Wednesday, May 13, 2020

Secebis Kisah Ramadan 20: Solusi mangga berlambak...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorang pun untuk melepaskannya sesudah itu dan dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Ayat 2, Surah Faathir)


Secebis Kisah Ramadan 20

Solusi buah mangga berlambak...


RAMADAN adakah bulan ujian. Sekarang ini di kampung saya musim buah mangga masak. Kalau kita susuri lorong-lorong kampung, melalui bawah pokok mangga, kita akan dapati buah mangga berlambak.


Di kawasan rumah saya pun begitu. Buah mangga berlambak. Apabila meninjau pada awal pagi, puluhan buah mangga gugur berlambak di bawah pokok.


Saya yang lihat keadaan itu sedih. Rezeki Allah walaupun sekecil mana, jangan dibazir. Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Bersyukur kepada Allah SWT, nanti Allah tambah. Kamu tak boleh nak yang banyak saja, yang kecil pun ambil sebagai tanda syukur kepada-Nya.


Sekarang ini (bulan Ramadan) orang tak berapa hirau buah mangga. Apatah lagi ketika 'perintah berkurung' - buah ini atau makanan berasaskan buah ini seperti rojak tidak dapat dipasarkan. Pasar dan bazar Ramadan tiada.


Saya ambil inisiatif kumpul buah-buah ini. Masukkan dalam beg plastik atau beg hadiah kenduri kahwin - misalnya lima biji dalam satu berkas - kemudian pada sebelah petang menunggang motosikal ke sebuah stesen minyak berhampiran.


Saya bagi saja siapa-siapa yang mahu. Alhamdulillah, ramai juga yang ambil, jadi taklah buah mangga saya membazir begitu saja. Saya jadikan amalan ini sebagai sebahagian usaha saya bersedekah - bukanlah Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang antara lain bermaksud 'selamatkan diri kamu daripada api neraka walaupun dengan bersedekah setengah buah kurma'...


Subhanallah, kita kini dalam fasa akhir Ramadan. Salah satu anugerah tempoh ini adalah Lailatulqadar. Malam istimewa ini perlu diburu dengan melakukan usaha-usaha semaksimum mungkin ke arah itu. Ia suatu anugerah, jika di dunia pun jika kita mahukan nama dan gelaran 'Datuk' pun kita perlu menjadi 'orang spesial' apatah lagi di akhirat nanti.

Insan diminta memburu akhirat dengan memaksimumkan ibadah pada Ramadan terutama hari-hari terakhirnya, tetapi seperti semut yang menggerumuni gula yang sebutir, manusia terus leka untuk memuaskan kehendak nafsunya.

Pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara sekalipun kita masih dalam 'perintah berkurung'.

ARTIKEL IRINGAN

Sebuah artikel lama LanH

KETIKA belajar di UKM dan bekerja di Harakah, sebagai 'musafir' yang hampir setiap hari berulang alik antara Melaka-Kuala Lumpur, pengalaman berpuasa Ramadan sangat mengujakan.

Bagi saya pengalaman ke tempat kerja tidaklah sangat mencabar; bergerak memulakan perjalanan menaiki bas ekspres pada awal pagi selepas bersahur dan solat subuh 'tidak ada apa yang menarik hendak dicatatkan' tetapi perjalanan balik 'yang mengharungi waktu berbuka' ada 'pahit dan manisnya'.

Ada kalanya saya menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Melaka jam 5.30, 6.00 dan 6.30 petang. Perjalanan adalah selama dua jam, jadi waktu berbuka adalah dalam bas atau di perhentian rehat dan rawat (R&R) di tepi lebuh raya.

Biasanya dalam 'perjalanan pulang', saya perhatikan ramai penumpang tidur atau 'buat-buat tidur' dalam bas. Al-maklumlah mereka penat berbuasa. Apabila sampai waktu berbuka berpeluanglah kita saksikan 'pelbagai fesyen manusia'. 

Ada yang meneguk air saja selepas itu menyambung tidur, ada yang menjamah sedikit makanan seperti kurma namun ada juga 'geng makan besar' - mereka membuka bungkusan makanan seperti nasi berlauk, nasi lemak, burger dan makanan segera lain - menyebabkan 'satu bas berbau' dan mendatangkan rasa kurang enak di hati penumpang lain.

Ya, bagaimana orang lain 'nak rasa enak' kerana ketika mereka 'makan enak' ada penumpang yang saya perhatikan 'tak makan dan minum apa-apa'! Tak tahulah sama ada mereka 'tak puasa dan tak hirau waktu berbuka' atau mereka terlupa atau tak sempat membeli makanan, jadi sewaktu orang lain 'makan dan minum', mereka mungkin 'menelan air liur saja'.

Penumpang pun ada banyak ragam. Ada yang 'ajak-ajak ayam' - mempelawa penumpang sebelah makan, ada yang bersungguh-sungguh mengajak tetapi ada juga yang 'buat deek aja'. Dia seorang 'membaham makanan' sedangkan 'jirannya telan air liur saja'.

Ada ketikanya bas berhenti di R&R ketika waktu berbuka. Maklumlah pemandu bas pun 'nak berbuka'. Takkan dia 'nak tegok air aje' sambil memandu. Dia pun 'nak rasa keenakan' nasi lemak atau sekurang-kurangnya sebuku kecil roti krim. Ada pemandu berhenti di R&R kerana dia tak suka penumpang buka puasa dalam bas. Dia tak tahan bau makanan dalam bas.

Masa berhenti di R&R tak lama. Adalah 5-10 minit saja. Kalau di kawasan R&R yang kecil, penumpang tak ada pilihan kecuali berbuka puasa di bahu jalan. Maka berderetlah mereka (termasuk saya), bertenggek di bahu jalan makan serta minum dan pada situasi begini teringatlah saya akan 'keindahan' dan 'kenikmatan' berbuka puasa dengan anggota keluarga. Ya, apa nak buat, bersabarlah saja sambil berdoa "ya Allah, Kau datangkanlah kembali detik-detik indah itu!"

Berceloteh mengenai 'detik-detik indah' berbuka puasa beramai-ramai bersama anggota keluarga ini, 'tergambar' di mata ini betapa sekarang ini semakin banyak keluarga sudah kehilangan nikmat untuk makan bersama-bukan saja ketika Ramadan tetapi pada sepanjang tahun. 

Mereka tidak berbuat demikian kerana pelbagai alasan seperti sibuk bekerja, bersekolah, 'free-time' yang tidak sama, rumah sudah besar dengan banyak bilik jadi anak-anak 'sukar dipanggil ketika waktu makan' manakala orang sekarang disibukkan dengan gajet elektronik - mereka asyik ber'face-book', 'ber-'chatting' dan pelbagai 'ber...' lagi yang sudah pasti amat merenggangkan hubungan sesama anggota keluarga.

Banyak keluarga sekarang tidak berpeluang untuk menikmati sarapan bersama, demikian juga dengan makan tengah hari. Pada awal pagi mereka sibuk ke tempat kerja - ramai kanak-kanak sekarang ke sekolah tanpa sarapan - manakala pada tengah hari, mereka tidak dapat bersama lagi kerana pelbagai kekangan. Mungkin pada sebelah petang dan malam mereka boleh menikmati makanan bersama tetapi perkara ini pun sukar terlaksana kerana ramai anggota keluarga masih lagi sibuk.

Ibu saya yang kerap saya 'berceloteh' dengannya mengingatkan bahawa 'orang dulu' kurang duit tetapi mereka dapat merasai nikmat makan pagi, tengah hari dan malam secara bersama tetapi 'orang sekarang' duit mereka mungkin banyak dan pangkat besar tetapi 'tidak ada nikmat' untuk makan bersama anggota keluarga mereka. Bekeluarga pun sudah macam tak bekeluarga, makan pun sendiri-sendiri jadi apakah erti kemajuan hidup yang kita terkejar-kejar sekarang ini?

Alhamdulillah Ramadan datang lagi; insya-Allah; ini peluang terbaik untuk kita menikmati keindahannya dengan 'makan bersama-sama' dengan seluruh anggota keluarga pada waktu bersahur dan berbuka puasa. 

Pada waktu bersahur kemungkinan besar semua anggota keluarga ada di rumah, jadi rebutlah peluang untuk makan bersama. Kita juga berpeluang untuk melakukan ibadat lain seperti solat secara bersama. Ya, saudaraku, jangan lepaskan peluang untuk mengukuhkan ikatan keluarga yang dari sehari ke sehari saya perhatikan semakin longgar akibat daripada kesibukan kita 'mengejar dunia'. 

Bagi berbuka puasa pula, mungkin sebahagian daripada kita tidak dapat bersama keluarga kerana sibuk bekerja atau terkandas dalam perjalanan (jem) untuk pulang namun 'cuba-cubalah' untuk 'mencari masa' untuk bersama keluarga di bulan mulia ini. 

Ya, berusaha keras untuk mendapat nikmat berbuka bersama keluarga kerana berdasarkan pengalaman saya yang pernah merantau ke pelbagai tempat, saya perhatikan ada insan yang terpaksa berbuka puasa bukan saja tanpa keluarga tetapi sambil bekerja (seperti pemandu bas dan polis trafik), berlari-lari anak (pekerja sibuk) malah ada sempat menelan air liur saja. 

Di luar negara, di kawasan miskin, bencana dan perang, penduduknya makan apa saja; di Pakistan suatu ketika dulu saya 'terpaksa berbuka puasa' dengan 'hidangan epal berdebu'...ya makanlah saja dan ucap syukur kepada Illahi!


No comments: