Tuesday, December 2, 2014

Beban tahun baharu...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." 


TAHUN 2014 tidak lama lagi akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2015 hampir terbuka. Sesuai dengan tahun baharu, tentulah ramai yang bersemangat baharu. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baharu dari sudut positif.

Walaupun demikian, banyak daripada peristiwa yang dialami menjelang tahun baharu menunjukkan sesuatu yang negatif. Yalah, harga petrol sudah naik (pemerintah pula mengumumkan akan menghapuskan subsidi minyak) manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan bermula 1 April 2015.

Satu perkara yang kerap dikaitkan dengan tahun baharu ialah permulaan sesi persekolahan. Berhubung perkara inilah banyak ibu bapa yang 'pening-pening lalat' bagi memenuhi keperluan anak-anak. 

Perbelanjaan untuk menyekolahan anak-anak pada zaman ini bukannya murah. Sekarang tidak lagi sesuai untuk berkata: "Cikgu saya serahkan anak saya ini pada cikgu, pandai-pandailah cikgu buat apa-apa yang baik ke atasnya." 

Sekarang 'penyerahan' dilakukan dengan wang ringgit. Sekalipun pihak berkuasa kerap menguar-uarkan yuran persekolahan sudah dimansuhkan hakikatnya banyak wang perlu dikeluarkan.

Sekalipun Menteri Pelajaran memberi jaminan yuran PIBG boleh dibayar pada pertengahan tahun, pelbagai pihak tidak meyakininya. Untuk yuran seorang anak saja sudah menelan belanja berpuluh-puluh ringgit. Bayaran itu termasuklah pelbagai yuran seperti yuran komputer, yuran padang, yuran MSSM, yuran PIBG, yuran perpustakaan dan yuran kertas perperiksaan. 

Bagi yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, jangan terperanjat jika melihat pada 'book list' kanak-kanak itu dinyatakan yuran PIBG adalah sebanyak RM50 atau RM100 manakala yuran komputer adalah RM20 atau RM50. 

Jika seorang anak perlu membayar RM50 untuk yuran PIBG, bayangkan berapa banyak yang perlu dibayar jika seseorang itu ada lima orang anak. Fikir-fikirkanlah wang sebanyak RM250 diperlukan untuk membayar yuran PIBG saja. 

Seseorang anak yang bersekolah rendah bukan saja menghadiri sesi pagi tetapi juga sesi petang (sekolah agama). Yuran untuk sekolah agama lain pula daripada sekolah pagi. Demikian juga pakaiannya, begnya dan juga bukunya. 

Demikianlah betapa beratnya bebanan ibu bapa hari ini. Jika untuk seorang anak, terpaksa dibelanjakan RM300, hitunglah wang yang perlu disediakan untuk menyekolahkan lima orang anak, atau pun lapan orang anak. Jumlahnya tentulah membabitkan ribuan. 

Ditambah dengan perkhabaran tambang bas sekolah yang akan dinaikkan, tentulah ibu bapa semakin pening. Dengan belanja harian (duit poket) anak-anak yang juga perlu dinaikkan sejajar dengan peningkatan usia mereka, tentulah ibu bapa semakin terpinar-pinar biji mata mereka. 

Tahniah kepada anak-anak yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Insya-Allah anak-anak akan masuk sekolah berasrama penuh. Namun jumlah yuran sekolah ini 'senang-senang saja' boleh mencapai RM1,000 seorang! Jadi mak bapak, bersedialah!

Selepas termenung memikirkan belanja anak-anak, ibu bapa boleh merenung pula perbelanjaan yang membabitkan diri mereka pula. Jika yang terpaksa menggunakan lebuh raya, kadar tol lebuh raya mungkin dinaikkan. Demikian juga tambang bas.

Bagi yang menaiki pengangkutan awam lain, dengar khabar tambangnya juga akan dinaikkan. Demikian juga dengan tambang bas dan teksi. Semuanya mahu dinaikkan sebab awal Jun lalu harga minyak dinaikkan terlalu tinggi sekalipun sudah turun sekarang ini. 

Tidak cukup dengan perkhabaran itu, tarif kemudahan awam juga dikatakan akan dinaikkan. Jika 'semua' naik, tentulah sewa rumah, sewa kedai, sewa pejabat dan 'segala' macam sewa juga akan naik. 

Demikianlah betapa rakyat begitu tertekan dewasa ini. Malangnya mereka tidak bersuara. Mereka adalah golongan majoriti, kata orang putih 'the silent majority'. 'The silent majority' inilah yang perlu disuntik semangat mereka untuk bangun menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka terhadap pembahagian kekayaan negara yang tidak adil. 

Jika negara (seperti Petronas) dikatakan mencatat keuntungan berbilion-bilion ringgit, kenapa tidak salurkan wang itu untuk membayar 'yuran komputer' setiap murid di seluruh tanah air. 

Kenapa wang keuntungan berbilion-bilion ringgit firma berkepentingan kerajaan tidak boleh disalurkan untuk membayar yuran perpustakaan untuk semua murid. 

Demikian juga kenapa kerajaan tidak boleh membayar yuran sukan dan yuran padang anak-anak sedangkan kerap dihebohkan negara mahu melahirkan atlit berwibawa? 

Pada tahun baru, diharap-harapkan rakyat tidak lagi digula-gulakan dengan cerita keuntungan besar (berbilion-bilion ringgit) syarikat milik kerajaan melalui media massa tetapi hakikatnya kebanyakannya terutama 'bapa-bapa' terpaksa mengikat perut untuk menunaikan tanggungjawab asas seperti menyekolahkan anak-anak.

No comments: