Friday, November 18, 2016

Jadualkan tarikh pilihan raya...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TANGGAL 8 November rakyat Amerika Syarikat mengundi menentukan Presiden Amerika Syarikat ke-45 sama ada calon Parti Demokratik, Hillary Clinton atau Donald Trump daripada Parti Republikan. Akhirnya Trump menang, mengetepikan sama sekali pandangan awam termasuk media bahawa Clinton akan menjadi wanita pertama menjadi Presiden Amerika.

Selepas diumumkan pemenang, calon tidak terus menjadi Presiden sebaliknya dikenali sebagai 'President-elect'; beliau akan hanya dimasyhurkan sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari tahun berikutnya. 

Sebelum pilihan raya presiden (8 November) tarikh-tarikh penting proses pilihan raya seperti 'Presidential Primary' dan 'Primary Election' dan debat agung calon sudah ditetapkan - demikianlah betapa tersusunnya jadual pilihan raya Presiden Amerika Syarikat...mungkin pemerintah kita boleh menirunya iaitu tetapkan satu jadual proses pilihan raya termasuk tarikh pilihan raya umum (PRU) lama sebelum hari pengundian.

Selain Amerika Syarikat, banyak lagi negara maju dan sedang membangun hatta Thailand, Pakistan dan Indonesia sudah menetapkan tarikh pilihan raya lama sebelum ia berlangsung. Pendeknya, sejak awal lagi tarikh itu telah di'booking' (tempah) - jadi tidaklah banyak pihak dan orang perseorangan akan kelam kabut apabila pilihan raya diadakan mengikut 'suka hati' pemimpin berkuasa!

Bagi negara kita, umum mengetahui bahawa PRU mesti diadakan sebelum tarikh akhir hayat Parlimen selepas kerajaan yang memerintah tamat tempoh lima tahunnya. Bagaimanapun, tarikh PRU itu tidak diketahui, ia boleh diadakan bila-bila masa sebelum tempoh itu tamat; ketidak-tentuan tarikh pilihan raya inilah dilihat sebagai dieksploitasi oleh parti pemerintah sementara bagi pembangkang ia banyak merugikan mereka.

Jika dilihat senario antarabangsa kebanyakan negara demokrasi dunia mempunyai jadual pilihan rayanya. Mungkin negara kita satu-satunya di mana ketua kerajaan (perdana menteri) mempunyai hak menentukan tarikh pilihan raya.

Beliau berhak memanggil pilihan raya sekalipun tempoh mandat pemerintahan lima tahun belum tamat. Biasanya pilihan raya dilangsungkan pada ketika parti pemerintah yakin ia mendapat undi dan sokongan kuat rakyat. Ataupun pada ketika parti pemerintah berada dalam keadaan kuat dan selesa.

Apabila Perdana Menteri sahaja yang tahu bila pilihan raya hendak diadakan, beliau akan menggunakan kesempatan itu sepenuhnya. Sudah pasti beliau menjurus untuk mengadakannya pada masa difikirkan paling sesuai untuk kemenangan partinya sementara lawan pula berada dalam keadaan huru-hara atau lebih teruk lagi 'nazak'.

Seorang tokoh politik pembangkang berkata sewajarnya perdana menteri bersikap 'gentleman' atau dalam bahasa Melayu pasarnya 'anak jantan' dengan mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal dan bukannya berahsia. Katanya, pengisytiharan awal tarikh pilihan raya akan memberi peluang adil kepada semua parti atau individu yang akan bertanding.

Teka-teki tarikh pilihan raya membayangi negara buat tempoh masa yang panjang. Misalnya tahun depan (2017) sudah diheboh-hebohkan akan diadakan pilihan raya jadi sepanjang tempoh ini dikhuatiri ‘politiking’ amat panas, menjadikan banyak kerja dan perancangan bukan saja di pihak kerajaan tetapi rakyat tergendala.

Misalnya, perbahasan hangat terjadi agar pilihan raya tidak dilangsungkan pada waktu tertentu seperti musim haji atau musim tengkujuh (banjir); semua ini menyumbang kepada ketidak-tentuan yang boleh membawa kepada pelbagai hal negatif seperti pembaziran masa dan tenaga manusia. Dengan tiadanya tarikh PRU ditanda di kalendar, banyak majlis seperti keramaian dan perkahwinan boleh terjejas dan menyusahkan pelbagai pihak.

Sehubungan itu kita melihat bahawa ada keperluan mendesak untuk meminda undang-undang pilihan raya termasuklah menetapkan tarikh pilihan raya. Apabila tarikh pilihan raya sudah ditetapkan awal, tidaklah urusan pelbagai pihak tergugat akibat ketidak-tentuan itu seperti yang berlaku sekarang ini!

No comments: