Tuesday, November 11, 2014

Tiada erti pemimpin berubah jika rakyat terus susah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Orang-orang mukmin, hatinya menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Maksud Ayat 28 Surah Ar-Ra'ad)


Pertukaran pucuk pimpinan di Indonesia menyaksikan regu Joko Widowo (Jokowi)- Jusuf Kalla (JK) mengambil alih kuasa daripada pasangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) - Boediono yang telah berkuasa selama 10 tahun.

Di Indonesia, selepas tumbangnya rejim Suharto berikutan kebangkitan rakyat pada 1998, kebebasan bersuara termasuklah media massa dan di rapat-rapat umum amat jelas sekali. Rakyat bebas mengkritik pemerintah dan pemimpin dan berdasarkan perkembangan mutakhir yang menyaksikan Jokowi-JK berada di puncak kuasa, media massa begitu keras mengingatkan pemimpin bahawa tidak guna pemimpin saja berubah tetapi nasib rakyat tetap sama - tidak berubah, miskin di dalam sebuah negara yang mewah sumber alamnya.

Akhbar 'Pikiran Rakyat' tanggal 23 Oktober, misalnya, dalam sebuah artikel utamanya mengingatkan: "Para pemimpin yang baru terpilih...jangan hanya 'bisa' membuat program kerja baru, tapi 'bisa' melaksanakannya." Rakyat sudah muak dengan janji-janji, mereka mahu menikmati hasil daripada program dan projek kerajaan tetapi hal itu tidak berlaku - kehidupan mereka masih sama seperti dulu sekalipun pemimpin sudah acap kali berubah.

Sekalipun Presiden kali ini (Jokowi) digambarkan sebagai 'sangat mesra rakyat' malah sebuah majalah heboh bercerita si tukang kayu akhirnya menjadi Presiden, rakyat bawahan Indonesia nampaknya tidaklah gembira sangat malah mengingatkan bahawa "kebanyakan pemimpin tetap sama, belum dapat kuasa banyaklah janji dan pameran kebaikannya tetapi selepas itu janji tinggal janji..." Ya, tiada sebab untuk rakyat gembira kerana harga minyak di Indonesia telah dinaikkan malah dilaporkan tarif listrik (elektrik) juga akan dinaikkan tidak lama lagi.

Ada satu lawak di Indonesia, bahawa harga minyak, barangan dan tarif tidak dinaikkan; perkataan yang mereka gunakan adalah 'harganya berubah'. Ini mungkin menyamai tindakan pihak berkuasa Malaysia yang menggunakan istilah 'rasionalisasi subsidi' bagi mengabui mata rakyat. Ada satu berita 'menggembirakan' bagi pelancong (parivisata) iaitu tiket untuk ke Gunung Tangkuban Prahu di Bandung 'berubah harga' daripada 75,000 rupiah kepada 300,000 rupiah mulai 1 November 2014!

Bagi kita, negara wujud kerana adanya pemimpin dan rakyat. Negara tidak mungkin wujud jika ada kerajaan tetapi tiada rakyat, dan begitu sebaliknya jika ada rakyat tetapi tiada kerajaan. Jadi wajiblah pemerintah 'menyantuni' (berbuat baik) kepada rakyat, malangnya yang kerap digembar-gemburkan bahawa rakyat hendaklah taat kepada pemimpin.

Semua orang atau pihak mempunyai pandangan mereka mengenai pemimpin, tetapi kata mutlak atau pemutusnya adalah apa yang ditentukan oleh Allah SWT melalui kitab dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Berhubung soal pemimpin ini ada hadis bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas sesiapa yang dipimpinnya maka seseorang ketua adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya." 

Pemimpin yang adil dijanjikan oleh Allah SWT dengan balasan yang baik, mendapat naungan Allah SWT pada hari Pembalasan nanti. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat nanti ialah pemerintah yang adil

Ya, pemimpin yang adil itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat. Dia dijanjikan naungan Allah SWT di akhirat nanti; di dunia ini dia menaungi seluruh rakyatnya, bukan kelompok tertentu atau orang yang menyokong atau mengundinya saja. Namun hal inilah yang memerangkap ramai pemimpin, ia tidak berkecuali kepada Presiden Jokowi yang dibidas media massa kerana 'diperlukan' memberi ruang kepada tokoh tertentu sebagai 'rasa terhutang budi', misalnya beliau melantik Puan Maharani, Ketua Bidang Politik PDI-P sebagai menteri penyelaras pembangunan manusia dan kebudayaan sedangkan kemampuan dan cara hidupnya diragui!

No comments: