********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************
SEMASA remaja dulu saya suka menonton filem-filem pengembaraan menyelamatkan diri dalam sesuatu malapetaka seperti 'The Poseidon Adventure' (karamnya seorang kapal gergasi). Sekalipun manusia sudah 'tersepit', mereka lebih suka memilih berada dalam sesuatu kumpulan dalam usaha menyelamatkan diri. Mungkin tiada yang mahu bergerak 'solo' dalam situasi begitu.
Apabila ada kumpulan manusia terperangkap, adalah ketua (kapten) dan pengikut. Dalam situasi 'menghampiri lebih kepada kematian' itu tentunya kapten bukannya calang-calang orang. Cakap dan tindakannya mahu dipatuhi semua orang. Ada pelbagai watak kapten dalam situasi cemas begitu.
Ada sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar mengkisahkan tiga pemuda terperangkap dalam sebuah gua. Habis iktihar mereka kerana pintu gua telah tertutup sama sekali oleh sebongkar batu besar yang baru jatuh.
Seorang pemuda paling cergas (kapten) di kalangan mereka, mengesyorkan setiap seorang daripada mereka memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT secara bertawassul dengan satu amalan terbaik mereka selama ini.
Pemuda pertama dengan amalan buat baik kepada ibu bapanya, yang kedua sudah hampir berzina tetapi meninggalkannya kerana takutkan Allah SWT manakala yang ketiga menyimpan dan mengembangkan gaji seorang pekerja dan apabila dia kembali menyerahkan segala-gala kepadanya.
Setiap pemohononan pemuda itu menyebabkan pintu gua terbuka sebahagian; dengan gadingan ketiga-tiganya, Allah memberi keizinan untuk mereka mereka menyelamatkan diri.
Berbalik kita kepada kisah 'The Poseidon Adventure', sekarang ini ada cendekiawan merujuk sebuah kapal bernama 'Malaysia' sudah berada dalam posisi untuk karam. Hutang luarnya sudah ratusan bilion ringgit. Ekonominya bermasalah, demikian juga politik dan rentetannya seperti masalah sosial, alam sekitar, pendidikan...ya terlalu banyak.
Ada orang politik pula menyamakan Malaysia sebuah bas tua yang telah nazak. Mereka meminta supaya pemandunya ditukar. Kalau drebar baharu tetapi bas dah nak mati buat apa?
Di seluruh dunia, kebanyakan negara sudah mendapat bas dan drebar baru. Rakyat mereka tidak takut 'berkapten baru'...ya ini termasuklah di Myanmar dan Taiwan. Apakah kita masih mahu 'berbas' dan 'berkapten' dulu, kini dan selamanya?
Apabila dilantik kapten kumpulan manusia yang mahu menyelamatkan diri, tentunya matlamat kapten mahu semua orang di bawahnya selamat. Kapten berwawasan tentunya tidak gopoh; dia akan membuat perancangan berdasarkan ilmunya.
Kapten perlu tahu keperluan jasmani dan rohani pengikutnya. Bukankah tiga pemuda terperangkap dalam gua menunjukkan keberkesanan berdoa kepada Allah SWT...ya pemimpin mesti ada ciri ini...orang yang yakin akan kasih sayang Yang Maha Esa.
Dalam pencarian untuk keluar, kapten mesti tahu apa yang perlu dan tak perlu dibawa. Misalnya dalam perjalanan mencari 'lubang keluar' takkan nak diheret wang berbilion-bilion ringgit.
Kita takut ada kapten yang bukan saja sibuk mengheret wang berbilion-bilion ringgit tetapi sibuk mengagih-agihkan di kalangan pengikut pula...kalau inilah keadaannya bila nak jumpa jalan keluar?
No comments:
Post a Comment