Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SELAMAT Tahun Baharu 2017. Pada tahun ini negara kita akan meraikan Hari Kemerdekaan ke-60. Pada usia 60 tahun, kakitangan kerajaan bersara wajib; jadi kita berpendapat pada usia negara ke-60 inilah sewajarnya Umno-BN ‘dibersarakan’ daripada memerintah negara kerana ia sudah selayaknya mendapat status ‘pesara’. Jadi pada tahun 2017 ini selamat bersara, Umno-BN!
Persoalannya sekarang apakah Umno-BN mahu atau terpaksa pencen setelah 60 tahun memerintah negara? Kalaulah komponen parti ini kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU) yang jika diadakan pada 2017, maka menjadi realitilah Umno-BN pencen selepas memerintah negara ini selama 60 tahun.
Namun sudah tentu Umno-BN tidak mahu pencen setelah 60 tahun memerintah. Ada pekerja pun tidak mahu pencen pada usia 60 tahun. Oleh itu ada ura-ura melanjutkan tempoh pencen kepada 62 tahun. Masih muda, kata kebanyakannya, terutama daripada sektor awam. Masih banyak boleh disumbangkan kepada agama, bangsa dan negara, dakwa sesetengahnya.
Demikianlah betapa banyak alasan diberi sedangkan jika mereka tidak pencen, macam mana ada kekosongan bagi membolehkan anak cucu masuk dalam dunia pekerjaan. Itulah antara sebabnya puluhan ribu graduan kini menganggur! Ini kerana di ofis berlaku lambakan ‘datuk’ dan ‘nenek’!
Jika ada pekerja yang ‘tiada kepentingan sangat’ enggan pencen pada usia 60 tahun tentunya Umno-BN tidak mahu kerusi empuk yang didudukinya direnggut selepas 60 tahun memerintah negara. Banyak ‘keistimewaan’ dan ‘habuan’ sudah dinikmatinya, jadi buat apa bersara secara sukarela. Nampaknya, tiada jalan lain, pesaingnya perlu 'sehati sejiwa' menjatuhkannya secara ‘paksa-rela’!
Berdasarkan semangat Persidangan Agung Umno (PAU) hujung tahun lalu (2016) jelas sekali Umno-BN tidak sedia bersara pada usia 60 tahun ini. Kalau boleh ia mahu melanjutkan lagi mandat pemerintahan ke angka 70, 80, 90 dan 100 tahun. Atau lebih baik lagi dulu, kini dan selamanya sejajar dengan slogan keramatnya.
Apabila Umno-BN tidak sedia pencen pada usia 60 tahun ini (berdasarkan propaganda hebat dilancarkannya terutama melalui media massa), apakah rakyat boleh berterusan berdiam diri?
Seorang kakitangan (pekerja) yang mahu usia persaraannya (dulu ada pilihan untuk bersara pada usia lebih awal seperti 58 tahun) dilanjutkan sehingga 60 tahun mestilah menunjukkan prestasi baik bahawa dia masih boleh menyumbang bakti sekali pun badannya sudah sakit sana sakit sini.
Tidak guna ‘sign’ kontrak bersara umur 60 tahun tetapi tahun-tahun terakhir bekerja dipenuhi MC, terlantar di wad hospital, ponteng, termenung sana termenung sini kerana kaki sudah dipotong kerana diabetes, tak larat bekerja dan sebagainya yang pasti menjejaskan operasi jabatan atau syarikat. Hal ini akan menyusahkan pihak pengurusan dan rakan-rakan sekerja. Lebih buruk lagi, dalam usia senja itu terbabit pula dalam amalan buruk seperti rasuah.
Jika seorang pekerja boleh disemak rekodnya sama ada dia layak bekerja sehingga umur 60 tahun, Umno-BN juga boleh diperiksa prestasinya sama ada ia layak dipencenkan selepas memerintah negara selama 60 tahun.
Akhir-akhir ini apabila Umno-BN sudah ada tanda-tanda ‘kena pencen’, ia semakin gelisah sehingga terpaksa ‘masuk bakul angkat sendiri’. Maklumlah takut dipencenkan pada ‘usia muda’ kononnya! Tukang kempennya seperti media massa sarat dengan puji-pujian melangit, membodek Umno-BN sebaliknya menjadi kaki kutuk paling dahsyat terhadap lawannya.
Jika kita tengok TV, hampir setiap masa rakyat disogokkan dengan kejayaan PM dan projeknya seperti MRT, BR1M, Kedai 1-Malaysia, Klinik 1-Malaysia dan program membeli undi rakyat lainnya. Beritanya sarat dengan propaganda murahan sehingga rakyat ‘tidak ghairah’ lagi ‘membuka’ TV atau menatap akhbar arus perdana.
Hakikatnya tubuh badan Umno-BN sudah rosak teruk, menjadi sarang penyakit, oleh itu bersaralah wahai Umno-BN selepas memerintah negara selama 60 tahun; kalau tak, rakyat akan memaksa anda! Percayalah jika pilihan raya diadakan secara telus pada 2017 ini seperti dituntut Bersih, anda akan tersenarai sebagai seorang pesara! Selamat bersara Umno-BN!
No comments:
Post a Comment