Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***
KETIKA berulang alik ke masjid untuk solat waktu dengan motosikal, sering benar saya lihat bengkel motor Heng lengang. Heng dan saya 'agak kamceng'. yalah kalau motor saya rosak, kepada siapa lagi saya perlu rujuk kalau bukan dia.
Suatu pagi, ketika melihat dia keseorangan, saya pun singgah bertanya khabar. Heng memberitahu sekalipun sudah pukul 10.00 pagi, seorang 'customer' pun belum muncul. Haiya...kalau macam ini hari-hari ini teruk saya, katanya. Beliau mendakwa sejak akhir-akhir ini perniagaan membaiki dan servis motosikalnya bukan merosot 50 peratus tetapi teruk daripada itu!
"Nasib baiklah, saya berniaga semua 'cash', kalau tak siapa mahu bayar hutang-hutang itu," katanya sambil jarinya menunjuk kepada serba sedikit barangan gantian seperti minyak pelincir 2T dan 4T. Semua barangan tertera GST sebanyak 6 peratus. Jika dulu minyak 2T 'jenis koman' RM10 sebotol, sekarang sudah RM12!
"Itu minyak pun susah mahu jual, 'customer' tak ada," katanya. Mungkin pemilik motosikal sekarang ini begitu 'berjimat dan bercermat' dalam penggunaan kenderaan mereka termasuk penggantian alatan (spare part) sehingga apabila 'benar-benar perlu' saja baru mereka ke bengkel motosikal.
Kedai Heng juga tidak banyak motosikal seperti dulu. Kelihatan dua motosikal rosak dalam proses dibaiki manakala di luar ada lima motosikal lama untuk dijual. Dulu motosikal penuh dalam dan di luar kedai, sekarang sudah 'clear' - apa sudah berlaku?
Saya melayan Heng bercakap-cakap; sehingga jam 10.45 pagi barulah 'seorang mat motor' datang, katanya motosikalnya ada 'problem' dengan sistem brek. Barulah Heng menyinsing lengan, dia ada kerja, ya dapatlah dia RM10, RM20...dalam dunia perniagaan yang amat 'slow' sekarang ini.
Sebelum 'blah' meninggalkan Heng dengan 'customer'nya, saya teringat apa Heng cakap kepada saya. Bercakap mengenai bab makan, katanya, harga makanan sekarang amat tinggi. "Dulu kalau saya makan tengah hari di kedai Melayu lauk ikan dan sayur boleh dapat RM5-RM6 sekarang mahu RM9; jadi sekarang saya banyak makan kedai Cina kerana RM10 sudah cukup untuk makan siang dan malam."
Heng yang sudah 10 tahun membuka bengkel motosikal itu jelas cemas kerana 'customer' makin lama makin merosot. Sebagai peniaga, Heng mendakwa orang atas (kapten, perdana menteri) tersangat lemah dalam menyemarakkan bisnes. Peniaga-peniaga sepertinya sekarang ini hanya mampu bertahan...tetapi sampai bila sedangkan kos operasi seperti sewa kedai perlu dibereskan seperti biasa.
Heng mendakwa orang sekarang takut berbelanja. Mereka berbelanja untuk perkara-perkara penting saja seperti makan dan minum. Hal ini dipersetujui Ahmad, seorang peniaga runcit yang penulis ketemui baru-baru ini.
Katanya, barangan jualannya seperti asam garam, telur, ikan dan sayur tetap dibeli orang ramai. Yalah, jika barangan seperti ini tidak dibeli, apa mereka mahu makan?
Namun menurut Ahmad barangan kurang penting seperti bahan bacaan (akhbar, majalah), peralatan dapur seperti berus dan penyapu sukar dijual. "Nampaknya, orang kurang peduli dengan barangan seperti ini," katanya.
Bersyukur kerana 'bisnesnya' tetap stabil dalam kegawatan melampau sekarang ini, Ahmad kasihan kepada seorang dua rakannya yang melakukan bisnes kecil-kecilan seperti menjual buah-buahan.
"Sudah pasti mereka tidak dapat bersaing dengan pasar raya gergasi yang juga menjual buah-buahan. Pasar raya ini terkenal dan dekat pula dengan kediaman orang ramai. Daripada memilih buah di gerainya, lebih ramai berminat membeli di pasar raya yang buahnya lebih segar dan murah pula."
Kata Ahmad mungkin jualan buah potong dapat membantu, tetapi berapa banyak keuntungannya kerana satu potong baru RM1, kalau laku 30 potong baru dapat RM30, itu belum dikira modal lagi...demikianlah betapa sukar nasib peniaga kecil-kecilan hari ini apabila rakyat pun kurang membeli kerana gara 'kurang duit dalam poket'!
Demikian 'orang bisnes' sedang cemas sekarang ini...sebahagiannya mungkin disebabkan 'kapten' (peneraju negara dan kuncu-kuncunya) gagal menyemarakkan bisnes. Heng (tauke bengkel) mahu 'kapten' diganti...persoalannya betulkah 'top businessmen' pun tidak yakin dengan 'kapten' sekarang ini kerana dunia bisnes kini berada dalam keadaan muram teramat sangat!
No comments:
Post a Comment