DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
TAHUN lalu negara menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-60. Ini juga bermakna sudah 60 tahun Umno BN (dulunyanya Perikatan) memerintah negara ini kerana sejak Merdeka pada 1957 hingga kini hanya Umno BN yang memegang tampuk pemerintahan.
Tahun ini (2018) PRU ke-14 akan diadakan dalam masa terdekat, persoalannya akan berjayakah Umno BN melanjutkan mandatnya? Selepas 60 tahun rasanya amat layak untuk Umno BN bersara kerana sebagai perbandingan, bagi kakitangan kerajaan umur 60 tahun adalah tempoh maksimum untuk berkhidmat. Ertinya jika pekerja perlu bersara wajib, Umno BN pun patut 'dibersarakan' selepas usia 60 tahun ini!
Umur pencen pekerja asalnya 55 tahun, hanya tidak lama dulu dinaikkan kepada 56, kemudian 58 dan akhirnya-akhir ini 60 tahun.
Umno BN juga telah diberi banyak peluang untuk memerintah negara sekalipun ia sewajarnya 'pencen' selepas PRU ke-13 pada Mac 2013 dulu kerana gagal melepasi 50 peratus undi popular. Namun sistem undian 'first-past-the-post' (FPTP) memberi kelebihan kepadanya untuk kembali memerintah.
PRU ke-14 akan diadakan dalam tempoh terdekat, dan kalau komponen parti ini kalah maka akhirnya terpaksalah Umno-BN pencen selepas memerintah negara ini selama 60 tahun.
Tetapi jika Umno menang, ia boleh melanjutkan umur persaraannya, mungkin sampai 'ganyut' umurnya menepati slogan 'berkaratnya' - dulu, kini dan selamanya.
Namun sudah tentu Umno-BN tidak mahu pencen setelah 60 tahun memerintah. Ada pekerja pun tidak mahu pencen pada usia 60 tahun. Mereka mahu 'extra' - mungkin setahun dua lagi. Masih muda, kata kebanyakannya, terutama daripada sektor awam. Masih banyak boleh disumbangkan kepada agama, bangsa dan negara, dakwa sesetengahnya.
Demikianlah betapa banyak alasan diberi sedangkan jika mereka tidak pencen, macam mana ada kekosongan bagi membolehkan anak cucu masuk dalam dunia pekerjaan. Itulah antara sebabnya puluhan ribu graduan kini menganggur!
Ini kerana di ofis berlaku lambakan ‘datuk’ dan ‘nenek’. Masakan tidak ramai golongan veteran membanjiri dunia pekerjaan kerana hampir tiada yang mahu bersara pada usia 55 tahun dulu kerana bimbang tidak dapat imbuhan malah ada ura-ura tidak boleh keluar wang KWSP sepenuhnya pada usia itu sebaliknya 60 tahun.
Dulu, ramai juga pekerja tak mahu pencen pada usia 56 dan 58 tahun dan boleh dikatakan hampir semua kakitangan kerajaan ‘sign’ akan pencen pada usia 60 tahun. Jika pekerja yang ‘tiada kepentingan sangat’ enggan pencen pada usia 'muda' tahun tentunya Umno-BN tidak mahu kerusi empuk yang didudukinya direnggut pada PRU ke-14 nanti.
Mestilah Umno BN mahu berganjak ke angka 65, 70, 80 atau 100 tahun. Atau lebih baik lagi dulu, kini dan selamanya…Apabila Umno-BN tidak sedia pencen pada usia 60 tahun ini (berdasarkan propaganda hebat dilancarkannya terutama melalui media massa), apakah rakyat boleh berterusan berdiam diri?
Seorang kakitangan (pekerja) yang mahu usia persaraannya dilanjutkan mestilah menunjukkan prestasi baik bahawa dia masih boleh menyumbang bakti sekali pun badannya sudah sakit sana sakit sini.
Tidak guna ‘sign’ kontrak bersara lewat tetapi tahun-tahun terakhir bekerja dipenuhi MC, terlantar di wad hospital, ponteng, termenung sana termenung sini kerana kaki sudah dipotong kerana diabetes, tak larat bekerja dan sebagainya yang pasti menjejaskan operasi jabatan atau syarikat. Hal ini akan menyusahkan pihak pengurusan dan rakan-rakan sekerja. Lebih buruk lagi, dalam usia senja itu terbabit pula dalam amalan buruk seperti rasuah.
Jika seorang pekerja boleh disemak rekodnya sama ada dia layak bekerja sehingga lanjut usianya, Umno-BN juga boleh diperiksa prestasinya sama ada ia layak dipencenkan pada usia 60 tahun ini atau boleh terus bekerja sehingga usia kemerdekaan negara 65 atau 70 tahun.
Akhir-akhir ini apabila Umno-BN sudah ada tanda-tanda kena pencen pada usia selepas 60 tahun, dirinya semakin gelisah sehingga terpaksa ‘masuk bakul angkat sendiri’. Maklumlah takut dipencenkan pada ‘usia muda’ kononnya! Tukang kempennya seperti media massa sarat dengan puji-pujian melangit, membodek Umno BN sebaliknya menjadi kaki kutuk paling dahsyat terhadap lawannya.
Ketakutan Umno BN untuk pencen pada usia selepas 60 tahun ini juga menyebabkan ia begitu tak ketentuan; hakikatnya tubuh badan Umno-BN sudah rosak teruk, menjadi sarang penyakit, oleh itu bersedialah untuk bersara wahai Umno BN selepas PRU ke-14 nanti!
No comments:
Post a Comment