Sunday, November 30, 2014

Menghormati pandangan berbeza kolumnis 'non-Muslim'

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SEBAGAI orang diamanahkan menyunting artikel kolumnis di Harakah, tentunya karya penulis 'non-Muslim' iaitu Saudara Lim Hong Siang (Siang Malam), Selena Tay dan MP Kluang, YB Liew Chin Tong (Generasi Reformasi) tidak terlepas daripada 'tatapan saya'.

Ketiga-tiga penulis ini berwibawa, dapat menyampaikan mesej dan maksud melalui artikel masing-masing dengan jelas dan dalam bahasa menarik; cuma tulisan Selena yang biasanya mengutarakan permasalahan sosial dan ekonomi orang awam amat pendek. Selena tekun menulis pada setiap keluaran, namun sekarang timbul tanda tanya di benak saya, kenapa Selena telah berhenti menulis secara mendadak? Mungkinkah beliau sudah berputus asa kerana syor dan pandangannya 'seolah-olah tidak dipedulikan'. Kata orang seperti 'mencurah air ke daun keladi'.

Lim dan Liew kerap membahaskan isu politik dan sosial yang kadang-kadang buah fikiran mereka 'tidak dapat dipersetujui' oleh saya dan mungkin juga oleh pihak lembaga pengarang dan pimpinan parti. Namun atas dasar berfikiran terbuka, artikel Lim dan Liew diterbitkan sepenuhnya tanpa sebarang perubahan kecuali dari segi tatabahasa dan ejaan.

Dalam artikel terbarunya di kolum Siang Malam (Harakah Bilangan 1999, 28-30 November 2014) bertajuk 'Masyarakat kita sedang berubah', Lim ada menyentuh mengenai betapa seorang cikgu Muslimah (lengkap bertudung) tetap selesa dan ceria dalam majlis jamuan perkahwinan seorang bekas anak muridnya sekalipun pada majlis itu ada disediakan arak (majlis itu diadakan di sebuah restoran Cina) bagi menggambarkan wujud toleransi yang hebat di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Demikian juga Lim menggambarkan betapa indahnya pemandangan seorang makcik tua bertudung yang merelakan kakinya diurut oleh seorang sifu, tukang urut lelaki Cina. Beliau menulis: "Saya cuma tertarik kerana makcik tua ini boleh memilih sifu kaum wanita. Namun, nampaknya dia tidak kisah. Mungkin dia sedar bahawa urut ini untuk tujuan rawatan kesihatan, jadi apa bezanya lelaki dengan wanita?"

Ya, Saudara Lim; ada perbezaan perfahaman antara saudara dan penganut Islam yang taat dalam kedua-dua hal ini; dalam kisah pertama adalah tidak wajar untuk seorang Muslim berada dalam majlis yang ada dihidangkan arak, dan dalam kes kedua Islam amat menjaga batasan aurat dan hubungan lelaki dan wanita. Mungkin ada banyak perkara untuk dituliskan mengenai hal ini tetapi dipersilakan Saudara Lim berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada seorang Islam yang arif...

Namun di atas sifat terbuka, pandangan Lim tetap dihormati dan disiarkan untuk tatapan umum. Mungkin sejuta orang membaca dan memikirkan pandangan Saudara Lim tetapi tidak semestinya mereka menerima bulat-bulat dan segera mengambil langkah susulan.

Saudara Lim dan penulis lain juga tidak seharusnya berkecil hati jika pembaca amnya dan kepimpinan parti 'dilihat' seolah-olah tidak memberi 'pot' kepada pandangan mereka. Mereka mesti (belajar) bersabar kerana kebanyakan pandangan mereka tidak mendapat reaksi segera. Hal ini adalah lumrah dalam kehidupan.

Ada pepatah masyhur berbunyi, 'kota Rom tidak dibina dalam masa sehari'. Semuanya memerlukan masa dan kesabaran. Luka tidak akan sembuh dalam sehari tetapi memerlukan seminggu, sebulan, setahun atau mungkin bertahun-tahun. Demikian juga dengan tulisan (atau pandangan) kita, nampaknya seperti tidak berkesan tetapi percayalah 'jika ia permata, ia tetap akan bergemerlapan akhirnya'.

Doa juga, kebanyakannya tidak dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa dengan segera. Ambil iktibar bahawa doa Nabi Musa a.s. untuk kemusnahan Firauan, mengikut sesetengah ulama, hanya berlaku selepas 40 tahun kemudian. Jadi apakah 'kuasa' kita untuk 'menyuruh' orang mengikut syor atau pandangan kita?

Pemimpin termasuk dalam parti datang dan pergi; ada membawa idea bernas dan baru, misalnya seorang pemimpin pernah mengutarakan parti dibuka keahliannya kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa tetapi pada zamannya ia ditolak tetapi puluhan tahun kemudian selepas kematiannya barulah pandangannya dapat perhatian - itulah namanya pemimpin mendahului zaman!

Diharapkan Lim. Liew dan Selena serta kolumnis lain adalah mereka yang mendahului zaman, tulisan (termasuklah idea) tetap segar sepanjang zaman; ya satu-satu caranya untuk mencapai ke arah itu ialah hendak kita berada dalam jalan-Nya yang lurus. Didoakan Lim, Liew dan Selena dapat memahami maksud apa yang tersirat ini!

No comments: