Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
BERIKUTAN demonstrasi besar-besaran di ibu kota pada Mac 2009; kerajaan dilihat tunduk kepada kedua-dua pihak yang menentang dan menyokong Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seolah-olah memberikan situasi menang-menang (win-win situation) kepada kedua-duanya dengan 'menggantung secara tak bertali' PPSMI secara 'soft landing' (beransur-ansur).
Keputusan itu yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ketika itu, Muhyiddin Yassin, diharapkan dapat memuaskan Gerakan Menentang PPSMI (GMP) yang antaranya dikepali cendekiawan Dr Hassan Ahmad (kini Allahyarham) dan Dato' A Samad Said (Pak Samad) serta juga kumpulan pro-PPSMI yang digerakkan oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page) yang diterajui oleh Datin Noor Azimah Abdul Rahim.
Kini isu bahasa di sekolah bergema kembali apabila Dual Language Programme (DLP) atau dalam bahasa Melayunya, Program Dwibahasa diperkenalkan di kira-kira 300 buah sekolah rendah dan menengah selepas diumum Perdana Menteri, Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2016.
DLP adalah projek perintis dicadangkan kementerian, bertujuan memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan dilaksanakan mengikut Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI); ia dilakukan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di bawah kelolaan kementerian.
Sekolah yang layak diberi pilihan melaksanakan DLP bagi sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (selain subjek Bahasa Malaysia), iaitu matematik, sains, teknologi maklumat dan komunikasi, serta reka bentuk dan teknologi. Untuk pelaksanaan rintis DLP, subjek yang terlibat ialah matematik dan sains untuk murid tahun satu, tahun empat dan tingkatan satu.
Bagi pejuang bahasa, cendekiawan dan kebanyakan pemimpin parti politik pembangkang, DLP adalah jelmaan PPSMI; mereka berikrar menentang pelaksanaannya termasuk mengadakan bantahan dan demonstrasi; yang terbesar mungkin diadakan awal April nanti.
Tentunya ada pro dan kontra pelaksanaan DLP; antara lain penyokongnya berharap dapat meningkatkan mutu pendidikan termasuk bahasa di sekolah sedangkan penentangnya berkata penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996. Mereka cukup marah kerana PPSMI yang diumum sudah dimansuhkan secara rasmi pada 2012, kini 'kembali hidup' melalui DLP. Sehubungan itu, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menjadi kumpulan pendesak utama menolak pelaksanaan DLP.
Dulu, TPM Muhyiddin berkata PPSMI akan hanya dimansuhkan sepenuhnya di sekolah rendah pada 2016 manakala di sekolah menengah pada 2021. 'Soft landing' yang dikatakan oleh Muhyiddin yang memberi sekolah kebebasan penuh untuk menentukan sama ada untuk terus menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dalam pelaksanaan program PPSMI sehingga kohort terakhir tamat pada 2015 (sekolah rendah) dan 2020 (sekolah menengah).
Kini sekalipun 'soft landing' itu 'belum lengkap' apatah lagi Muhyiddin 'sudah terpelanting' daripada kepimpinan politik tanah air, isu DLP yang hanya akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan (tidak di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil) dilihat memberi kemenangan kepada kumpulan pro-PPSMI terutama Page yang diterajui Azimah.
Sesetengah cendekiawan berkata DLP hanya mencelaru dan 'merojakkan' sistem pendidikan negara. Kata mereka pendidikan sewajarnya adalah selaras...semua sekolah mengikut sistem yang sama. Namun DLP dikhuatiri akan mewujudkan dua kelas masyarakat...apakah jenis negara yang akan kita bina berdasarkan polisi yang tidak selaras ini, tanya mereka.
Ya, 'kerojakan' (kecelaruan dan kepincangan) sedang melanda hebat negara kita termasuk hal membabitkan pendidikan anak-anak; jadi bolehkah kita terus membisu...jawapannya mungkin sudah ada dalam kepala kita - tamatkan pemerintahan 'badut-badut' yang gila untuk berkuasa dulu, kini dan selamanya.
No comments:
Post a Comment