Saturday, May 22, 2021

Syawal 10, 1442: Ingin mengubah dunia? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


SEORANG cendekiawan tempatan mengungkapkan: "Semasa muda, saya bersemangat mengubah dunia, apabila dewasa saya kurangkan hasrat itu kepada mengubah negara, kemudian dikendurkan lagi kepada mengubah masyarakat dan kini dalam usia meniti tua, saya putuskan untuk mengubah diri sendiri setelah keluarga pun tidak mampu saya mengubahnya." 


Demikianlah semakin matang diri kita, kesedaran mula datang dalam diri bahawa sebenarnya kita tidak berupaya mengubah apa-apa - sebenarnya kita hanya boleh berusaha, yang mengubahnya adalah Yang Berkuasa! Perhatikan dalam usaha dakwahnya, Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak mampu meng-Islamkan Abu Talib, bapa saudara baginda yang amat dikasihi malah Allah SWT memberi teguran kepada Nabi bahawa pemberian hidayah adalah milik-Nya. 


Namun amat-amatilah dalam usaha kita mengubah diri sendiri ke arah kebaikan, dengan izin-Nya (namun perlulah mematuhi perintah dan larangan-Nya termasuk mempertingkatkan doa), insya-Allah kita akan dapati orang di sekeliling kita 'malah dunia' turut berubah. 


Sebagai contoh mudah, jika dulu kita begitu liat untuk bersolat tetapi selepas cahaya keimanan memasuki diri, kita pun bersolat bersungguh-sungguh termasuk melakukan solat malam dan menangis mengenang dosa lampau; menangis mengenang nasib anak-anak yang tersasar, insya-Allah kita akan melihat anak isteri kita turut berubah. Hanya masa yang menentukan, jika kita tidak melihat mereka berubah semasa hayat kita, insya-Allah mereka akan berubah selepas kita meninggal dunia. Tidakkah kita beruntung mempunyai anak salih sebagai bekalan kita di alam kubur? 


Saya bawakan pandangan cendekiawan ini selepas terkesan dengan luahan seorang imam muda Palestin ketika tazkirah antara solat tarawih di masjid kampung saya tidak lama dahulu. Beliau mengkisahkan penderitaan rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis Yahudi dengan 'dunia buat tidak kisah saja'. Jika seorang askar Israel ditangkap dan dikurung oleh pejuang Palestin, seluruh dunia heboh tetapi apabila 1,000 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak disembelih dunia tidak berkutik pun! 


Luahan imam Palestin itu membuatkan saya tak senang duduk. Benar seperti cendekiawan tempatan tadi, ketika muda saya pun ada semangat untuk mengubah dunia. Namun perubahan yang dimaksudkan itu adalah dalam kapasiti kemampuan seseorang itu. Sebagai wartawan, tentulah skop saya di bidang kewartawanan. Ditakdirkan saya diizinkan Allah untuk melihat konfik di sejumlah negara seperti Soviet Union, Afrika Selatan, Pakistan-Afghanistan, Iran dan Aceh (Indonesia) di mana saya berpeluang menemui sukarelawan dan ungkapan seorang daripada mereka benar-benar menyentuh hati saya. 


Katanya: "Janganlah perasan kita sudah menolong mangsa-mangsa ini. Kita sebenarnya hanya mahu merasakan sebahagian kecil daripada penderitaan mereka. Semuanya bagi membolehkan kita menjadi manusia lebih baik. Lebih memahami perasaan dan kesengsaraan orang. Kita akan tahu bagaimana rasanya berada dalam kedudukan mereka. Sebenarnya itu pun tak sama sebab kita boleh berangkat pulang sedangkan mereka..." 


 Apa yang diluahkan oleh sukarelawan itu, pada pandangan saya ada kaitan dengan ibadat puasa yang kita jalani dahulu. Kita cuba memahami perasaan dan derita orang tidak berkemampuan. Orang yang tidak cukup makan atau tiada apa yang hendak dimakan. Bagi kita keadaan kita tidak makan itu akan berakhir pada waktu berbuka (iftar) tetapi mereka...? 


Dengan puasa sendirian kita tak mampu mengubah dunia; tetapi dengan berpuasa kita akan tahu dan sedar penderitaan orang lain termasuk di Palestin sana. Kita akan rasakan sebahagian kecil saja daripada apa yang orang Palestin rasakan. Jadi benarlah ungkapan cendekiawan tempatan tadi, kita tidak mampu mengubah dunia, tetapi insya-Allah dengan muhasabah dan muhajah, kita mampu mengubah diri kita sendiri. Jika dulu, kita tak berpuasa, berpuasalah sekarang kerana Allah. 


Apabila majoriti orang berubah ke arah kebaikan iaitu mengikuti semua hukum-hakam Islam termasuk berpuasa, tidakkah ia mendatangkan kesan cukup besar kepada masyarakat? Derita orang teraniaya termasuk orang Palestin akan terasa di hati orang benar-benar berpuasa kerana Allah; mereka akan bersama-sama bangkit untuk memperjuangkan nasib orang dizalimi. Insya-Allah, Dia akan memberi pertolongan. 


Jika kita tidak mampu dari segi persenjataan dan material, doa dan pengaduan kepada Yang Maha Berkuasa amat bermakna. Inilah sebenar senjata sebenar orang mukmin, sepanjang sejarah Islam, terbukti sudah banyak kali golongan kecil dapat menewaskan golongan besar salah satu contoh terhebat adalah Perang Badar di mana tentera Muslimin seramai 313 orang dapat menewaskan lebih 1,000 tentera Musyrikin yang lengkap bersenjata pada bulan Ramadan pula! 


Jadi, benarlah ungkapan cendekiawan tadi, ubahlah diri anda ke arah kebaikan, insya-Allah dunia akan berubah bersama anda, bukan anda mahu mengubah dunia!

No comments: