***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
BEGITU berleluasanya penyelewengan amanah oleh pemimpin daripada isu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Haji sehingga organisasi gergasi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menepati peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi.
Apa yang membimbangkan kita, generasi muda sedang 'memerhatikan' perkembangan ini...perkembangan semasa menunjukkan gejala kurang sihat 'melanda hebat' anak-anak, kita bimbang mereka pula jatuh dalam kategori 'bapa borek anak rintik' atau 'guru kencing berdiri, murid kencing berlari'.
Era sekarang dengan kemajuan teknologi komunikasi, anak-anak lebih cepat dan ke depan dalam menerima maklumat - mereka tahu skandal dan salah laku membabitkan pemimpin daripada mereka yang menerajui negara dan negeri sehingga yang memimpin organisasi tidak kiralah milik kerajaan seperti Mara, Tabung Haji, 1MDB atau swasta.
Apabila 'organisasi besar' terpalit salah laku, institusi membabitkan generasi muda pun 'terheret sama'. Dewasa ini pelbagai institusi pendidikan membabitkan generasi muda dilaporkan mengalami masalah kronik. Daripada sekolah sehinggalah institusi pendidikan tinggi semuanya bermasalah. Terkini, ramai profesor ditamatkan kontrak gara-gara universiti tidak cukup dana.
Muktakhir ini masalah di sekolah kian kronik. Ada sejumlah kes pelajar mengandung manakala gejala gengsterisme dilaporkan menjadi-jadi sekalipun selepas amaran demi amaran dikeluarkan oleh pihak berkenaan. Ada kes pelajar dibelasah sampai mati.
Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi. Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama.
Kata pepatah Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'. Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah persekitaran yang begitu membingungkan.
Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca. Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, pemimpin membenarkan akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran. Akhbar pula sarat dengan berita dan artikel politik mengampu. Anak-anak pula bebas mengakses gajet telekomunikasi termasuk bahan-bahan lucah.
Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan. Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti televisyen dan radio. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor).
Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif? Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara?
Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama. Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang termasuk oleh pemimpin cakap tak serupa bikin (pembohong).
Sedarlah wahai pemimpin, anda mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda. Jika pemimpin kerap dipalitkan dengan skandal demi skandal dan gemar pula dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama. Jika pemimpin kaki bohong, dikhuatiri rakyat pun akan ikut sama.
Ya, kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid pula akan kencing berlari...kalau pemimpin sekarang terbukti menepati peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi, 'nyahkan' mereka bagi memberi laluan kepada yang benar-benar mahu berbakti kepada anak bangsa dan negara!
No comments:
Post a Comment