Saturday, November 1, 2014

Soal barakah; antara 'bijak sini' dan 'bijak sana'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


"Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan barang yang tidak kamu amalkan." (Maksud ayat 2 Surah Al-Shaf)


PEMERGIAN saya ke Jakarta seterusnya ke Bandung baru-baru ini adalah yang pertama dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sejak kapal terbang MAS MH370 'hilang tanpa ketahuan' dan MH17 terhempas di Ukraine selepas ditembak, dipercayai oleh gerila pemisah.

Oh, MAS 'kau seperti MAS yang dulu'. Tidak berubah. Nampaknya menepati slogan sebuah parti tua - dulu, kini dan selama-lamanya. Mungkin pengalaman saya ini dapat dijadikan sandaran mengapa saya kata MAS tidak ingin berubah - harap-harap dan didoakan tidaklah begitu untuk selama-lamanya. Inysa-Allah akan lembut juga hati 'pemiliknya' suatu hari nanti. Yalah, ramai samseng dan penjahat jahilah Makkah termasuk Hindun yang melapah hati Sayidina Hamzah pun boleh berubah, inikan pula MAS...

Subhanallah, sempena kedatangan tahun baharu Hijrah 1436 untuk lebih tepat lagi tanggal 1 Muharam 1436, berlaku peristiwa di depan mata yang membuatkan hati saya benci dengan kau, MAS...Ya, kata ulama kalau kita melihat maksiat, menyatakan kebencian di hati adalah selemah-lemah iman...

Dalam salah satu penerbangan, saya duduk bersebelahan dengan seorang lelaki yang fikir orang Cina Malaysia. Saya menegurnya, dia menjawab dalam bahasa Melayu yang fasih. Ya, hebat orang Cina Malaysia ini, fikir saya. Namun selepas melanjutkan perbualan, ternyata penumpang di sisi saya bukan orang Cina tetapi Jepun. Dia bekas wartawan dan kini tinggal di Tokyo. Dia berusia 66 tahun dan sudah pencen tetapi selalu berulang alik Jakarta-Kuala Lumpur-Tokyo.

Selepas setengah jam penerbangan, pramugara dan pramugari mula mengedarkan hidangan makanan. "Chicken...or..." tanya seorang pramugara yang saya hampir pasti seorang Islam. Lelaki Jepun di sebelah saya dengan pantas menjawab: "Chicken". Saya yang mendengarnya, tersenyum. "Aku pun mahu 'chicken'," bisik hatiku. "Tentu sedap dan 'nyam,nyam' apabila menikmati 'grilled chicken' (ayam panggang) di awan biru ini..."

"Your drink sir?" tanya sang pramugara kepada si lelaki Jepun. Dia menjawab; "Tiger Beer." Ya, 'chicken' dan 'Tiger Beer' sudah ada di petak makanannya yang kecil. Subhanallah, terkena juga saya kali ini. Kena duduk 'semeja' (di sisi) seorang penogok bir sedangkan melalui kelas pengajian di masjid, sang ustaz ketika membicarakan bab minuman haram, 'berapi-berapi' mulutnya menyatakan duduk semeja dengan peminum arak pun tak boleh, takut-takut kena bahana daripada Allah SWT. Takut saya dengan murka Allah, apatah lagi ketika itu saya berada dalam pesawat yang Allah SWT boleh 'hempaskan' bila-bila saja...

Daripada rasa 'syok' nak ratah 'chicken', terasa kembang pula tekak saya. Tetapi dah lapar nak buat bagaimana; saya kunyahlah juga 'chicken' itu perlahan-lahan. Si Jepun cepat pula makannya. Mana tak cepat, sekali dua suap 'chicken' 'ditolaknya' dengan birnya. Akhirnya selesailah 'chicken' dan birnya. Dia mengambil pencungkil gigi.

Tekak saya bertambah kembang apabila si Jepun mencungkil-cungkil giginya. Bersahaja lagaknya. Sesekali dia 'menyembur keluar' sisa yang tersangkut di giginya. Aduhhh, tertutuplah selera saya...

Berceloteh mengenai MAS, si Jepun dalam perbualan dengan saya sebelum makan, mendedahkan antara sebab dia 'naik' MAS. Katanya, tambang MAS murah...Dia dengan tersenyum memberitahu ramai orang asing takut naik MAS; dia merujuk kepada tragedi pesawat MH17 dan MH370. Tetapi dia tidak takut, sebab katanya ajal di tangan Tuhan; bila-bila dan di mana saja boleh mati. Hebat juga si Jepun ini. Jadi dapatlah dia naik kapal terbang dengan tambang murah!

Si Jepun otaknya 'bergeliga'. MAS juga 'bijak'. Tetapi mungkin 'bijak di sini', 'kurang bijak di sana (menyediakan diri untuk bekalan akhirat)'. Ya, ia masih sediakan arak. Bukankah arak itu haram? Malah 'budak kecik' pun tahu arak itu haram. Bukan saja meminumnya haram, menyediakan, menghidangkannya juga adalah haram. 

Ada tujuh golongan dilaknat Allah SWT berhubung arak ini. MAS tak takut ke? Tak ambil iktibar ke kejadian pesawat MH17 dan MH370 tu? Dulu kata dah insaf, di TV pada setiap hari 'sekejap sekejap' disiarkan bacaan al-Fatihah untuk mengingatkan bahawa Allah Taala itulah Yang Maha Berkuasa tetapi apakah erti semua itu jika hukum-hakam-Nya dipermain-mainkan termasuk dalam pesawat MAS. Takut benar saya dengan permainan 'orang bijak sini' ini.

Apabila menegur MAS dengan araknya, izinkan saya melanjutkan teguran itu berkaitan dengan pakaian pramugari pula. Ya, pramugarinya masih macam dulu juga; berbaju kebaya dengan kain ketatnya kata seorang ustaz 'kejap halal kejap haram' (kain belah yang kaki si pemakai kejap terbuka dan tertutup). Pramugari tetap tidak ada yang bertudung, namun ada 'ground crew' yang sudah memakai tudung namun masih berkain belah. Atas tertutup bawah terbuka...apa cerita ni?

Di sebalik 'semua kekalutan' ini, MAS muncul dengan imej 'menyejukkan mata' ketika menghantar dan membawa pulang 'pak haji' dan 'mak haji' dalam pesawatnya. Semua pramugarinya bertudung litup dan tidak akan, malah tidak mungkin si pramugara dan pramugara apabila bertanya "your drink sir (mak aji atau pak aji)" akan menerima jawapan "Tiger Beer"! Sempena tahun baharu Hijrah; MAS tak nak berhijrah ke?

No comments: