Saturday, May 1, 2021

Ramadan 19, 1442: Refleksi 18: Ramadan, maraton beribadah perlu berterusan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Anas bin Malik r.a., berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempekerjakannya. Para sahabat bertanya: Bagaimana Allah akan mempekerjakannya? Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan memberikan taufik kepadanya untuk beramal salih sebelum dia meninggal dunia.” (HR. Ahmad (12036) dan Thirmidzi (2142) dan disahihkan oleh Al-Hakim, Dhiya' Al-Maqdisi, Al-Arna'ut dan Al-Albani)


RAMADAN kini di pertengahan, maraton beribadah perlu berterusan, kata seorang ustaz dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah saya. Ustaz mengingatkan jemaah supaya istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT sehingga 'yakin' (mati).


Namun kata ustaz, kemampuan kita menunaikan perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT bergantung kepada-Nya. Lantas, kita perlu sentiasa beristighfar (memohon keampunan-Nya) bagi membolehkan kita berada di jalan-Nya yang lurus seperti lafaz 'Ihdinas-Siraat-Al-Mustaqeem' sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari dalam solat kita.


Maraton untuk berbuat baik dan meninggalkan yang buruk berterusan...diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. memberitahu para sahabat ketika mereka kembali daripada sebuah peperangan bahawa, "Kita telah pulang daripada jihad yang kecil (peperangan) dan kita menuju kepada jihad lebih besar. Para sahabat berkata: 'Apakah jihad yang paling besar?' Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jihad menentang hawa nafsu."


Jihad melakukan kebaikan berterusan sama ada pada Ramadan atau baki 11 bulan lain.Namun sekarang pun pada pertengahan Ramadan kita dapat saksikan bahawa jemaah solat isyak, tarawih apatah lagi subuh di masjid semakin merosot berbanding pada hari-hari awal Ramadan.


Awal Ramadan masjid berjaya menarik sejumlah besar umat Islam untuk solat isyak dan subuh berjemaah, tetapi pada akhir-akhir Ramadan dan selepas itu, ke mana jemaah yang ramai itu sudah pergi?


Ustaz meningatkan: "Jangan jadi hamba Ramadan tetapi beristiqamahlah menjadi hamba Allah SWT."


Katanya, teruslah berusaha sepenuh tenaga, jiwa dan hati serta berdoalah semaksimum mungkin untuk kita mengakhiri hidup kita sebagai orang baik-baik. Mati dalam husnul khatimah. Mengakhiri hidup sebagai orang baik-baik itulah yang didambakan sebelum kita menemui Tuhan kita.


Apa itu husnul khatimah? Seorang ulama menukilkan: Husnul khatimah merupakan suatu kondisi yang mana seorang hamba diberi taufik oleh Allah Ta'ala sebelum datangnya kematian untuk meninggalkan segala macam perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Ta'ala, dan dia diberi taufik oleh Allah Ta'ala untuk bertaubat daripada segala dosa dan maksiat dan bersegera melakukan ketaatan dan perbuatan baik, kemudian dia menutup usianya di atas kebaikan.


Anas bin Malik r.a., berkata: Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempekerjakannya. Para sahabat bertanya: Bagaimana Allah akan mempekerjakannya? Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan memberikan taufik kepadanya untuk beramal salih sebelum dia meninggal dunia.” (HR. Ahmad (12036) dan Thirmidzi (2142) dan disahihkan oleh Al-Hakim, Dhiya' Al-Maqdisi, Al-Arna'ut dan Al-Albani)


Ustaz mengingatkan pengakhiran yang baik adalah kemuncak daripada perjuangan kita  dalam menjadi orang baik-baik. Pengakhiran itulah penentunya - misalnya apa erti jika kita memasuki perlumbaan lumba lari seperti 400 meter; kita bermula dengan pantas dan mengekalkannya pada sepanjang  larian tetapi pada 10 meter terakhir kita tidak dapat menamatkannya?


Lantas beliau mengingatkan hadirin sebuah hadis yang secara ringkasnya bermaksud ada orang berbuat baik (ketaatan) sepanjang hayatnya tetapi apabila tinggal sedepa lagi untuk dia memasuki syurga dia terjebak dalam amalan jahat menyebabkan dia dicampakkan ke dalam nereka manakala ada orang yang hampir seumur hidupnya berbuat kejahatan tetapi pada 'last minute' (minit terakhir) dia berbuat kebajikan lantas dia dimasukkan ke dalam syurga.


Orang salih (baik-baik) amat takut dengan ancaman ini. Mereka berterusan berdoa kepada Allah SWT agar dimatikan sebagai orang baik-baik. Selain pasrah kepada Allah SWT, mereka juga memerhatikan amalan mereka. Salah satu jalan adalah 'mengistiqamahkan' diri di jalan Allah.


Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Istiqamah  bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah cukup teguh.  


Jadi kepada diri saya dan semua, beristiqamahlah dalam kehidupan (perjuangan). Alhamdulillah, di negara kita, orang Melayu yang amat rapat dengan Islam dapat menterjemah 'istiqamah' ini dalam mereka melayari kehidupan. Misalnya, orang tua-tua menjelaskan bahawa batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kita disyorkan bahawa 'alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan' atau genggam bara biar sampai jadi arang. Mandi biar basah, makan biar kenyang; ya mungkin tidak ada gunanya atau tidak membawa hasil yang bagus jika kita sekalipun bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan tetapi tidak dapat melakukan 'finishing'-nya (penamat yang sempurna). 


Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik - baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah selepas 13 tahun berdakwah di Makkah tanpa hasil memberangsangkan tetapi selepas 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w. kembali semula ke tanah airnya yang tercinta, Makkah...lokasi dakwah berbeza tetapi perjuangan baginda tetap sama...iaitu meletakkan seluruh manusia tunduk hanya kepada Yang Maha Kuasa! Baginda Nabi s.a.w. istiqamah dalam perjuangan...bagaimana diri kita? 

No comments: