Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
TABUNG HAJI sinonim dengan umat Islam Malaysia. Mutakhir ini Tabung Haji terbabit dalam satu lagi kontroversi apabila Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli selepas satu analisis penyata kewangannya berakhir 31 Disember 2015, menunjukkan institusi itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar semua pendeposit sekira mereka mengeluarkan simpanan sekali gus.
Walaupun disangkal pihak pemerintah dan kepimpinan Tabung Haji termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Rafizi mendakwa Tabung Haji mengalami kekurangan RM3 bilion untuk memulangkan kesemua simpanan berkenaan jika pendeposit mengeluarkan dana simpanan mereka sekali gus pada 31 Disember tahun lalu.
Katanya, meskipun berjaya membayar dividen yang dianggap tinggi kepada pendeposit, simpanan bersih baharu yang terus bertambah menenggelamkan segala kerugian badan tersebut.
Sebagai pendeposit Tabung Haji sejak sekian lama malah sudah menunaikan haji secara muasassah, penulis mengucapkan syabas kepada institusi kebanggaan umat Islam ini tetapi berpendapat pendeposit berhak pandangan atau kritikan untuk kebaikan bersama. Berikut adalah antara pertanyaan penulis:
1. Dividen yang dibayar kepada pendeposit tidaklah setinggi mana. Tahun lalu (2015) tiada dividen, tetapi disebut bonus 5 peratus + 3 peratus. Hebahan yang dibuat adalah 8 peratus. 'Bunyi'nya tinggi, hakikatnya tidak sebegitu. Pendeposit yang belum menunaikan haji dapat 8 peratus tetapi yang sudah menunaikan haji 5 peratus saja. Kenapa Tabung Haji tidak berterus terang; ramai 'pak aji' dan 'mak aji' (pendeposit sudah tunai haji) tercengang-cengang sebab duit bonus mereka tidak seperti dijangka sebab mereka tidak dapat 3 peratus itu!
Sejak tahun 2000 (kadar dividen 5 peratus), dividen Tabung Haji merosot terus sehingga ada tahun menjunam 3.25 peratus (2001) tetapi bertambah baik sejak 2012 di mana agihan dinamakan dividen (6.5 peratus) dan bonus (1.5 peratus). Tahun-tahun 1994-1997 adalah yang terbaik (9.5 peratus). Tidak bolehkah Tabung Haji mengembalikan era kegemilangan bagi pendeposit ini?
2. Tabung Haji kerap menguar-uarkan kepada umum (pendeposit) hatta bayi (6 bulan ke atas) untuk mendaftar dan didaftarkan bagi menunaikan haji. Namun Tabung Haji tidak menghebahkan pula seseorang pendeposit diperlukan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 untuk tujuan itu. Dan Tabung Haji tidak menghebahkan pula wang itu tidak boleh dikeluarkan 'sampai bila-bila' (kecualilah seseorang itu sudah menutup akaun, mati atau sudah pergi haji).
Ini bermakna Tabung Haji akan berterusan menyimpan RM1,300 wang pendeposit dan kalau ada satu juta orang dalam senarai menunggu haji, Tabung Haji akan menyimpan wang sebanyak RM1,300,000,000 (RM1.3 bilion)! Wang ini akan kekal dalam Tabung Haji, pendeposit tidak boleh keluarkan wang mereka sendiri! Tak bolehkah pendeposit didaftarkan secara automatik untuk menunaikan haji sebaik saja membuka akaun atau dikurangkan wang minimum simpanan itu kerana orang kaya mungkin boleh berbuat demikian, orang miskin bagaimana? Ini kerana wang RM1,300 tidak boleh dikeluarkan sampai bila-bila sedangkan orang miskin sukar mengumpulnya dan kadang-kadang perlu sangat mengeluarkannya jika mereka terdesak!
3. Tabung Haji melalui menteri dan pegawai tertingginya kerap menguar-uarkan ia memperuntukkan subsidi lebih RM160 juta setahun bagi memastikan bayaran kos mengerjakan haji kekal RM9,980 bagi jemaah muasassah. Mereka mendakwa kos sebenar sangat tinggi, boleh mencecah lebih RM18,000 seorang jemaah bergantung pada tahun-tahunnya. Namun tidak diterangkan wang itu datang daripada mana - daripada keuntungan perniagaan Tabung Haji, daripada kantung kerajaan atau bagaimana. Jika ia daripada keuntungan Tabung Haji baguslah, tetapi mengapa kerajaan pula mahu mendapat nama? Kemudian ada kira-kira 1,000 jemaah haji tajaan 1MDB; khabarnya mereka ke Tanah Suci mengikut kuota PM, menteri dan sebagainya. Mereka tidak ikut giliran Tabung Haji, malah ada yang tak pergi kursus bersiri haji - ini apa cerita? Tolong jelaskan kerana ramai bakal haji marah kerana giliran mereka 'dipotong'!
4. Pada tahun-tahun 1980-dulu, peneraju Tabung Haji seperti Haji Ahmad Haji Yeop Abdul Hamid mengesyor dan merancangkan Tabung Haji mewujudkan sistem kewangan tanpa riba seperti penyediaan pinjaman perumahan, kenderaan dan modal perniagaan untuk ahlinya (pendeposit). Kini selepas lebih 30 tahun sudah wujudkah sistem ini daripada wang penyimpan yang sudah berbilion-bilion ringgit itu?
Demikianlah wahai semua, terutama menteri dan peneraju Tabung Haji, usahlah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat; simpanan mereka di Tabung Haji adalah hasil jerih perih mereka daripada usaha menanam padi, menoreh getah, menangkap ikan dan menjadi buruh kasar - adakah anda tergamak mengkhianati wang mereka yang disimpan secara berdikit-dikit...RM1, RM5, RM10 dan RM50, kemudian menjadi RM1,300 untuk membolehkan mereka mendaftar 'naik haji' - kemudian wang itu tidak boleh dikeluarkan lagi melainkan jika mereka mati (waris yang akan dapat), menutup akaun atau dihabiskan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pun jika mereka berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya RM9,980 sebagai bayaran ke Tanah Suci!
No comments:
Post a Comment