Thursday, March 17, 2016

Pemimpin suluh jalan, bukan cari pengaruh

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

HARI ini kita amat-amati ramai pemimpin mencari pengaruh dan sokongan. Buktinya, mereka membuat sesuatu  atau mengemukakan pandangan untuk menyukakan khalayak. Daripada pemimpin besar yang menghadiahkan BR1M, pemimpin di bawahnya mencadangkan golongan muda bebas merempit!

Pemimpin tulen adalah penyuluh jalan; mereka bertungkus-lumus agar rakyat berada di jalan betul dan negara dalam keadaan selamat. Jika bapa pemimpin sekarang dapat menunjuk jalan kepada rakyat dengan membuka tanah rancangan Felda; pemimpin sekarang terus memberi ikan dan bukan mengajar rakyat bagaimana cara menangkap ikan.

Pemimpin di kalangan rasul-rasul juga penyuluh jalan yang perlu diteladani. Nabi Muhammad SAW tidak sekali-kali mencari pengaruh tetapi menunjuk jalan kepada pengikutnya bagaimana mahu mencapai kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.

Bagi menunjuk jalan, Nabi Muhammad SAW sendiri berada di lapangan; baginda tidak mengarahkan pengikutnya membuat itu dan ini daripada singgahsana kuasa sebaliknya bersama-sama menjayakan sesuatu urusan.

Memang hal kepimpinan dengan peribadi dan teladan ditunjuki Rasulullah s.a.w. perlu dijadikan contoh semua manusia kerana Michael Hart dalam bukunya 'The 100 Most Influential People' menyatakan antara sebab dia meletakkan Nabi Muhammad dalam senarai pertama pemimpin ulung dunia kerana baginda berjaya membawa pengikutnya ke arah kejayaan dari segi duniawi dan ukhrawi.

Ini satu contoh bagaimana Nabi berperanan sebagai penunjuk jalan. Dalam Perang Ahzab, kota Madinah dikepung oleh gabungan tentera musuh. Seorang sahabat, Salman Al-Farisi mengesyorkan agar digali parit yang besar dan dalam di sekeliling kota Madinah. Maka orang Muhajirin dan Ansar pun bertungkus-lumus membina 'kubu pertahanan' yang belum pernah dipraktikkan orang Arab. 

Pemimpin mereka iaitu Nabi kita yang dikasihi pun bersama-sama menyertai mereka; menggali parit dalam perit sinar mentari dan ada kalanya dalam keadaan yang sungguh lapar dan kehausan. 

Itu Nabi kita; tetapi bagaimana sikap dan tindakan pemimpin kita hari ini? Ya, mereka datang untuk merasmikan sesuatu majlis atau projek, selepas itu mereka dijamu sama ada perut atau mata dan telinga; selepas sejam dua mereka 'mengucapkan selamat jalan'. 

Sekalipun hanya 'menggayakan jentera pemecah tanah' atau 'meletakkan batu asas' sesuatu projek, hakikatnya mereka tidak sama-sama merasai derita rakyat, namun ironinya 'usaha mereka yang tidak seberapa itu' mendapat liputan meluas media massa, kononnya merekalah pemimpin berjiwa rakyat dan sebagainya.

Nabi Muhammad telah menunjukkan suri teladan yang terbaik, baginda mengotakan segala apa diucapkannya. Ia bukan cakap-cakap saja seperti yang hampir menjadi amalan sebahagian besar pemimpin hari ini, tetapi mempraktikkannya. Dari segi amalan seperti yang digariskan dalam al-Quran seperti solat, puasa dan sedekah; Nabi yang kita kasihi, melakukannya lebih daripada umatnya. 

Jika seorang Muslim diwajibkan solat lima waktu sehari semalam, Nabi melakukannya sebanyak lapan kali demikian juga puasa melebihi umatnya yang hanya diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. 

 Adalah biasa untuk rumah Nabi 'tidak berasap selama beberapa hari' (bermakna tiada makanan), dan tiada hari berlalu tanpa baginda tidak makan. Pakaian Nabi ada tampalan, rumahnya sederhana saja - diperbuat daripada bata lumpur, manakala katilnya daripada bahan kasar dan ada kalanya baginda tidur di atas hamparan kasar yang menyebabkan belakang tubuhnya berbekas. 

Ya Nabi kita berperanan sebagai penyuluh jalan; apakah jalah yang sudah disuluh pemimpin hari ini? Apakah antara jalan itu dengan menunjuk kepada rakyat bagaimana mahu memasukkan wang berbilion-bilion ringgit dalam akaun peribadi atau menghancurkan diri dengan bebas merempit?

No comments: