Thursday, January 19, 2017

Harga barangan tinggi, alternatifnya hampir tiada...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

SEHARI dua memasuki tahun baharu 2017, terkejut besar kita apabila harga barangan keperluan dapur terutama ikan dan sayur melambung mendadak. Misalnya harga ikan yang suatu ketika dulu digelar lauk orang miskin seperti kembong mencecah RM16 manakala selar RM18, malahan cencaru RM14 sekilogram.

Pelbagai pihak beralasan bahawa harga ikan tinggi disebabkan musim tengkujuh di Pantai Timur mengakibatkan nelayan tidak dapat ke laut. Namum umum mengetahui bahawa sebahagian besar ikan-ikan di pasaran adalah 'ikan kotak' yang sesetengahnya diimport dari Thailand dan Indonesia, jadi alasan 'musim tengkujuh' boleh dipertikai.

Kenapa hampir tidak ada pihak berani menyebut bahawa harga barangan keperluan termasuk ikan meningkat tinggi disebabkan kenaikan 'tinggi' harga petroleum mulai 1 Januari 2017? Apabila harga minyak naik, tidakkah kos pengangkutan juga naik menyebabkan harga barangan turut naik?

Demikianlah rakyat marhaen memulakan tahun baharu dalam keadaan penuh tertekan. Berhubung 'penderitaan rakyat' ini, penulis berusaha menyelami hati beberapa 'individu bawahan' yang pandangan sesetengahnya dapat dijadikan iktibar bersama.

Haji Jabar sudah lama bersara. Kini dalam usia 70-an, beliau berusaha 'sikit-sikit' (berdasarkan umur tuanya) menambah pendapatan - kadang-kadang dia melangai (menangkap geragau atau anak udang) serta ikan di pinggiran laut Selat Melaka. 

Dengan cara ini dapatlah dia membantu mengurangkan perbelanjaan dapur keluarganya kerana mereka tidak perlu kerap membeli ikan untuk dijadikan lauk. Pendeknya, beliau ada alternatif - misalnya jika harga ikan mahal dia boleh ke laut.

Namun dalam perbualan terkini beliau dengan penulis, dia tampak marah kerana katanya ada pihak tertentu melarangnya daripada melangai di laut persisiran bandar raya Melaka. Beliau mendakwa sejumlah kawasan di tepi laut sudah menjadi milik persendirian. Malah ada pihak yang sudah mengepung kawasan mereka sekali gus menyebabkan pelangai atau nelayan persisiran pantai tidak dapat ke laut.

Demikianlah dalam keghairahan pihak pemerintah mengejar kemajuan, periuk nasi sesetengah rakyat ditaburi pasir. Jadi pada ketika harga barangan keperluan termasuk ikan sangat mahal sekarang ini, alternatif Haji Jabar mengusahakan lauk untuk keluarganya seolah-olah sudah tertutup rapat. Kasihan Haji Jabar, tetapi apa dia boleh buat?

Berbual-buah dengan Encik Rashid, 30, seorang pembantu kedai yang membantu penulis menyiang ikan selar yang dibeli dengan harga RM18 sekilogram, mendedahkan dia terpaksa ke Muar untuk memancing ikan puyu (sebagai alternatif lauk berikutan harga ikan yang mahal) kerana parit, terusan dan sungai di Melaka hampir tiada ikan puyu (betuk) lagi.

Menurutnya suatu ketika dulu, 'ikan darat' mudah diperolehi tetapi sekarang seakan sudah menjadi menjadi eksotik pula. Dulu kalau tak ada lauk, 'ikan darat' seperti betuk, haruan dan keli adalah alternatifnya tetapi sekarang ikan-ikan ini harganya sudah melambung tinggi terutama haruan yang dikatakan amat mujarab untuk merawat luka dan untuk wanita yang baru bersalin.

Di kedai yang sama, Encik Deraman mengulas mengenai sayur-mayur pula. Katanya, dulu jika sayur seperti sawi, bayam dan kubis mahal atau tidak ada di pasaran, orang kampung tidak bimbang sebab mereka pada bila-bila masa boleh memetik 'sayur asli' seperti pucuk paku, pucuk pakis dan pucuk ubi yang tumbuh melata di belukar berhampiran rumah mereka. Malah 'kangkung kampung' pun segar bugar tumbuh dalam parit dan sawah serta kolam.

Malah katanya, orang kampung boleh makan sulur keladi, umbut pisang dan banyak lagi tumbuhan yang boleh dijadikan lauk. Pendeknya mereka ada alternatif tetapi sekarang ini pada ketika harga barangan keperluan termasuk ikan dan sayur-sayuran melambung tinggi, sebahagian besar rakyat tiada pilihan.Ya, amat menyedihkan sayur-mayur kampung ini hampir pupus malah di sesetengah tempat sudah pupus sama sekali!

Kerakusan pihak-pihak tertentu termasuk pemerintah dalam melaksanakan pelbagai projek termasuk untuk 'membesar perut kroni' telah menyebabkan alam sekitar musnah teruk. Jadi tidak hairanlah jika rakyat terutama orang kampung tidak lagi mempunyai alternatif jika harga barangan keperluan meningkat terlalu tinggi; malah orang Asal pun mengadu bahawa banyak 'kawasan rayau' mereka (di hutan) sudah musnah menyebabkan mereka 'susah cari makan'!

Demikian pada masa zaman 'paceklik' (bahasa Jawa bermakna zaman susah) sekarang ini, tidak mudah mendapatkan alternatif sesuatu barangan keperluan itu, jika dulu tiada beras mungkin ubi kayu gantinya tetapi sekarang ini harga ubi kayu pun amat tinggi!

No comments: