Saturday, May 2, 2020

Secebis Kisah Ramadan 9: Kucing-kucing mati sebelum Covid-19

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr


Secebis Kisah Ramadan 9 
Kucing-kucing mati sebelum Covid-19


KETIKA Ramadan apatah lagi menjalani perintah 'berkurung; akibat penularan Covid-19, saya teringat kisah ini.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya ke Tanah Suci, mengerjakan umrah. Saya ke sana bersama isteri dan dua anak perempuan remaja. Syukur kami dapat menunaikan ibadat dengan selesa dan selamat kembali ke tanah air.

Izinkan saya menukiil kisah kucing yang diketahui menjadi binatang kesayangan Rasulullah s.a.w. Ada dikisahkan Nabi Muhammad s.a.w. memotong bahagian jubahnya yang 'ditiduri' seekor kucing kerana tidak mahu mengganggunya. Malah ada seorang sahabat baginda digelar Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing.

Di kawasan rumah saya, saya ada 'membela' kucing-kucing terbiar. Kucing-kucing itu datang dan pergi, saya hanya menyediakan makanan dan minuman untuk mereka. Jumlah kucing itu berubah-ubah...suatu pagi saya mengira ada 15 ekor semuanya.

Seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci, berlaku 'fenomena' luar biasa terhadap kucing-kucing itu. Suatu malam saya terjumpa bangkai seekor kucing hitam besar di pangkal pokok mangga. Untuk 'segera selesai masalah', saya menggambil cangkul, menggali lubang dan mengambus bangkai itu di situ juga.

Tengah hari esoknya terkejut besar saya mendapati bangkai kucing hitam itu terdampar di tanah dengan kuburnya ada kesan dibongkar. Ini 'satu misteri' tetapi saya buat tak peduli dengan mengandaikan kubur itu digali oleh biawak yang tak sempat 'melarikan mayat'. Sekali lagi saya kuburkan bangkai kucing itu dan menganggap masalah sudah selesai.

Rupa-rupanya kisah kematian kucing hitam itu tidak berakhir di situ. Seekor demi seekor kucing di kediaman kami mati. Ada kalanya saya menanam dua 'mayat' (bangkai) pada satu hari. Akhirnya, pada hari saya berangkap ke Tanah Suci, di kediaman kami tiada seekor kucing pun untuk 'mengucapkan selamat jalan' kepada kami!

Saya gagal membaca isyarat Allah SWT daripada peristiwa ini.  Masih terbetik di hati saya kucing-kucing ini mati disebabkan penularan penyakit - mungkin sama seperti yang berlaku kepada ternakan ayam jika terjadi serangan penyakit sampar atau orang kampung saya kata 'penyakit berak kapur'. Saya pernah menyaksikan keadaan ini di mana hampir semua ayam mati.

Ketika kucing banyak di kediaman saya, saya membeli berpaket-paket palet makanan kucing sebagai simpanan. 

Kini apabila kucing sudah tiada, apa saya hendak buat dengan makanan itu? Seorang anak lelaki yang baru balik dari Makkah, mencadangkan: "Bapak bubuh palet itu dalam botol minuman kosong, masukkan dalam beg dan di Makkah dan Madinah nanti bapak bagilah kucing-kucing di sana makan!"

Saya tak buat seperti yang disyorkan anak saya itu dan apabila berada di pekarangan Masjid Nabawi memang betul ada sejumlah kucing yang montel-montel serta jinak menunggu 'disantuni' dan diberi makan oleh kita...jadi sangat menyesallah saya.

# Disesuaikan daripada sebuah artikel lama

No comments: