Monday, May 3, 2021

Ramadan 21, 1442: Merdekakan diri, keluarga, negara daripada neraka…(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) 


RENUNGKANLAH maksud ayat al-Quran ini: “Allah yang menciptakan kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikan-Nya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikan kamu lemah dan tua bangka sesudah kuat. Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa." (Ar-Rum:54)


Ya, insaflah dulu kita (saya) bahkan negara kita lemah bagaikan bayi, sekarang dalam usia lebih 60 tahun (termasuk saya)  mungkin sudah matang dan kuat…dan selepas itu apa? Hakikatnya setiap yang kuat itu akan menuju kelemahan dan mati…namun jika kena caranya terutama memohon kebarakahan Illahi, proses ‘ketuaan’ itu boleh dilambatkan bagi membolehkan anak bangsa terus menikmati rahmat-Nya di bumi bertuah ini.


Dulu Malaysia tiada, ia hanya wujud pada 16 September 1963. Namun sebelum itu asasnya sudah ada iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Tarikh keramat ini dianggap sebagai Hari Merdeka dan sekarang untuk mengharmonikan sambutan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tempoh Ogos sehingga 16 September dinamakan bulan kemerdekaan negera.


Bersyukur ke hadrat Illahi, kita masih diberi peluang oleh-Nya menyambut Ramadan. Ya, pada Ramadan, Allah menjanjikan rahmat pada permulaannya, pengampunan dosa pada pertengahan dan pengakhirannya bebas atau merdeka daripada api neraka. Maka sayogialah kita berebut-rebut peluang ini, meningkatkan amalan untuk akhirnya melayakkan diri kita menjadi insan bertakwa kerana inilah produk (hasil) yang diharapkan melalui universiti Ramadan dan ibadat haji.


Namun sebahagian umat Islam terlepas pandang atau masih diseliputi kejahilan, terlupa akan hakikat pada Islam itu merangkumi segala bidang kehidupan, tidak terikat kepada amalan khusus saja seperti solat, puasa, zakat dan haji. Apabila ini berlaku, akan lahirlah insan yang tidak seimbang amalannya, dia berpuasa tetapi tidak bersolat, dia bersolat tetapi di luar solat mendedahkan sebahagian besar auratnya, dan dia berhaji tetapi menyanjung kehidupan sekular.


Pemisahan politik daripada agama adalah antara penyelewengan itu. Apabila politik tidak terikat dengan agama, penyelewengan begitu berleluasa kerana matlamat menghalalkan cara. Matlamat utama adalah untuk terus berkuasa, jadi akan diusahakan perkara itu sekalipun tindak tanduk adalah berlawanan dengan ajaran agama. Berdasarkan slogan untuk berkuasa dulu, kini dan selamanya, tindakan halal dan batil bercampur-aduk, sedangkan kehidupan seseorang Muslim itu hendaklah berdasarkan hukum-hakam halal haram yang termaktub dalam ajaran agama.


Sekarang ini, sesetengah pihak menyemarakkan politik perkauman dan membela maksiat dalam usaha mengekalkan kuasa. Perkembangan ini begitu membimbangkan kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat termasuk diri kita sendiri. Amat bahaya jika setiap pemimpin bangsa mengapi-apikan kepentingan dan sentimen kaum masing-masing sedangkan perkara ini ditentang keras oleh Islam dan Rasulullah s.a.w. yang kedatangannya adalah untuk membawa rahmat kepada sekian alam, sekali gus mematikan semangat asabiyah jahiliah.


Amat-amatilah apabila pemimpin hidup bermaksiat termasuk berleluasanya amalan rasuah dan penindasan (jauh daripada landasan agama), maka Allah Taala menurunkan bala yang turut menimpa rakyat. Kehidupan rakyat tidak aman; jenayah seperti pembunuhan, perompakan, perzinaan dan buang bayi menjadi-jadi, menggambarkan institusi keluarga dan masyarakat serta negara sedang menuju kehancuran. Inilah neraka dunia, petanda kehidupan buruk akhirat nanti.


Imam (pemimpin) adalah contoh ikutan, jadi bersempena Ramadan ini, marilah kita mengorak langkah permulaan bagi menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita daripada neraka dunia, juga api neraka Allah SWT dengan tidak membiarkan diri kita terus bergelumang dalam kemaksiatan!

No comments: