang muda akan menjadi tua. Saya (penulis) pun sudah tak berapa muda lagi, agak-agaknya pada usia tua ini, pergerakan kita dikawal oleh apa? Takkan dikawal oleh deringan loceng lagi?

Syukurlah pada usia tua sekarang ini, kebanyakan pergerakan saya dikawal oleh laungan azan menandakan waktu solat. Azan bergema lima kali sehari. Awal pagi kita sudah bangun untuk solat subuh, kemudian zuhur, asar, maghrib dan isyak.

Jadi kebanyakan pergerakan (aktiviti) yang dilakukan adalah berpandukan waktu solat. Misalnya untuk memulakan pekerjaan awal pagi, kita melakukannya selepas solat subuh, Kemudian kita mengambil masa untuk solat sunat dhuha dan sejam sebelum waktu zuhur masuk, kita sudah berhenti rehat untuk bersedia ke masjid.

Dalam menjayakan aktiviti sosial seperti kenduri kendara juga kita berpandukan waktu solat. Misalnya pada awal hari kita menjemput tetamu datang jam 11 pagi bagi membolehkan mereka berzikir dan berdoa dan kemudian makan dengan aman sebelum ke masjid untuk solat zuhur berjemaah. Adalah 'tidak bijak menjaga waktu' jika kita memulakan majlis jam 12.30 atau 1.00 tengah hari kerana waktu itu sudah terlalu hampir memasuki waktu zuhur.

Pemilihan waktu kenduri dan majlis lain membayangkan sama ada seseorang itu prihatin mengenai solat atau tidak. Oleh itu apa 'mesej' yang dapat dibaca jika seseorang atau sesuatu pihak itu memulakan majlis pada jam 4,00 petang atau 7.00 malam? Demikian juga mengapa belanjawan negara mula dibentang jam 4.00 petang?



Menjadikan laungan azan sebagai 'pengawal waktu' tidak boleh kita pergantungan 100 peratus...ini kerana dalam situasi tertentu suara azan tidak kedengaran misalnya ketika kita berada dalam masyarakat atau negara non-Muslim...namun jika pergantungkan diri kita hanya kepada Allah SWT, insya-Allah, kita, tidak kira muda atau tua, masa kita akan dijagai-Nya membolehkan kita selamat di dunia dan akhirat!

No comments: