Thursday, May 13, 2021

Syawal 1, 1442: Minum 'air lalat' (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN


SUATU tengah hari tidak lama dahulu, saya direzekikan Allah SWT saya menunaikan salah satu daripada hadis Rasulullah s.a.w. Sedang 'syok' makan, seekor lalat terbang menjunam memasuki air minuman saya - segelas ais kosong. Air masak, kata orang Melaka.


Lalat itu masih hidup, menggelepar di atas permukaan air itu. Saya berkira-kira nak buang air itu. Aiii lalat ini, kacau 'stim' betul. Orang tengah syok menikmati makan tengah hari, dia buat hal. Siapa nak minum air yang sudah dimasuki lalat. Eeeee.


Namun, pada detik itu juga saya teringat sebuah hadis, atau lebih tepat lagi Allah mengingatkan saya sebuah hadis...seorang cendekiawan mencatatkan: Selain mengajarkan etika dalam menjalani hidup. Rasulullah s.a.w. pun pernah mengatakan sesuatu yang ada hubungannya dengan sains dan perubatan.


Salah satunya hadis tentang lalat yang masuk ke dalam minuman. Apabila ada seekor lalat yang masuk ke dalam minuman, Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk menyelupkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman, lalu setelah itu lalatnya dibuang, dan kita boleh melanjutkan menikmati minuman itu. Sebab keadannya kembali bersih daripada kuman penyakiti.


Datang ilham kepada saya daripada Allah SWT untuk mempraktikkan hadis Rasulullah s.a.w. Saya pun merendamkan seluruh lalat itu, selepas itu membuang lalat yang masih hidup itu lantas berdoa selepas membaca Surah Al-Fatihah dengan penuh khusyuk: "Ya, Allah, aku mahu mengikuti hadis Rasul-Mu, Kau selamatkan daku daripada api neraka-Mu, dan sembuhkan segala penyakit pada tubuhku...lantas saya minum air itu, setegok demi setegok sampai habis...


Ya, saya telah berusaha membuang segaja kejijikan yang bersarang di hati hanya untuk taat kepada Mu dan Rasul-Mu, ya Allah, oleh itu tolonglah hamba-Mu yang daif ini, yang dalam tubuh ini bersarang penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya apatah lagi penyakit rohani seperti sakit hati, riak, takkabur, sombong, ujub dan sebagainya. Ya, Allah Kau tolonglah hamba-Mu ini...Amin

No comments: