Monday, January 8, 2018

Mengharapkan 'sinar bahagia' pada tahun baharu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

SELAMAT menyambut tahun baharu 2018; semoga tahun baharu akan membawa 'sinar bahagia' kepada kita semua. Ya, ketika meluangkan masa sejenak membaca artikel ini, kita sudah dua hari berada dalam tahun baharu 2018.

Beberapa hari menjelang tahun baharu ada dua 'insiden' menyentuh hati saya. Yang pertama ketika duduk berhampiran seorang jurunikah yang menikahkan seorang anak saudara saya di Bangi, Selangor, beliau 'memperdengarkan' berita gembira kepada pasangan penganti baharu - kerajaan negeri Selangor akan memberi hadiah RM500 kepada mereka.

"Tetapi..."sang jurunikah mengalihkan pandangannya dari pasangan pengantin kepada golongan veteran termasuk saya..."hadiah perkahwinan ini untuk pasangan yang berkahwin kali pertama. Bagi yang kahwin kali kedua, tidak ada hadiah..." Lawaknya membuatkan kami ketawa, sedikit sebanyak menceriakan sebahagian besar daripada kami sebagai rakyat yang pada sepanjang 2017 terpaksa bertungkus-lumus bekerja bagi mencukupkan nafkah hidup, orang putih kata 'to make ends meet'.

Semakan di internet mengesahkan 'berita gembira' yang dikhabarkan jurunikah itu. Ya, Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menawarkan hadiah sebanyak RM500 kepada mereka yang baharu saja berkahwin untuk kali pertama.

'Insiden' kedua yang menyentuh hati saya ialah apabila diberi sebuah kalendar tahun baharu 2018 beberapa hari sebelum 2017 tamat. Inilah kalendar percuma pertama diberikan kepada saya selepas puas saya bertanya kepada sejumlah pekedai: "Tahun ini tak ada kalendar ke tauke?"

Kebanyakannya menjawab: "Aiiiyah, tahun ini tak ada kalendar. Kertas mahal. Kos 'printing' (cetak) mahal. Kena GST pulak. Tak ada duit mahu bikin kalendar."

Saya pun perasan, hujung tahun ini bukan saja kebanyakan tauke-tauke kedai tak keluarkan kalendar; organisasi dan pertubuhan juga tak menghadiahkan kalendar, malah pihak suratkhabar dan majalah yang biasanya menyisipkan kalendar dalam bahan cetakan mereka, kali ini tidak berbuat demikian.

Berdasarkan perkembangan ini, bolehlah kita andaikan banyak pihak kini dalam keadaan 'berjaga-jaga' - berwaspada agar 'bisnis' mereka 'tidak lingkup' pada era  sukar sekarang ini. Kini kerap kita dengar ada 'company' terpaksa ditutup menyebabkan ramai yang hilang kerja manakala penganggur termasuk di kalangan graduan universiti dikatakan 'bersepah di jalanan'.

Sejumlah kawan-kawan saya berkata ada 'company' yang memaksa pekerja lama (umur 55 ke atas) berhenti, syarikat yang kukuh ada yang menawarkan pemberhentian secara sukarela seperti VSS manakala tak kurang juga yang memansuhkan 'overtime', memotong gaji, membayar gaji ikut jam bekerja dan membayar setengah bulan gaji.

Demikian senario sukar yang menimpa rakyat sekarang ini, tetapi 'alangkah ajaibnya' sebelum tahun 2017 melabuhkan tirainya,  Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumukan agihan pendapatan dividen yang 'agak tinggi' sehingga tujuh sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB)! Selain itu ada bonus dan bonus khas lagi!

Maka politikus, penganalisis dan ahli ekonomi pun 'membunyikan gendang' bahawa ini petanda keyakinan bahawa ekonomi negara semakin kukuh pada tahun mendatang.

Kita menyucapkan 'syabas' kepada pengurusan PNB yang 'bijak berbisnis' sehingga dapat memberikan pulangan yang amat baik kepada pelabur jika mereka benar-benar berada dalam landasan terbaik tetapi tersangat berharap ia bukan satu manipulasi bagi menyediakan 'feel good factor' (suasana menggembirakan rakyat) menjelang PRU-14 yang dijangkakan dalam tempoh terdekat.

Jika PNB dapat menyediakan pulangan lumayan, besarlah harapan rakyat jika Tabung Haji, KWSP, Felda dan pelbagai agensi pelaburan lain dapat memberikan dividen dan bonus amat memberangsangkan kepada pelaburan rakyat. Kalau boleh, catatkanlah rekod sehingga 10 peratus atau 15 peratus! Ya Tabung Haji, KWSP, Felda...'you all can do it!'.

Ya, kita percaya semua itu boleh dijayakan bagi melebarkan 'feel good factor' membabitkan semua rakyat (seperti pemberian BRIM dan sebagainya)...apabila rakyat sudah tersenyum lebar (umpan sudah kena)...apa ditunggu lagi, 'sentaplah' pancing...maka Umno BN akan menang lagi, dulu, kini dan selamanya seperti yang mereka yakini, tetapi percayalah kali ini mereka sudah 'ter-over' - kail disentap terlalu kuat sehingga terkena biji mata mereka sendiri!

No comments: