Sunday, January 8, 2017

U Masjid (5): Naik semangat kerana Agong pun sendirian…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

ALHAMDULILLAH baru-baru ini saya berpeluang menginap di sebuah hotel lima bintang di KLCC. Seperti biasa apabila berada di sesuatu kawasan yang asing bagi diri ini, saya akan mengamat-amati lokasi masjid supaya senanglah saya berkunjung ke sana terutama pada waktu subuh yang masih gelap.

Saya mendaftar (check in) di hotel berkenaan agak awal, jam 11 pagi. Dari tingkat 25, saya nampak sebuah masjid; saya berkira-kira itulah Masjid Asy-Syakirin yang pernah saya kunjungi sebelum ini; tetapi kerana hanya sekali dua ke sana, saya ingat-ingat lupa. Jam 12.00 tengah hari saya turun dan berjalan secara ‘relaks’ ke masjid untuk solat zuhur.

Untuk ke masjid, saya perlu meredah Taman KLCC sejauh lebih 700 meter dan kemudian melalui sebuah pejalan kaki sementara di tepi sejumlah bangunan termasuk sebuah stesen MRT bawah tanah yang sedang dalam pembinaan. Serun juga melalui kawasan pejalan kaki kira-kira 800 meter ini kerana kebanyakan orang ditemui adalah buruh Mat Bangla dan Indon.

Awal pagi esoknya selepas tersedar jam 4.00 pagi, saya buatlah apa yang patut dan kemudian hati saya berbolak-balik hendak ke Masjid Asy-Syakirin atau tidak untuk solat subuh. Ehh takut, terdengar satu bisikan di hati saya. Tak takutkah kau nak lalu kat taman yang gelap itu dan kemudian melalui pejalan kaki yang sunyi sepi itu. Ada berani?

Ohh, aku tak berani…namun secara tiba-tiba ada satu lintasan di hati…Subhanallah, apa nak kau takutkan; bukankah Agong (Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V) pun pergi masjid bersendirian (berdasarkan petikan laporan dan gambar di internet); kalau Agong sebagai orang ‘top’ (tertinggi) di negara ini tak takut, apalah kau yang ‘tak ada apa-apa’ nak takut?

Secara automatik semangat saya naik membara. Terbayang di mata pesanan sejumlah ustaz dan tok guru. Iman mesti mantap. Kental. Semuanya di tangan Allah SWT. Tak ada yang boleh ‘mengganggu-gugat’ kau tanpa izin Allah. Kalau seluruh alam berpakat hendak merosakkan kamu tetapi Allah tidak izinkan, ia tidak akan berlaku. Jadi apa takut, bukankah kau nak solat yang salah satu bacaannya adalah “hidup dan matiku hanya kerana-Mu.”

Alhamdulillah, subuh itu saya solat di Masjid Asy-Syakirin dan zuhur hari itu sekali lagi saya solat di sana. Untuk maklumat pembaca, di Masjid Asy-Syakirin sebelum solat zuhur berjemaah, ada majlis tazkirah dan pada hari itu imam sendiri yang menyampaikannya.

Imam yang mengkuliahkan sebuah hadis yang mentafsirkan maksud ‘orang muflis’ sempat bercerita mengenai perihal Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong sekarang ini ketika baginda belum lagi menjadi Sultan Kelantan.

Suatu subuh, katanya ketika mahu membuka pintu masjid, beliau melihat seorang pemuda berteleku sendirian di satu sudut, menunggu pintu dibuka. Katanya, ‘orang masjid’ ingatkan pemuda itu pemandu teksi, jadi mereka ‘buat seperti biasa’. Maklumlah biasalah bagi pemandu teksi bersolat dan berehat sebentar di masjid.

Selepas solat, barulah ‘orang masjid’ sedar bahawa pemuda itu adalah putera Sultan Kelantan yang istana hinggapnya ada di ibu kota. Namun pemuda itu ‘berkelakuan biasa-biasa saja’ – beliau beredar segera – datangnya bersendirian dan balik pun bersendirian.

Memikir-mikirkan kisah ini, terasa di hati saya betapa ‘sombong dan angkuhnya’ diri ini – Sultan Muhammad V yang hebat itu tidak merasa apa-apa pada dirinya tetapi ‘hamba yang daif ini’ kadang-kadang diulit perasan ‘aku hebat’ (I am a somebody) sedangkan hakikatnya ‘tidak ada apa-apa’!

Berkenaan kepentingan solat berjemaah (yang subuh itu saya nyaris 'miss’), sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.” 

Ya, datanglah berjemaah ke masjid sekalipun terpaksa mengharungi malam yang gelap gelita kerana Agong pun boleh melakukannya, tak malukah kita jika kita yang 'tak ada apa-apa ini', tak boleh!

No comments: