Monday, November 21, 2016

Amerika berpecah ikut jejak Soviet Union?

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SEBELUM ini tidak terlintas di fikiran kebanyakan orang bahawa Amerika Syarikat (AS) iaitu kuasa besar tunggal dan polis dunia akan berpecah tetapi kini dengan kemenangan tokoh korporat rasis daripada Parti Republikan, Donald Trump, sudah timbul 'idea' bahawa sesetengah negeri seperti California akan keluar daripada AS.

Selepas sejumlah tunjuk perasaan orang ramai yang membantah kemenangan Trump terutama di ibu kota California, Sacramento dan bandar raya lain seperti Los Angeles dan San Francisco, sebilangan penduduk mendesak negeri kaya dengan pelbagai etnik itu yang mempunyai 40 juta penduduk, berpisah daripada Amerika Syarikat.

Sebahagiannya sudah memulakan kempen #Calexit, meniru #Brexit yang mana akhirnya menyaksikan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Amerika Syarikat sudah ada tanda-tanda akan berpecah berikutan 'retak' yang semakin membesar akibat tentangan rakyat terhadap kemenangan Trump.

Jarang berlaku selepas pilihan raya Presiden Amerika, rakyat berpecah dan kali ini keadaan amat serius sehingga ada gerakan #notmypresident sedang dicanangkan. Berdasarkan perkembangan ini, adalah untuk menarik untuk membandingkan suasana yang membawa kepada kehancuran pesaing ketat Amerika kira-kira 25 tahun dulu iaitu Soviet Union.

Pada 1992, sebagai wartawan saya telah menjejakkan kaki di Moscow; ketika itu Soviet Union yang dipimpin Mikhail Gorbachev (presiden terakhir) baharu saja terlerai dan berpecah menjadi 15 republik merdeka; salah satunya Rusia yang dipimpin Boris Yeltsin. 

Ketika berada di Moscow, saya beratur panjang, menyertai ribuan orang berjalan di sisi mayat Vladimir Lenin yang diawet dan diletakkan dalam bekas kaca di sebuah bangunan di Red Square. Lenin adalah salah seorang pengasas dan diktator Soviet Union, ‘memenjarakan’ ratusan juta rakyatnya dalam sebuah empayar komunis. Sekalipun Lenin dan pemimpin Soviet kemudiannya berjaya memasung rakyat selama 70 tahun, ternyata minda rakyat tidak dapat dipenjarakan.

Ternyata yang ‘terpasung’ adalah Lenin dalam sebuah kotak kaca cantik di Red Square sedangkan rakyat bekas empayar Soviet Union sudah menikmati kebebasan, sebahagian besar daripadanya menjalani kehidupan ‘lebih barat’ daripada rakyat di negara Eropah Barat dan Amerika Syarikat.

Kebangkitan rakyat di Soviet Union sebahagiannya disebabkan dasar pembaharuan diperkenalkan Gorbachev yang dinamai ‘perestroika’ dan ‘glasnost’ pada akhir 1980-an. Apakah rancangan pembaharuan Gorbachev itu? Antaranya ialah membuka pintu Soviet kepada dunia Barat. 

Kesatuan Soviet akhirnya terdedah kepada ketidak-tentuan yang membawa kepada kemerdekaan republik-repubik dalamnya dan akhirnya jawatan Gorbachev sendiri tercabar dan beliau terpaksa menyerahkan kuasa kepada Yeltsin. 

Jelas sekali pembaharuan tidak dapat dielakkan Gorbachev selepas kejatuhan satu demi satu negara blok komunis di Eropah Timur seperti Romania dan Yugoslavia. Malah Jerman Barat dan Jerman Timur akhinya bersatu selepas runtuhnya Tembok Berlin.

Mendengar dan membaca pandangan penganalisis politik tanah air yang kebanyakannya menyatakan kebimbangan mengenai pendekatan radikal Trump seperti ucapannya yang terdahulu mahu menghalang kemasukan orang Islam ke Amerika atau  meletakkan kepentingan Amerika di tingkatan teratas dengan slogan 'American first' adalah biasa tetapi saya tertarik dengan pandangan dua orang ustaz yang mendoakan Trump mendapat hidayah selepas 'kezalimannya' kepada orang Islam dan imigran lain di Amerika.

Adalah tidak tepat untuk menyatakan Trump melakukan 'kezaliman' kerana dia belum lagi berkuasa (secara tradisi Presiden baharu Amerika hanya akan memulakan tugas 20 Januari tahun berikutnya selepas pilihan raya) tetapi sesetengah agamawan memberi pandangan secara umum bahawa jika sesuatu kezaliman itu sudah sampai ke kemuncak, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti negara berpecah-belah yang akhirnya akan mendatangkan keinsafan kepada pemimpin menyebabkan ada yang menemui cahaya kebenaran lantas memeluk Islam.  

Ya, jika Trump melakukan kezaliman, hal itu akan membawa perpecahan kepada negaranya malah dunia. Dunia akan menyaksikan sengketa paling dahsyat termasuk membabitkan negara dan umat Islam; tuduhan kononnya orang Islam melakukan keganasan akan berpatah balik ke muka penuduh bagaikan boomerang; sejarah telah membuktikannya misalnya akibat daripada Tragedi Pengeboman WTC di New York pada 2001 yang dituduhkan ke atas orang Islam, semakin ramai orang Barat memeluk Islam. 

Jika komunis Soviet yang melakukan penindasan paling dahsyat ke atas rakyat hanya mampu bertahan 70 tahun dan selepas itu keruntuhannya bagai tidak dapat ditahan-tahan; tidakkah ia  membayangkan bahawa jika pemimpin Amerika memilih untuk berlaku zalim, empayar ini (Amerika) juga akan berakhir. Hanya masa menentukannya!

No comments: