Thursday, May 21, 2020

Secebis Kisah Ramadan 28: Aku hamba Yang Kaya...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."

Secebis Kisah Ramadan 28

Aku hamba Yang Kaya...

KETIKA keluar rumah hari ini dengan motosikal, saya lihat 'wallet' (dompet) saya kosong, tiada duit (nil). Namun saya capai botol 'tabung derma' yang saya masukkan wang setiap pagi dan pada setiap solat Jumaat sebagai tabung ganti kerana tidak boleh menderma selepas masjid ditutup.

Disebabkan tiada duit saya tidak boleh membeli barangan untuk kegunaan sendiri. Tetapi dengan duit dalam tabung itu, saya boleh gunakannya untuk bersedekah. Seorang makcik tukang sapu, saya beri dia RM10. Tersenyum panjang dia, tetapi dia menegur kenapa beri dia duit di jalan raya. Tak bahayakan diri ke, tanyanya.

Saya belikan seseorang sebuku roti Gardenia. Saya beli sekotak air minuman jenis cawan untuk kegunaan jemaah.

Saya teringat suami arwah mak busu saya yang tua tanpa pekerjaan. Dia menderita pelbagai penyakit kronik. Jarak rumahnya jauh juga...kira-kira 10 km. Saya pergi juga. Bukankah sekarang hari-hari terakhir Ramadan...nanti rugi tak rebut peluang terbaik ini, Ramadan depan belum tahu lagi,,,malah hari esok pun belum tahu. 

Saya hulur dia RM50. Tersenggih dia. Dia nak bercerita panjang - terjatuh di stesen minyaklah, masuk hospitallah, hospital sesaklah. Muncul seorang anak perempuannya, saya hulur RM20.

Hari sudah hampir tengah hari...jauh juga nak balik menunggang motosikal. Sambil menunggang saya berzikir dan menyanyi lagu ciptaan sendiri memuji Illahi. Ya Allah, aku ni hamba Yang Kaya...hamba Yang Maha Kaya. Kau Yang Kaya, Kau Pemilik Alam ini, malah Segala-Galanya, jika aku yang tidak punyai apa-apa ini berlindung di bawah payung MU YANG MAHA KAYA (Al-Ghani), apakah aku takut dengan ketidak-beradaan aku ini...

Jika di dunia ini kita boleh berasa nyaman dan aman berlindung di bawah payung orang besar seperti raja bayangkan bagaimana nikmatnya kita berada di payungan YANG MAKA KAYA dan BERKUASA.

Jam 1.45 petang usai solat Zuhur dengan anak beranak, kedengaran bunyi motosikal. Seorang lelaki berkumis tebal muncul dan bertanya: "Bang aji tuan punya tebu-tebu itu..?" tanyanya menunjuk kepada rumpunan tebu berhampiran rumah saya.

Saya mengiyakan, dia berkata dia mahu membeli secara borong lantas, membuat tinjauan ringkas. "Berapa bang aji nak jual...bang aji sebutlah, nanti saya tawar..."

Saya kata RM100, lelaki berkumis berkata, "saya bagi bang Aji RM150. Petang nanti saya datang..."
Ya, sungguh MAHA KAYA DIA...DIA adalah ALLAH AL-GHANI (YANG MAHA KAYA) sedangkan saya adalah hamba Yang Kaya atau lebih tepat lagi hamba YANG MAHA KAYA.

ARTIKEL IRINGAN

BARU-BARU ini saya berkesempatan ke (bekas) pejabat lama. Kawan-kawan ajak minum, sambil menikmati hidangan perbualan semakin lama semakin rancak terutama dalam membicarakan kesukaran rakyat menghadapi kehidupan sekarang ini.

Dalam perbualan itu, saya 'berloyar buruk' dengan menyatakan duit sebenarnya banyak, cuma ia tidak banyak dalam poket atau dompet kita tetapi banyak dalam 'tangan' orang lain. Persoalannya sekarang bagaimana usaha kita bagi memindahkan wang itu ke dalam poket kita...oh ya, semestinya secara halal bukan haram!

Saya berkata demikian berdasarkan pandangan seorang pakar motivasi yang juga seorang ahli perniagaan berjaya. Beliau mengungkapkan: "Ada banyak duit di kawasan sekitar kita - dalam poket orang, dalam dompet mereka, dalam bank, dalam laci pekedai dan juga bawah bantal tilam dan bantal sesetengah orang - persoalannya sekarang bagaimana mahu memancing wang itu masuk ke poket kita?"

Kata pakar itu ada dua cara melakukannya - satu secara haram, dan keduanya secara halal. Contoh perkara haram adalah seperti mencuri, merompak, makan rasuah dan makan riba manakala cara halal adalah seperti berniaga.

"Dengan melakukan kerja ini, duit akan dipindahkan dari poket mereka ke poket kita. Kalau kita pilih kaedah halal seperti berniaga, secara umumnya jika kita bekerja keras termasuk memenangi hati pelanggan, lebih banyaklah wang mereka akan masuk ke poket kita!"

Puluhan tahun lalu saya cuba praktikkan apa disyorkan pakar motivasi ini. Saya cuba berniaga termasuk terbabit dalam 'direct selling' (menjual produk seperti cecair pembersih secara langsung).

Terbukti saya tidak pandai berniaga - duit orang terlalu sukar untuk masuk ke dalam poket saya. Akhirnya saya 'give up' (berhenti). Banyak lagi usaha saya buat seperti berniaga ABC dan cendol, tetapi nampaknya 'tidak menjadi'. Dalam bab berniaga ini ternyata saya 'tiada seni' dalam melakukannya. Apabila 'gagal, tidak banyaklah wang orang masuk ke dalam poket saya!

Itu cerita dulu, tetapi pada masa 'tua' sekarang ini selepas menghadiri ratusan jika tidak ribuan 'tazkirah' termasuk di masjid dan melalui media massa seperti siaran televisyen dan radio, mengertilah saya bahawa ada cara lain untuk 'melebatkan' poket atau kantung kita. Ya, ada cara untuk 'menarik' rezeki yang perlu diluaskan pengertiannya bukan semata-mata kepada wang ringgit.

Seorang ulama dipetik sebagai berkata, tidaklah seseorang yang telah mati menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya. Sehubungan itu hendaklah kita perbanyakkan sedekah kerana seseorang mukmin itu akan berada di bawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat.

Demikianlah, ada beberapa rahsia untuk menjadi kaya tanpa kita duga, salah satu daripadanya ada banyakkan bersedekah. Ini kerana antara lain, sedekah menjadi sebab Allah SWT membukakan pintu rezekinya.

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT; Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ada di Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni daripada Anas r.a.)

Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah termasuk kaya jiwa, ada keberkatan dan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya.

Hadis diriwayatkan Ibnu Majah menyatakan, “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepada-Nya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.”

Selain bersedekah, ada sejumlah lagi amalan akan mendapat kurnia Allah SWT termasuk menarik rezeki, misalnya berzikir dan berselawat. Amalan berzikir seperti 'La Ilaha Ilallah Al Malikul Haqqul Mubin' dan 'La hawla Wala Quwwata Illa billah' adalah pembuka rezeki (pembawa keuntungan) dunia dan akhirat.

Demikianlah, setelah 'tua' barulah saya tahu 'sikit-sikit' rahsia kehidupan. Yakinilah kerana formula ini terbukti berjaya untuk menarik rezeki yang melimpah ruah, kebahagiaan hati, kekayaan harta dan jiwa, serta keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Ya, kita tidak perlu wang dalam poket orang untuk ditarik ke poket kita!

Sesuatu sedekah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Ada kisah Sayidina Ali dan isterinya Sayidatina Fatimah az-Zahra mengenai hal ini. Fatimah yang berkeinginan makan buah delima menyuruh Ali ke pasar; Ali mendapat sebiji delima. Di pertengahan jalan pulang, Ali telah menyedekahkan buah delima itu pada seseorang. Dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah rela dengan perbuatan Ali, kalau isteri lain sudah lama mengamuk!

Tiba-tiba seorang sahabat muncul di rumah Sayidina Ali membawa sembilan biji delima, katanya buah itu dihadiahkan seseorang kepadanya dan Fatimah.

Ali bertanya, mana sebiji lagi, lantas buah itu dikeluarkan dari poketnya. Ya, Ali tahu janji Allah itu tepat, suatu sedekah akan dibalas 10 kali ganda. Kalau pada bulan Ramadan, lagi berlipat kali ganda banyaknya. 


No comments: