DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang mukmin, hatinya menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Maksud Ayat 28 Surah Ar-Ra'ad)
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kita masih dipanjangkan usia maka dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa. Kali ini kita memilih mengulas pendedahan sebuah kajian oleh Khazanah (Institut Penyelidikan Khazanah - KRiS) bahawa rumah-rumah di Malaysia berharga berganda lebih mahal daripada kediaman di Singapura hatta di Amerika Syarikat dari segi perbandingan gaji, malangnya pendedahan ini disembunyikan oleh kebanyakan media massa arus perdana Malaysia terutama yang berbahasa Melayu.
Menurut penemuan KRiS dalam bukunya bertajuk 'The State of Households' (Keadaan Isi Rumah) rumah-rumah di Malaysia berharga 5.5 kali ganda daripada pendapatan median tahunan (annual median income), menjadikannya berganda lebih mahal daripada kediaman hatta di Singapura dan Amerika Syarikat.
Berdasarkan penemuan KRiS itu, didapati kebanyakan isi rumah Malaysia mempunyai simpanan terhad menyebabkan mereka terpaksa membuat pinjaman dan menyertai skim kredit yang mengenakan kadar faedah terlalu tinggi untuk membayar hutang mereka.
Pengarah Urusan KRiS, Dato' Charon Mokhzani dipetik sebagai berkata kediaman di Malaysia adalah mahal pada 5.5 kali pendapatan median tahunan yang angka ini sewajarnya tiga kali ganda.
Sebagai perbandingan, kediaman di Singapura berharga 5.1 peratus daripada pendapatan median tahunan manakala rumah-rumah di Amerika Syarikat berharga 3.5 peratus daripada pendapatan median tahunan.
Kajian oleh KRiS juga menunjukkan rakyat Malaysia kebanyakannya mempunyai simpanan terhad dan mereka ini terdiri daripada pelbagai bangsa.
Ya, KRiS telah mendedahkan bahawa harga rumah di Malaysia adalah melampau tetapi nampaknya isu ini tidak diambil peduli oleh kebanyakan pihak termasuk media massa arus perdana yang sebaliknya memilih isu kononnya harga minyak Malaysia masih rendah dan hal ini menguntungkan orang kaya yang terus menikmati subsidi minyak.
Juga dipaparkan betapa di Indonesia pun, sekalipun sudah memilih Presiden baru, Jokowi, tetapi harga minyak dinaikkan kira-kira 2,000 rupiah seliter atau bersamaan 82 sen.
Bagi kita adalah 'keterlaluan' untuk 'menghebahkan harga minyak Malaysia yang rendah' bersumber daripada Pengarah Urusan KRiS itu sedangkan beliau secara jelas melancarkan buku 'The State of Households'.
Persoalannya, apa yang hendak disembunyikan daripada 'penyataan terus terang dan berhemah' oleh sebuah institusi berkepentingan kerajaan seperti KRiS bahawa adalah suatu hakikat bahawa rumah-rumah di Malaysia adalah terlalu mahal yang tidak mampu dimiliki oleh sebahagian besar rakyat negara ini.
Pendedahan oleh KRiS mengesahkan rungutan rakyat golongan sederhana dan miskin selama ini bahawa untuk memiliki rumah adalah ibarat mimpi dan jika mereka berjaya pun, ia dilakukan dengan pengorbanan tinggi seperti mereka terbabit dalam membuat pinjaman dan hutang yang tidak mampu diselesaikan sehingga mereka mati!
Bagi kita, menyorokkan pendedahan berdasarkan kajian oleh institusi berkepentingan kerajaan seperti KRiS adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat kepada pemerintah melalui pilihan raya umum lalu.
Berdasarkan perkembangan ini, kita berpendapat seluruh masyarakat perlu 'berhijrah' daripada hidup 'dalam kegelapan' yang dipenuhi dalang-dalang kejahatan kepada 'cahaya kebenaran' yang insya-Allah dapat menyinari kehidupan fana di dunia ini membawa kepada kesejahteraan kehidupan di akhirat nanti berdasarkan keredaan-Nya...Amin.
1 comment:
Menyemak dan membazir bayar gaji menteri berkaitan sebab dia x tau macam mana nak settlekan masalah harga rumah ni. Tak tau buat keje, bontot nk kerusi empuk, nak ekon, mkn lahap sedap2, xguna langsung, baik upah bangla murah2 gantikan tempat dia. Duit jimat tu masuk tabung kumpulan pembangunan.
Post a Comment