DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
BARU-BARU ini saya berpeluang solat dan beriktikaf di Masjid Tengkera, salah sebuah masjid tertua di negeri Hang Tuah. Apa yang menarik, masjid di kawasan sesak dengan penduduk majoriti bukan Islam ini mengamalkan konsep terbuka – seseorang itu bebas beribadat pada bila-bila masa.
Masjid yang dibina pada 1728 ini pada asalnya diperbuat daripad kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910.
Di Masjid Negeri iaitu Al-Azim di Bukit Palah (mula dibina pada 1984 dan dirasmikan pada 1990) pula, sebahagian tembok masjid telah diruntuh, dibersihkan dan dibina dataran pejalan kaki bagi memberi laluan kepada orang ramai ke masjid tanpa melalui pintu gerbang utama.
Barangkali ‘keterbukaan’ ini menepati saranan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Idris Haron yang pada awal perkhidmatannya pada 2013, agar pagar dan tembok masjid dibuka sebaliknya dibina dataran yang membolehkan orang awam beraktiviti termasuk beriadah bersama keluarga.
Beliau membayangkan mencontohi Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah yang mempunyai dataran terbuka (kini berpayung gergasi terbuka dan terkatup secara automatik) yang membolehkan orang ramai beriadah dan beribadat di bawahnya.
Apabila tiba waktu solat waktu, pada waktu sesak dataran itu dibarisi oleh jemaah (mereka berada mengikut garisan saf disediakan); ini bermakna solat dapat ditunaikan tepat pada waktunya dan secara berjemaah pula walaupun seseorang itu berada bersama-sama keluarganya.
Selain itu di dataran berkenaan boleh dimajukan kegiatan membangunkan masyarakat Islam seperti berniaga, demonstrasi kegiatan setempat seperti membuat kraftangan dan persembahan 'hiburan halal'.
Sekarang ini sudah ada pihak berusaha memakmurkan sejumlah masjid dan hasilnya dapat dilihat dengan kunjungan orang ramai dengan pelbagai aktiviti seperti perniagaan dan siri ceramah dan kuliah).
Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dilihat berjaya menarik kunjungan orang ramai termasuklah keluarga yang mahu beriadah dan membeli barangan terpilih seperti kurma, tudung, buku-buku agama dan peralatan haji dan umrah di samping mengikuti ceramah dan kelas pengajian agama.
Selain itu semakin banyak masjid dijadikan lokasi majlis pernikahan dan jamuan perkahwinan (di dewan atau perkarangan masjid). Cuma jika diadakan majlis seumpama itu, seperti majlis nikah dalam masjid, perlulah diamati adab-adabnya agar kesucian rumah Allah itu tidak tercemar.
Mengadakan majlis nikah di masjid adalah bagus kerana banyak kelebihannya namun pihak yang mengadakannya perlu berilmu dan membuat kerja tambahan seperti memberi taklimat kepada anggota rombongan.
Mereka perlu memberi nasihat terutama kepada wanita mengenai peraturan dari segi penampilan dan pakaian dan hukum-hakam wanita memasuki masjid. Bukan semua orang boleh sesuka hati memasuki masjid - mereka yang berhadas besar (contoh wanita berhaid) diharamkan berbuat demikian, apatah lagi duduk di ruang solat utama!
Sepanjang saya berkelana di Semenanjung, ada masjid 'sudah ke depan' seperti menawarkan bilik untuk disewa (ibarat hotel atau 'homestay'); perkhidmatan ini 'pasti menggembirakan' pengunjung yang dapat 'berehat' dan beribadat dalam suasana sungguh kondusif. Syabas kepada pihak pengurusan masjid-masjid seperti ini!
No comments:
Post a Comment