DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SEORANG peminat veteran Suara Keadilan (SK), Raja Mohd Yusof Raja Othman, 80, dari Semenyih, Selangor beberapa hari lalu menelefon saya; dalam nada marah memberitahu kira-kira 30 naskhah Suara Keadilan terbitan 18 Oktober di kedai yang biasa dibelinya, dirampas pihak berkuasa.
Beliau bagaikan tidak sabar memberi maklumat terperinci termasuk waktu kejadian dan meminta nama petugas Suara Keadilan untuk dihubungi, tetapi apa yang penting rampasan itu menyebabkan dia tidak dapat menatap akhbar yang banyak mendedahkan salah laku pihak berkuasa terutama di kalangan tokoh politik tanah air.
Rampasan Suara Keadilan malah media parti pembangkang lain seperti Harakah, Amanah dan Roket oleh pihak berkuasa sentiasa berlaku; mungkin ia menepati peribahasa 'tak dapat tanduk telinga dipulas'. Peribahasa ini membawa maksud 'orang sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas dendam' manakala orang Indonesia mentakrifkannya sebagai 'tindakan apa pun dilakukan asal dapat merugikan lawan'.
Bijak pandai ada menukilkan bahawa dunia ini adalah pentas lakonan...manusia tanpa kawalan seperti agama dan perababan berbuat sesuka hati mereka. Seperti hukum rimba, yang kuat memangsakan si lemah, di pentas dunia orang berkuasa seperti Firaun memangsakan rakyat tidak berdaya.
Apabila sang penguasa korup mendapati perilaku mereka didedahkan manakala bantahan rakyat semakin lantang termasuk melalui media seperti Suara Keadilan, mereka bertindak 'membabi-buta' seperti melakukan rampasan. Mereka melakukan 'tindakan apa pun asal dapat merugikan lawan'.
Perlu diingatkan bahawa kebenaran tidak dapat disembunyikan; di dalam al-Quran dinukilkan bagaimana Firaun dan bala tenteranya gagal melenyapkan tentangan rakyat yang diketuai oleh Nabi Musa.
Ironinya Nabi Musa membesar dalam istana Firaun sedangkan beliau mengarahkan semua anak lelaki bani Israil dibunuh. Ya, kisah Nabi Musa dan Firaun ini dibaca berulang-ulang, tetapi apakah pihak berkuasa atau pemimpin mengambil teladan. Mereka memusnahkan suara rakyat seperti Suara Keadilan, tetapi percaya seperti musnahnya Firaun, mereka juga akan musnah akhirnya!
Bagi pihak pemerintah, tindakan merampas Suara Keadilan dan akhbar alternatif lain menjelang perhimpunan besar-besaran Bersih 5.0 pada 19 November nanti hanya akan memakan diri sendiri. Ini adalah kerana akses kepada media massa yang adil adalah antara perkara dituntut Bersih.
Namun hal ini dikesampingkan oleh pemerintah; kita dapat saksikan betapa media massa didakwa sebagai 'arus perdana; yang dikuasai mereka diperkuda sepuas-puasnya oleh parti pemerintah - mereka ‘mengamuk sakan’ – 'membodek melangit’ parti pemerintah sebaliknya ‘membunuh’ parti-parti pesaing.
Membenarkan media berkenaan 'mengamuk sakan' sebaliknya 'membunuh' akhbar alternatif akhirnya akan mendedahkan kebejatan sang pemerintah di mata rakyat. Dalam dunia tanpa sempadan dengan ledakan komunikasi masa ini, rakyat semakin bijak menilai.
Sebagai contoh, pilihan raya Presiden Amerika Syarikat memberikan peluang seluas-luasnya kepada pihak bertanding (ketika ini pertarungan berkisar kepada calon Parti Republikan, Donald Trump dan calon Demokratik, Hillary Clinton) untuk muncul di kaca televisyen dan alat sebaran lain. Malah mereka berdebat secara terbuka di TV.
Jika pemerintah kita tidak bersedia dengan 'demokrasi ala-Amerika' ini, mereka wajar memberikan alternatif lain seperti hak bagi semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio.
Namun apa yang berlaku, pihak berkuasa tidak membenarkan hal ini kerana mereka mahu memonopoli siaran media bagi membolehkan mereka terus berpropaganda demi mengekalkan kuasa ‘dulu, kini dan selama-lamanya’. Bukan saja TV atau radio bebas tidak dibenarkan malah Suara Keadilan yang sudah ada di pasaran pun dirampas.
Perkembangan yang tidak sihat ini sedang dinilai oleh rakyat...jika Allah SWT bukakan hati rakyat, insya-Allah parti pemerintah akan 'bungkus' pada pilihan raya umum nanti!
No comments:
Post a Comment