Monday, January 1, 2018

IMAMS: Cukup-cukuplah rakyat didera...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


NAK pergi umrah pun kena GST, marah seorang wanita pertengahan usia yang berazam ke Tanah Suci. Hujung tahun ini dia tak dapat pergi kerana ada 'sikit masalah' tetapi jika tiada aral melintang, insya-Allah dia akan sana tahun depan. Beliau berang kerana melalui 'Integrated Manasik Monitoring System' (singkatannya adalah IMAMS, tak bolehkah guna bahasa kebangsaan?) jemaah umrah pun kena GST sebanyak RM5.10.

Kementerian Pelancongan memang sudah mengumumkan GST ini bersama bayaran tambahan RM45 untuk sistem serta insurans RM40, menjadikannya RM90.10 tetapi sehari kemudian ia ditarik balik dan mendapat pujian PM pula, waduh pandainya 'puak-puak ini' bersandiwara, mungkinkah PRU-14 semakin hampir yang memerlukan pemimpin Umno BN 'berwatak' (dilihat) menjiwai rakyat serta menyantuni mereka dalam apa jua keadaan.

Bercakap mengenai sandiwara ini, berdasarkan senario pilihan raya lalu, ramai pemimpin mahu menjadi 'hamba rakyat'. Maka dicanangkanlah di seluruh negara, pemimpin akan bekerja keras untuk kebajikan rakyat. Pemimpin akan bekerja kuat untuk rakyat, hatta 24 jam sehari pun sanggup.

Di sana sini dihebohkan, ada pemimpin kerja 20 jam sehari, ada pemimpin jam 12.00 tengah malam baru balik rumah, ada pemimpin pula dakwa sudah berhari-hari dia tak jumpa kaum keluarganya. Ramai pemimpin kelihatan ke sana sini menemui dan bersalaman dengan rakyat. Hatta tangan peniaga ikan dan ayam yang berlumuran kotoran pun sanggup mereka salami.

Tidak lama dulu selepas menang besar dengan janji untuk jadi 'hamba rakyat', ada pemimpin termasuk seorang menteri kanan yang menjaga hal ehwal air (kini bekas), mengeluh, 'tolonglah rakyat jangan banyak mengadu, kepala saya dah pening dah!'

Demikianlah bertapa ramai manusia pandai berjanji tetapi tidak berdaya mengotakannya. Janji-janji yang dibuat sesuailah dengan apa yang dihajatinya. Apabila sudah dapat, rakyat boleh 'blahlah'.

Demikianlah dalam politik, selepas sesuatu pihak itu menang besar dalam pilihan raya, kebanyakan janji tinggal janji. Ramai yang berjanji mahu beri kesenangan pada rakyat, rupanya rakyat makin sengsara. Bukan saja rakyat sudah jadi hamba tetapi 'disodok'nya ke tepi.

Dulu cakap mahu bagi rakyat senang, selepas menang bukan rakyat senang tetapi pemimpin yang senang lenang. Rakyat biasa mendapati harga barang melambung, kos hidup makin tinggi. Masuk tahun baru ini pelbagai tekanan dikenakan ke atas rakyat. Mungkinkah kadar tol naik, tarif air, elektrik naik, yuran sekolah anak-anak mahal, tambang bas naik manakala harga barang usah cakaplah - mahal betul.

Tengoklah tahun baru nanti ketika rakyat kebingungan kerana 'kekeringan' pada bulan Februari tidak lama lagi, mereka mendapat pula 'surat saman' daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Mereka dikehendaki mengisi dan mengira sendiri cukai yang perlu dibayar. Rakyat akan mengeluh, nak bayar cukai (keluarkan duit) pun mereka kena kira sendiri?

Rakyat (pemandu) yang kena saman ekor, juga mengeluh. Bagi yang mempunyai beberapa kesalahan trafik, terpaksalah mengeluarkan ratusan malah ribuan ringgit. Dalam masa mereka menghitung-hitung baki duit masing-masing, cukai jalan kereta mati, kena pula mereka 'sedekahkan' kepada JPJ ratusan ringgit lagi.

Penyeksaan itu belum 'berakhir' kerana apabila hendak memperbaharui 'road tax' mesti bayar 'insurans' dulu. Lagi sekali rakyat akan 'kopak' sekurang-kurangnya ratusan ringgit manakala ribuan ringgit adalah perkara biasa. Dengar khabar, kereta lama pun tak akan dibenarkan di jalan raya...pemiliknya akan diberi sedikit pampasan...persoalannya mampukah mereka membeli kenderaan baru?

Bagi rakyat yang 'berharta sikit' pada ketika ini pelbagai surat cukai datang - ada cukai pintu, ada cukai tanah dan pelbagai macam cukai lagi. Sekarang ini nampaknya 'semua barang; kena cukai', Cuma rakyat saja tak perasaan. Misalnya apabila kita 'isi petrol', kita kena bayar cukai, beli rokok kena bayar cukai'. Kalau makan di KFC, McDonald's memang sah, dalam resit ditulis cukai yang kita kena bayar. Lebih mengejutkan beli setem RM1 di pejabat pos pun kena GST menjadikannya RM1.06 sen.

Bagi yang 'beranak' pula, anak-anak yang bersekolah akan membawa bermacam-macam 'surat cukai' daripada pihak sekolah. Ada yuran itu, ada yuran ini. Kemudian ada borang untuk beli buku itu dan buku ini.

Pendeknya pening rakyat memikirkan betapa banyak bil, cukai dan yuran yang kena mereka bayar. Kalau yang berpendapatan RM3,000.00 (laki bini bekerja) apabila dihitung pembayaran bil dan semua perbelanjaan, tahu-tahu jumlahnya melebih RM3,000. Inilah dikatakan lebih keluar daripada masuk. Apabila ini berlaku tentulah hidup seseorang itu tidak aman.

Itulah sebabnya bumi tercinta Malaysia ini pun tidak aman lagi. Kalau seseorang itu reda dengan keadaan dirinya (imannya kuat), bolehlah dia bertahan. Tetapi bagi orang yang nafsunya lebih hebat daripada iman, tentulah berlaku kes-kes tidak diingini, ini termasuklah kes-kes muflis membabitkan anak muda. 

Bagi rakyat yang sudah terlalu dibebani oleh masalah, tidaklah menjadi kehairanan jika mereka merujuk kepada pemimpin termasuk menteri yang selama ini mengaku jadi 'hamba rakyat'. Tetapi malangnya, pemimpin pun tidak tahan dengan aduan-aduan ini. Bagi mengelak ditimbuni masalah rakyat, mereka mendakwa sudah pening kepala pula. Ya. mereka bersandiwara.

Kalau pemimpin sudah pening dan tak boleh bekerja lagi, buat apa duduk di kerusi empuk itu. Berhentilah saja dan bagi peluang orang lain yang nak jadi pemimpin. Hakikatnya ramai orang gilakan jawatan dan kedudukan pemimpin tetapi tidak ramai yang sanggup menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Buktinya ramai yang masih 'melekat' di kerusi empuk masing-masing walaupun sudah tersebar pelbagai kisah seperti rasuah dan penyelewengan yang membabitkan wang berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit. 

Ada juga yang 'tak pandai kerja' sehingga melakukan pelbagai sandiwara termasuk IMAMS - hari ini umum pelaksanaannya, esok tarik balik. 'Bos' pula bagi pujian...ini apa cerita? Kalau 'bos' prihatin kesusahan rakyat, tentu dia sudah 'fired' (singkir) orang bawahan seperti ini! Ini tidak, bos dan pengampunya mahu kekal dulu, kini dan selamanya!

No comments: