Saturday, March 12, 2016

Serangan babi hutan, kera tambah derita rakyat...

********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************

SELEPAS pencen pada 2012, saya mengusahakan sebidang tanah sekangkang kera milik isteri di pinggir sebuah bandar dengan 'tanaman mudah hidup' seperti ubi kayu, tebu, serai, lengkuas dan sebatang dua pohon buah-buahan seperti rambutan dan mangga.

Seperti saya, ramai juga orang berpencen berbuat demikian. Kata bijak pandai, manusia perlu bersenam bagi mengeluarkan peluh untuk menjaga kesihatan. Jadi ada menyambut pandangan itu dengan berkebun (bagi yang ada tanah) dan tak kurang juga yang beriadah termasuk 'berjoging' di taman-taman bunga perbandaran.

Selain golongan berpencen, ada pekerja kerajaan dan swasta berkebun pada masa lapang terutama pada hujung minggu. Mungkin mereka menyahut seruan seorang pemimpin negara yang meminta rakyat mempunyai dua pekerjaan bagi menampung kos hidup yang meningkat saban hari!

Bagi penduduk kampung pula, ramai yang menjadi pekebun kecil (sepenuh masa) bagi menanggung anak isteri. Mereka mengusahakan tanaman seperti pisang, jagung, tebu dan sayur-sayuran kampung. Malah ada yang sepenuh masa menjadi petani (bersawah) dan penoreh getah. Sebahagian besar mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan tanam-tanaman. 

Pada ketika rakyat menderita akibat kenaikan harga barangan keperluan, mungkin gara-gara Cukai Barangan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa April 2015, pekebun kecil dan 'pekebun sambilan' seperti saya bertambah derita apabila babi hutan dan kera yang 'menggila' menyerang kebun dan memusnahkan hasil tanaman.

Dalam seminggu dua ini, bagi penduduk kampung, antara bahan bualan paling tinggi 'rating'nya adalah serangan babi hutan dan kera. Kebun saya pun 'teruk' diserang babi hutan. Pohon-pohon ubi habis tercabut, batang-batang tebu 'dilanyak' dan 'sebagai bahan kenangan' babi-babi itu meninggalkan tompok-tompok tahinya. Sudahlah ubi 'dibahamnya' dihadiahkan tahi pula kepada saya!

Bukan saja di kampung saya orang bercerita mengenai serangan babi hutan; orang di kampung sebelah pun membawa cerita yang sama, malah di kampung 10 atau 20 kilometer jauhnya pun itulah kisah mereka. Penduduk melaporkan bahawa babi hutan dan kera ini tidak takut mendekati kediaman...kata mereka kumpulan babi daripada yang besar dan kecil berlegar-legar di pinggir belukar termasuk pada siang hari!

Kera pula semakin berani sehingga masuk ke dalam rumah penduduk, mencuri makanan, malah ada penduduk yang melaporkan periuk nasi mereka dibongkar kumpulan binatang ini.

Apabila kerap berlaku serangan babi dan kera akhir-akhir ini menunjukkan ada yang tidak kena berhubung pengurusan dan pentadbiran negara terutama berkaitan alam. Saya yang mengikuti beberapa perbualan orang kampung mengenai serangan binatang liar ini terkesan dengan pandangan sesetengah mereka.

Kata seorang pakcik, Haji Yusof, babi hutan dan kera pun 'nak hidup'. Oleh itu binatang ini pun perlu makan dan tempat tinggal. "Kalau kita sudah musnahkan hutan-hutan tempat tinggal babi dan kera ini, ke mana haiwan ini mahu pergi? Kalau manusia tahu lapar, babi pun tahu lapar dan nak makan. Jangan salahkan babi dan kera, salahkan juga manusia!"

Betul juga pandangan Haji Yusof; kalau hutan tempat tinggal binatang ini sudah dimusnahkan oleh manusia untuk mendirikan kawasan perumahan dan pelbagai projek lain, haiwan ini tiada pilihan selain 'masuk kampung'. Benar di kawasan tempat saya berkebun, hutan sudah tiada, diganti taman-taman perumahan yang berkembang bagaikan tumbuhnya cendawan selepas hujan!

Encik Ya, seorang pekebun kecil yang selalu kelihatan bengis, mendengus: "Kalau aku dapat babi ini, aku cincang dia lumat-lumat!" Masakan Encik Ya yang sentiasa ada parang di pinggangnya tidak naik darah kerana habis pohon ubinya tunggang-langgang dikerjakan babi hutan. 

"Sabar-sabar," kata Encik Yem. "Aku bimbang bukan kau kerjakan babi, nanti babi kerjakan kau...babi-babi itu ada yang begitu besar. Aku ingat berat seekor mahu 60 kilo...tingginya pun lebih tiga kaki..." Ternyata Encik Yem penyabar orangnya kerana dia hanya memasang 'orang-orangan' di kebunnya untuk menakutkan babi. Persoalannya, takutkah babi dengan 'orang-orangan'?

Ya, serangan babi hutan dan kera menjadikan derita orang kampung bertambah parah!. Jika dulu apabila kesempitan wang mereka bolehlah makan ubi dan sayur-sayuran kampung seperti pucuk ubi dan keledek, sekarang 'nak buat' bagaimana? Kata Encik Amid, kerana kekurangan ubi kayu disebabkan serangan babi hutan, jika ada orang menjual ubi kayu pun harganya sudah melambung tinggi...sekurang-kurangnya RM1.50 sekilogram!

No comments: