Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
MENJELANG Aidilfitri saya membaca sejumlah buku-buku agama bagi membantu saya merenung kehidupan. Saya menyiarkan sedikit sebanyak apa yang saya baca itu tanpa membuat komen; terpulanglah kepada pembaca untuk memikir-mikirkannya pada waktu mulia ini.
Antara buku sempat saya baca adalah 'Sifat & Sikap Penghalang Kejayaan Seorang Muslim' karya Abu Sulaiman Ad-Darani (terbitan Jasmin Enterprise); satu daripada babnya menghurai 'Pemimpin Yang Mengelabui Rakyat' ada menyatakan para pemimpin atau penguasa memikul tanggungjawab yang berat dalam menegakkan ketertiban, keamanan dan keadilan dalam tata hidup masyarakat.
"Namun sebaliknya jika ada pemimpin atau penguasa yang zalim, curang, atau menipu rakyat bererti telah berkhianat atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan membuat kekacauan dan kerosakan di muka bumi. Perbuatan semacam ini termasuk dosa besar yang diancam oleh Allah dengan seksaan yang pedih di akhirat kelak," tulis pengarang.
Bagi menguatkan hujah, penulis memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antara ayat al-Quran:
1. "Tidak ada jalan melainkan atas orang-orang yang menzalimi manusia, dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar, bagi yang berbuat demikian itu adalah azab yang pedih." (Asy-Syura: 42)
2. "Dan tidak pernah Tuhanmu membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kotanya seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan zalim." (Al-Qashash: 59)
3. "Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa Allah lalai daripada yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan kepada mereka sampai hari di mana mata (mereka) terbelakang." (Ibrahim 42)
Begitu juga Rasulullah s.a.w. mengingatkan ancaman seksa bagi para pemimpin dan penguasa yang zalim dan suka menipu rakyat. Antara hadis itu adalah:
1. Celakalah para penguasa, celakalah para pemangku urusan rakyat dan celakalah orang-orang yang dipercaya mengurusi kepentingan umum, sungguh ramai orang pada hari kiamat nanti berangan-angan kecurangan-kecurangan mereka tergantung di atas bintang Tsurayya. Mereka akan diseksa kerana mereka dahulu tidak mahu melakukan sesuatu yang menjadi amanahnya." (HR Ahmad daripada Abu Hurairah)
2. "Manusia yang paling berat seksanya pada hari kiamat adalah penguasa zalim." (HR Thabrani daripada Abdullah bin Mas'ud)
3. "Akan datang kepada hakim yang adil suatu saat pada hari kiamat nanti ia berangan-angan alangkah baik kalau dahulu (di dunia) tidak pernah memutuskan perkara antara dua orang sekalipun perkara sebutir kurma." (HR Al-Bazar dan Thabrani daripada Abu Hurairah)
4. "Akan muncul penguasa-penguasa derhaka serta zalim. Barangsiapa membenarkan kezaliman mereka dan membantu mereka berbuat zalim, maka aku (Nabi SAW) bukan tergolong dia dan dia pun bukan tergolong umatku, dia tidak akan dimasukkan ke syurga." (HR Ahmad Tirmidzi daripada Ka'ab bin Ajrar)
5. Siapa pun pemimpin yang curang kepada rakyatnya, maka akan masuk neraka." (HR Thabrani)
No comments:
Post a Comment