Sunday, January 15, 2017

U Masjid (6): Hidup bagaikan putaran roda...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

UNTUK menyiapkan tulisan 'Universiti Masjid' bahagian keenam ini saya mengembara bersendirian dengan motosikal saya dari teratak kediaman di Melaka, singgah di beberapa masjid seperti Masjid Sultan Ismail di Muar, Masjid Sultan Ismail di Batu Pahat dan Masjid Dato' Noh Gadut di Kampung Serkat (kampung Pak Shukur Harun, kolumnis di Harakah tidak lama dulu).

Pengembaraan sehingga ke Tanjung Piai iaitu kawasan paling selatan tanah besar Asia ini, menemukan saya dengan pelbagai orang dan kejadian yang tak disangka-sangka. Salah seorang watak menarik saya temui adalah seorang lelaki dalam usia 40-an yang seakan-akan menjadikan Masjid Sultan Ismail, Batu Pahat sebagai tempat untuk mengubat kesepian hatinya.

Perkenalan dengan lelaki ini (saya namakannya Ali bagi memudahkan penceritaan) bermula selepas saya menghadiahkannya sebungkus makanan pada suatu petang selepas solat Asar. Ketika itu Ali sedang berehat-rehat di sebuah pangkin konkrit bahagian sisi masjid yang menempatkan sebuah klinik wakaf, sebuah pusat dialisis dan tandas.

Ali cepat mesra...dia menceritakan perihal dirinya dan hampir tidak langsung bertanya akan diri saya. Pada saya keadaan ini bagus kerana kalaulah Ali tahu saya ini seorang penulis, dia akan 'kontrol' (kawal) apa yang dicakap. Jadi, luahannya mungkin 'kurang asli'.

Ali bercerita dalam beberapa hari lagi, dia akan menjalani 'interview' kerja di sebuah kilang milik orang Jepun di Johor Bahru. Jadi sambil baring-baring dia mengikuti 'adegan perbualan' termasuk temuduga kerja dalam bahasa Inggeris melalui 'handset'nya. 

Ali bukan 'baru' hendak bekerja...dulu dia mempunyai jawatan tinggi malah sudah berumah tangga. Namun katanya, beberapa tahun lalu dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya. Ada anggota tubuh badannya menjadi kurang upaya menyebabkan 'kehidupan aman bahagianya' yang jika diibaratkan sebuah roda kehidupan kini terperesok di bahagian bawah.

Mula-mula dia dibuang kerja, kemudian rumah tangganya berkecai...maka bermulalah tahun-tahun berdukacita yang menyaksikan dia meluangkan banyak masa di masjid. Katanya, dia suka suasana tenteram terutama di bahagian sisi masjid yang menempatkan klinik kerana kawasan itu menjadi sepi selepas waktu kerja; jadi dapatlah bermunajat kepada Allah SWT sepuas-puas hatinya.

Ali bertanya sama ada saya mahu bermalam di masjid itu. Apabila saya berkata ya, dia memberitahu siapa yang perlu saya maklumkan perkara itu, "Awak jumpa dia, tak ada masalah. Semua beres..."

Selepas solat isyak, Ali dan saya bertemu semula di pangkin tepi klinik. Kami berborak panjang. Macam sudah lama kenal satu sama lain. Ketika berbual, terjenguk dua ekor anak kucing sungguh comel, memandang kami. Ali tabur makanan kucingnya. Ternyata Ali dan anak kucing begitu 'ngam'!

Malam kian sepi. Kata Ali, dia sokong PAS. "Kita perlu pemimpin yang betul untuk memimpin kita. Kita orang awam ini tak boleh pandai-pandai sendiri. Walaupun banyak perkara sudah diperkatakan mengenai PAS, saya tetap bersama PAS."

Saya biarkan Ali meluahkan perasaannya. Baguslah dia tak tahu saya pun ahli PAS dan menulis untuk akhbar PAS pula. Panjang cerita Ali mengenai 'kewajipan' istiqamah dalam perjuangan Islam melalui PAS.

'Kesetiaan' Ali kepada PAS 'mengujakan'. Itu soal perjuangan, tetapi bagaimana halnya si Ali yang tiada kerja sudah bertahun-tahun lamanya. Dia memberitahu dengan kantung yang kerap kosong, dia pasrah. 

Kadang-kadang di masjid ada makanan...kawan-kawan dan penderma pun banyak membantu..."setakat ini taklah saya kebulur tetapi sampai bila? Saya sungguh-sugguh berharap dapat kerja di syarikat Jepun di JB itu. Doakan saya ya..."

Malam kian larut. Nyamuk kian banyak. Namun syukurlah malam itu saya tidur 'bertemankan' nyalaan selingkar ubat nyamuk sumbangan Ali...ohh alangkah baik budinya 'si mamat' ini yang roda kehidupannya kini berada di bahagian bawah! Sama-samalah kita berdoa dia akan kembali ke atas sekali lagi!

No comments: